Sunday, March 1, 2009

BNBBC harap Bajet Mini juga akan beri keutamaan terhadap masalah jalan raya



KOTA KINABALU: Kelab Penyokong Kera-jaan Barisan Nasional (BNBBC) Sabah ber-harap Bajet Mini yang akan dibentangkan Mac depan akan turut memberi keutamaan terhadap masalah infrastruktur jalan-jalan raya dan kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air di luar bandar. Pengerusi BNBBC Sabah, Datuk Rubin Balang berkata, masalah lain yang masih wujud dan turut memerlukan perhatian di luar bandar ialah ketiadaan kemudahan kesihatan seperti Klinik Desa, selain prasaraan pendidikan yang masih mundur. “Contohnya di kawasan saya, di Mukim Rundum, Kemabong yang masih tidak mempunyai kemudahan kesihatan, iaitu Klinik Desa, disamping prasarana pendidikan yang masih terpinggir dari arus kemodenan. “Begitu juga di kawasan luar bandar di lain-lain di negeri ini, seperti di Terian dan Buayan Penampang, Pensiangan, Kinabatangan, Lahad Datu, Tungku dan sebagainya,” katanya, di sini, kelmarin.

Rubin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong berkata, masih banyak jalan raya di luar bandar berada dalam keadaan daif, diliputi tanah merah dan berlubang-lubang. Malah katanya, banyak tempat atau kampung langsung tidak mempunyai jalan raya, dan ini menimbulkan kesulitan kepada penduduk yang hendak keluar ke pekan untuk memasarkan hasil pertanian mereka. “Kanak-kanak sekolah juga turut diselubungi dengan masalah ini kerana mereka terpaksa berjalan kaki berkilo-kilo meter jauhnya untuk berulang alik ke sekolah, kerana tidak ada jalan untuk dilalui kenderaan,” katanya.

Rubin berkata, sebagai wakil rakyat, beliau turut merasai keperitan hidup yang dialami penduduk luar bandar, dan telah berulang kali mengutarakan masalah itu kepada kerajaan, termasuk pada setiap mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan. “Harus disedari bahawa jalan raya adalah sistem penghubung paling penting antara kampung dan pekan atau bandar. Tanpa sistem komunikasi ini, ia sudah tentu menimbulkan kesulitan kepada penduduk. “Sehubungan itu, adalah diharapkan Bajet Mini yang akan dibentangkan bulan depan dapat menyelesaikan masalah jalan raya, bekalan air dan elektrik, kemudahan kesihatan dan prasa-rana pendidikan,” katanya.
Menurutnya lagi, projek jalan raya dan kemudahan asas di luar bandar hanya memerlukan kos perbelanjaan puluhan ribu ringgit. Ia bukan projek besar atau projek mega yang melibatkan kos jutaan atau berbilion ringgit. “Justeru, peruntukan bagi projek itu boleh dipercepatkan, dan tidak perlu menunggu lama kerana ia bukan projek besar atau projek mega yang terpaksa menunggu peruntukan yang besar,” tambahnya.

Rubin berkata, bagi pihak ahli-ahli BNBBC Sabah (wakil rakyat-Adun Sabah), beliau menyambut baik pembentangan Bajet Mini itu, yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewa-ngan Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, 10 Mac depan. “Kita percaya, beliau, yang juga Timbalan Perdana Menteri adalah pemimpin prihatin dan berjiwa rakyat, sama seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullaj Ahmad Badawi. Justeru, kita harap keperluan jalan raya dan keperluan kemudahan asas di luar bandar di negeri ini dapat dipertimbang dan diatasi,” katanya.
>
>
Sumber: New Sabah Times, 27th February, 2009

No comments: