Wednesday, January 14, 2009

314 projek nilai RM16.5 juta untuk empat daerah pedalaman

KENINGAU: Sebanyak 314 projek di bawah Projek Penyelenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) bernilai lebih kurang RM16.5 juta telah diagih-agihkan melalui sistem undi kepada 314 kontraktor membabitkan daerah Keningau, Tenom, Tambunan dan Nabawan.

Pegawai Kemajuan Negeri, Pejabat Pembangunan Negeri Sabah Haji Ma-tusin Sunsang berkata daripada jumlah itu sebanyak 146 projek bernilai kira-kira RM6.5 juta diagih-agihkan kepada 146 kontraktor kelas F bagi Daerah Keningau, 80 projek bernilai RM 4.7 juta bagi daerah Tenom, 53 projek ber-nilai RM3.2 juta bagi daerah Tam-bunan dan 35 projek bernilai RM2 juta bagi daerah Nabawan.

Katanya, Pejabat Daerah yang dipertanggungjawabkan sebagai pe-laksana perlu percepatkan pengeluaran tawaran kerja dan memantau pe-laksanaan projek agar mengikut tempoh yang telah ditetapkan.

Beliau berkata, projek yang diagih-agihkan kepada kontraktor kelas F ini adalah membantu kerajaan menggerakkan ekonomi negara dan sebahagian daripada jumlah RM900 juta untuk kontraktor kelas F di seluruh negara yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menghadapi kemelesetan ekonomi dunia.

Justeru itu katanya, pelaksanaan projek-projek berkenaan perlu dipercepatkan untuk percepatkan pembayarannya.

“Kelewatan melaksana atau men-yiapkan projek menyebabkan pembayarannya lewat dan permohonan pe-runtukan berikutnya daripada Baha-gian Kewangan Jabatan Perdana Men-teri tidak dapat dibuat,” katanya kepada media selepas cabutan undi bagi kerja-kerja di bawah PIA dan PIAS Bahagian Keningau yang berlangsung di Dewan Masyarakat di sini pada Isnin.

Katanya, untuk membolehkan Pejabat Pembangunan Negeri dapat memohon peruntukan tambahan para kontraktor yang mendapat projek fasa pertama ini haruslah menyiapkan projek mengikut tempoh yang ditetap dalam surat tawaran kerja masing-masing.

Beliau berkata, jika projek fasa pertama lewat disiapkan permohonan peruntukan tambahan atau fasa kedua tidak dapat dibuat di samping tidak dapat membantu kerajaan menjana ekonomi negara.

Jelasnya, surat kuasa telah diturunkan kepada Pejabat Daerah untuk memastikan semua projek yang telah diagih-agihkan kepada kontraktor da-pat disaipkan selewat-lewatnya pada 30 April depan bagi membolehkan pembayarannya dibuat secepat mung-kin.

Bagi memastikan semua projek dapat disiapkan dalam tempoh itu ka-tanya, pihak Pejabat Daerah perlu membuat pemantauan dan menghantar laporan kemajuan projek setiap minggu kepada Pejabat Pembangunan Negeri dan laporan akan dipanjangkan kepada Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, laporan itu hendaklah sampai kepada Pejabat Pembangunan Negeri pada hari Khamis setiap minggu kerana pada hari Jumaat laporan akan dipanjangkan ke Jabatan Perdana Menteri.

Mengenai dengan perjalan cabutan undi projek itu, Matusin berkata, beliau berpuas hati kerana ia berjalan lancar dan menunjukkan peningkatan dari segi pengandaliannya.

Katanya, para kontraktor turut berpuas hati dengan proses cabutan undi itu kerana ia berjalan dengan te-lus dan lebih 90 peratus daripada kontraktor yang berdaftar dalam proses pengundian sistem komputer itu mendapat projek.

Projek cabutan undi itu disaksikan oleh Pembantu Menteri Ke-pada Ketua Menteri Datuk Raden Malleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap dan Adun Bingkor Justin Guka.

Hadir sama Pegawai Daerah Ke-ningau Amat Mohd Yusuf, Pegawai Daerah Tenom Haji Faimin Kamin, Pegawai Daerah Tambunan Thomas Angor, Penolong Pegawai Daerah Ke-cil Kemabong Gan En Siong, Pe-nolong Pegawai Daerah Kecil Sook Peter Beaty dan semua Penolong Pe-gawai Daerah Pembangunan daerah terbabit serta Pemimpin-Pemimpin Kemajuan Rakyat kawasan yang terlibat.


Sumber: New Sabah Times, 14 januari 2009

Hudud: DAP ugut keluar Pakatan

KUALA LUMPUR: DAP mengancam untuk menarik diri daripada Pakatan Rakyat sekiranya Pas masih mahu melaksanakan undang-undang hudud dan qisas jika pembangkang menerajui negara ini.

Pengerusinya, Karpal Singh mengulangi pendirian DAP bahawa hukum hudud dan qisas bukan menjadi dasar parti itu serta tidak termasuk dalam manifesto Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum Mac tahun lalu.

“Sewajarnya Pas mengambil kira pandangan DAP sebagai anggota dalam Pakatan Rakyat dan menghormati pendirian kami,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Istana Negara di sini, semalam.

Terdahulu, beliau menyerahkan surat untuk Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai pelantikan Tan Sri Zaki Azmi sebagai Ketua Hakim Negara. Surat itu diterima Setiausaha Istana Negara, Zainab Muhammad di luar pagar pintu belakang Istana Negara.

Pada 21 Disember lalu, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, berkata parti itu tidak pernah melupakan dasar perjuangannya untuk melaksanakan hudud.

Sebelum ini, Karpal juga dilaporkan mahu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan pendirian PKR mengenai hukum hudud yang ingin dilaksanakan Pas jika pembangkang memerintah negara ini.

Beliau berkata, Anwar tidak boleh berdiam diri terhadap kata putus Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat bahawa hukum itu akan tetap dilaksanakan di negara ini.

Karpal berkata, DAP akan menentang pelaksanaan hukum hudud dan Pas tidak boleh mengetepikan keputusan sebulat suara Mahkamah Agung pada 1988 bahawa Malaysia bukannya sebuah negara Islam. - Bernama.


Sumber : Berita Harian, 15 Januari 2009

Tuesday, January 13, 2009

Peluang cabut taring Pas, Pakatan Rakyat

SABTU ini, seramai 80,325 pengundi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu akan menentukan nasib tiga calon yang bertanding untuk mewakili mereka di Dewan Rakyat iaitu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dari Umno mewakili Barisan Nasional (BN), Mohd Abdul Wahid Endut dari Pas mewakili Pakatan Rakyat dan Azharudin Mamat @ Adam (calon Bebas). Walaupun pertandingan bersifat tiga penjuru, perhatian ramai tertumpu kepada calon Umno dan Pas yang menjanjikan pertembungan sengit bagi merebut kerusi Parlimen itu. Kini, plot yang sedang berkembang dalam proses pilihan raya kecil Kuala Terengganu ialah aktiviti berkempen di kalangan parti berkenaan. Pastinya, momentum kempen akan menjadi semakin panas dan agresif dengan pelbagai isu diketengahkan merangkumi isu tempatan dan nasional. Yang menjadi persoalan ialah apabila ada isu yang dibawa tidak berpijak di bumi nyata dan berada di luar kotak logik.

Contoh terbaik ialah apabila konflik di Gaza, Palestin dijadikan modal oleh pembangkang seperti Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyamakan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat seperti perjuangan rakyat Palestin menentang kekejaman rejim Israel. Datuk Mustafa Ali (Pas) pula menyamakan Pas seperti Hamas, manakala Umno seperti Fatah-PLO. Mereka yang kritikal dan waras melihat perbandingan yang dibuat itu sebagai keterlaluan. Rakyat Palestin ditindas, dibunuh secara kejam, diusir dan dizalimi dengan pelbagai bentuk kezaliman di luar batas kemanusiaan oleh Zionis Israel semata-mata untuk memenuhi agenda jahatnya merampas bumi Palestin. Apakah ini yang dilakukan Umno terhadap rakyat di negara ini? Adakah Umno-BN menjalankan pembunuhan dan pengusiran secara beramai-ramai ke atas rakyat yang menyokong Pakatan Rakyat (PKR, Pas dan DAP)?

Apa yang berlaku ialah rakyat di negara ini tanpa mengira kaum dan parti yang mereka sokong menikmati hak yang sama seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Kita ingin bertanya kepada parti pembangkang, adakah BN/Umno bertindak menggulingkan secara tidak demokratik kerajaan Pakatan Rakyat di negeri yang ditadbirnya seperti cubaan Fatah di Palestin bersekongkol dengan AS dan Israel untuk menggulingkan kerajaan Hamas di Gaza melalui pertumpahan berdarah pada Jun 2006. Di Palestin, kumpulan Fatah yang membentuk kerajaan di Tebing Barat dan diakui sebagai kerajaan sah oleh AS bertindak menangkap, membunuh dan memenjarakan sesiapa saja yang disyaki penyokong Hamas. Malah, mereka memusnahkan segala bentuk institusi pendidikan dan kedai milik Hamas. Fatah mengisytiharkan Gaza sebagai wilayah pengganas semata-mata kerana ia ditadbir oleh kerajaan Hamas yang dipilih oleh rakyat secara demokratik. Adakah perkara sama dibuat oleh kerajaan Umno-BN ke atas kerajaan Pas di Kelantan dan Kedah? Tidakkah Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat bagaimana kerajaan Pas di Kelantan meraih kemenangan lima penggal berturut-turut (sejak 1990) melalui pilihan raya bersifat demokratik yang diamalkan di negara ini. Berapa ramai rakyat Kelantan yang diusir, dinafikan hak tanah (tempat tinggal), dibunuh, ditembak dan dibom oleh kerajaan Umno-BN? Sekadar mengambil contoh rasuah untuk menyamakan Umno seperti Israel adalah sesuatu yang tidak relevan dan keterlaluan.

Tidakkah kerajaan Pulau Pinang di bawah pentadbiran DAP yang menjalankan tender terbuka ke atas projek tanpa menghiraukan kemampuan kontraktor Melayu untuk bersaingan sama seperti perangai Israel yang suka menindas kaum lemah. Bukankah dasar yang diamalkan Lim Guan Eng itu sebagai satu perancangan halus DAP untuk terus melumpuhkan ekonomi orang Melayu di negeri itu. Keputusan kerajaan Perak, pimpinan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Pas) menyerahkan hak milik tanah kekal kepada 11 penduduk kampung baru di Grik tanpa mendapat kelulusan Majlis Tanah Negara (MTN) juga menunjukkan Pas berada di bawah pengaruh dan telunjuk DAP.

Mengapa kerajaan Perak gopoh membuat keputusan? Jawabnya, DAP melihat isu tanah itu mempunyai kepentingan kaum tertentu dan Menteri Besar hanya dijadikan rubber stamp DAP. Sentimen adalah di antara elemen yang mempengaruhi pengundi. Isu dan sentimen agama memang dekat dengan masyarakat Terengganu. Umno mesti mempunyai keupayaan untuk mematahkan hujah Pas yang licik memanipulasikan sesuatu isu dengan mengaitkannya dengan persoalan akidah, dosa dan pahala. Semuanya ini mempengaruhi sentimen pengundi, khususnya orang Melayu yang mewakili 88.2 peratus pengundi di Kuala Terengganu. Majoriti pengundi Melayu di situ akan menilai bentuk dan sentimen agama yang dibawa oleh kedua-dua parti Melayu terbabit. Kita mengharapkan mereka akan berfikiran rasional. Kelicikan Pas selama ini ialah pandai 'berpencak silat' mengikut tanah yang dipijaknya. Di negeri majoriti Melayu, terutama di Kelantan, Terengganu dan Kedah, Pas akan menggunakan sentimen agama, sementara di negeri lain ia akan bersandiwara dengan DAP dan PKR melalui slogan berkonsep 'negeri berkebajikan' dan konsep 'ketuanan rakyat'. Isu agama yang dibawa oleh Pas sering menimbulkan kekeliruan dan kebencian orang Melayu terhadap Umno. Justeru, Umno mesti mempunyai kemampuan untuk berhadapan dengan isu agama yang dibangkitkan Pas sepanjang kempen mereka di Kuala Terengganu.

Apapun senario, keputusan pilihan raya itu nanti akan menjadi pengukur sama ada kekuatan Umno semakin pudar atau sebaliknya. Ia penting buat Umno dan BN seperti kata Datuk Seri Najib Razak iaitu 'pilihan raya kecil Kuala Terengganu sangat besar ertinya dan signifikan kepada Umno dan BN, bukan saja dalam konteks Terengganu, malah dalam konteks negara. Ia juga besar ertinya kepada masa depan Umno dan BN.' Kemenangan Umno juga membuktikan generasi muda masih menaruh harapan kepada perjuangan di samping ia turut memulihkan imej Umno yang tercalar selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 dan kekalahannya pada pilihan raya kecil Permatang Pauh. Umno perlu memastikan sentimen berpuak tidak berlaku di kalangan pemimpin Umno seperti terjadi dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Sikap 'peteh keting' sesama sendiri sehingga sanggup mengetepikan kepentingan parti mesti dijauhi. Seluruh pemimpin dan petugas Umno-BN di Kuala Terengganu harus sedar bahawa di mata rakyat Umno sedang mempertaruhkan maruahnya. BN-Umno mungkin akan lebih tercabar dan tertekan sekiranya calon yang dipertaruhkan gagal mempertahankan kerusi Parlimen terbabit. Perlu diingat bahawa calon Umno, Wan Ahmad Farid Wan Salleh tidak pernah diuji untuk bertanding di Parlimen Kuala Terengganu dan ia dilantik Timbalan Menteri atas tiket senator. Justeru, kemenangannya penting untuk membuktikan bahawa ia adalah calon yang disenangi dan diterima oleh pengundi di Kuala Terengganu bagi meneruskan legasi Allahyarham Datuk Razali Ismail.


Sumber: Berita Harian, 14 Januari 2009
Oleh Mohd Ayob Abd Razid
Ketua Unit Komunikasi Media,
Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan

Tuesday, January 6, 2009

Minda Pengarang: Bahaya biarkan dunia tunduk telunjuk Amerika

DALAM dunia ini, keadaan adalah sama - semuanya berkisar atau dikawal oleh Amerika Syarikat (AS) baik di mana saja. Jika Washington kata 'perang', maka jadilah peperangan itu dan begitu juga jika AS kata 'hentikan peperangan', maka berhentilah peperangan itu. Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula bagaikan berfungsi mengikut kehendak AS. Misalnya, usaha pelbagai pihak dalam Majlis Keselamatan badan dunia itu gagal mencapai persetujuan gencatan senjata serangan Israel ke atas Gaza, akibat sekatan AS. Seluruh umat Islam di dunia ini melahirkan rasa marah, kecewa dan gusar terhadap tindak-tanduk Israel, tetapi selagi Washington 'memanjakan' negara Yahudi itu, tiada apa yang boleh dilakukan. Negara Islam, termasuk Malaysia boleh membuat pelbagai desakan tetapi sejauh mana keberkesanannya terus menjadi tanda tanya. Kita juga tidak tahu sejauh mana desakan Malaysia untuk PBB mengadakan Perhimpunan Agung Khas bagi membincangkan isu kekejaman rejim Israel terhadap Palestin itu akan diberi perhatian.

Seperti kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin, usaha mengadakan perhimpunan khas bertema 'Perpaduan Untuk Keamanan' itu akan digerakkan menerusi Kumpulan Hubungan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Wakil Tetap Malaysia ke PBB diarah memulakan inisiatif itu. Katakan PBB berjaya mengadakan perhimpunan khas seperti itu, kita juga tidak yakin ia dapat mengubah keangkuhan Israel, kecuali AS menggunakan pengaruhnya bagi menghentikan serangan Israel ke atas Gaza yang sehingga kini mengorbankan lebih 500 warga Palestin.

Kita juga tidak boleh terlalu mengharapkan kepada 'Barack Hussein Obama' untuk menukar pendirian itu sebaik memasuki Rumah Putih pada 20 Januari ini, meskipun setakat ini beliau cuma mendakwa 'memantau' perkembangan di Palestin. Hakikatnya, AS dan Obama perlu sedar bahawa dunia akan berubah mengikut perubahan semasa. Meskipun AS secara tradisionalnya berkuasa, Washington tidak berupaya untuk menentukan segala impiannya pada peringkat antarabangsa tercapai secara sendirian dalam arus gelombang revolusi maklumat dan globalisasi. Contoh ketara ialah kestabilan kewangan antarabangsa penting kepada kemakmuran AS, tetapi negara itu memerlukan kerjasama negara lain untuk memastikan matlamat berkenaan tercapai. Perubahan cuaca dunia juga akan memberikan kesan kepada kualiti dan gaya hidup, tetapi AS tidak mampu untuk menangani masalah itu secara sendirian. Inilah cabaran sebenar Obama dan AS nanti.

Jika AS sedar mengenai hakikat ini, ia perlu mendengar suara dunia lain termasuk dalam isu serangan Israel terhadap rakyat Palestin. Malah, suara dunia perlu didengar di PBB untuk mengadakan perhimpunan khas seperti dikehendaki Kuala Lumpur kerana apa yang berlaku di Gaza tidak dapat diterima dan tidak membawa kebaikan. AS yang kini turut bergelumang dengan krisis ekonomi perlu sedar bahawa membenarkan tindakan mengganas seperti dilakukan oleh Israel di Palestin adalah sesuatu yang tidak akan membantu pemulihan ekonominya.

Sumber: Berita Harian, 7hb Januari 2009.

Khidmat 20,000 kakitangan kontrak tidak ditamat


KUALA LUMPUR: Kerajaan semalam memberi jaminan tidak akan menamatkan perkhidmatan lebih 20,000 kakitangan awam yang berkhidmat secara kontrak di pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam. Ismail bagaimanapun menegaskan jaminan itu hanya membabitkan kakitangan kontrak yang berkhidmat bersama jabatan serta agensi di bawah kerajaan Persekutuan dan bukannya dengan kerajaan negeri. "Ketika ini kerajaan tidak mempunyai sebarang cadangan memberhentikan pekerja kontrak yang berkhidmat dengan jabatan serta agensi kerajaan Persekutuan. Mereka berkhidmat di bawah kerajaan negeri... saya tak pasti.

"Pada masa ini, kita tidak bercadang berbuat demikian, tetapi pada masa akan datang saya tidak pasti mengenai perkara ini," katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam. Ismail berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang sebelum ini mendakwa kira-kira 50,000 kakitangan awam yang berkhidmat secara kontrak di pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di seluruh negara mungkin ditamatkan perkhidmatan secara berperingkat mulai tahun ini. Cuepacs mendakwa sehingga 31 Disember tahun lalu, beberapa jabatan kerajaan yang antaranya membabitkan Jabatan Pendidikan di seluruh negara dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menyambung tugas kakitangan kontrak.

Sementara itu, Presiden Cuepacs, Omar Osman, ketika dihubungi, berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama Ismail berhubung isu berkenaan dalam tempoh terdekat ini. "Kita juga akan membincangkan masalah ini pada mesyuarat Kongres Cuepacs yang dijadualkan berlangsung di Kedah pada 10 Januari ini," katanya.

Sumber: Berita Harian, 7hb Januari 2009

Monday, January 5, 2009

PENGUSAHA BAS SEKOLAH AKAN DIKENAKAN TINDAKAN

KOTA KINABALU: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah akan mengambil tindakan terhadap para pengusaha bas sekolah di negeri ini, jika mereka mengenakan surcaj bagi tambang bas sekolah. Pengerusi LPKP Sabah, Datuk Bung Moktar Radin, berkata antara tindakan yang akan diambil, ialah menggantung dan tidak memperbaharui permit pengusaha selepas tempoh permit mereka tamat. “Setakat ini, di Sabah kita tidak ada mendengar tuntutan daripada para pengusaha bas sekolah untuk mengenakan surcaj bagi tambang bas sekolah seperti yang berlaku di Semenanjung Malaysia,” katanya kepada New Sabah Times, kelmarin.

Walau bagaimanapun, katanya, sekiranya ada para pengusaha bas sekolah mengenakan surcaj terhadap perkhidmatan mereka, pihak ibu bapa perlu melaporkan kepada LPKP supaya tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap pengusaha bas sekolah yang berbuat demikian.
Kelmarin, Pengerusi LPKP, Datuk Markiman Kobiran, berkata pengusaha bas sekolah di seluruh negara akan berdepan tindakan paling tegas jika mengenakan surcaj bagi tambang bas sekolah seperti yang mereka umumkan. Katanya, LPKP tidak akan melayan ugutan atau cubaan bermain “tarik tali” daripada Persekutuan Pengusaha Bas Sekolah Se-menanjung Malaysia (PPBSSM) yang meminta supaya mereka dibenarkan mengenakan surcaj 30 peratus daripada tambang perkhidmatan bas sekolah mulai Januari ini. Beliau berkata, selagi kerajaan belum membuat keputusan membenarkan tambang bas sekolah dianikkan atau mengenakan surcaj, pengusaha perlu kekalkan tambang pada kadar sedia ada.

Presiden PPBSSM, Chee Ah Tey, sebelum ini berkata, mulai sesi persekolahan Januari ini, ibu bapa yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah untuk menghantar anak ke sekolah perlu membayar surcaj 30 peratus. Kataya, sucaj itu dikenakan kerana pihak-nya tidak menerima sebarang perkembangan mengenai tuntutan subsidi diesel ditambah se-banyak 43 sen seliter berbanding RM1.43 sen seliter diterima sekarang.

Bung Moktar berkata, pihak LPKP akan menjalankan pemantauan bagi memastikan para pengusaha bas sekolah di negeri ini me-matuhi dan mengekalkan tambang pada kadar sedia ada. Menurutnya, sebelum ini memang ada permintaan daripada para pengusaha bas sekolah di negeri ini untuk menaikkan tambang, tetapi ianya masih lagi di peringkat kajian pihak kementerian dan ianya dijangka akan diumumkan pada masa yang sesuai. “Kita berharap para pengusaha bas sekolah khususnya di Sabah supaya bersabar dan mengunakan pakai kadar tambang sedia ada, bagi mengelakkan mereka daripada dikenakan tindakan,” katanya.
Ketika ini tambang perlu dibayar ibu bapa kepada pengusaha bas antara RM30 hingga RM120 sebulan mengikut lokasi dan kelulusan kerajaan berkuatkuasa 15 Mac 2006. Di Sabah terdapat lebih 2,000 permit bas sekolah dikeluarkan oleh LPKP untuk para pengusaha bas sekolah.


Sumber: New Sabah Times 5th January, 2009

Minda Pengarang: Kelonggaran bayar yuran sekolah usah diambil mudah


MUSIM persekolahan tahun ini nampaknya berlangsung tanpa sebarang kontroversi, terutama membabitkan keluhan ibu bapa yang sering kita dengar setiap awal tahun. Semuanya bermula dengan langkah Kementerian Pelajaran mengeluarkan pekeliling kepada semua sekolah di seluruh negara bagi menangguhkan kutipan yuran sekolah dan pelbagai yuran lain sehingga April. Selain itu, langkah proaktif sekolah menyalurkan skim pinjaman buku teks kepada semua pelajar sebelum cuti persekolahan bermula November lalu menyebabkan urusan persekolahan yang biasanya kecoh pada awal tahun berjalan lancar. Ini bermakna langkah kementerian berjaya menyelesaikan masalah yang biasanya timbul setiap kali sekolah dibuka. Sejumlah enam juta pelajar mengikuti pengajian di seluruh negara tahun ini. Kecuali puluhan ribu pelajar di kawasan terbabit dengan banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang yang tidak dapat ke sekolah kerana bangunan sekolah dinaiki air atau menjadi kawasan penempatan sementara mangsa banjir, pelajar di negeri lain meneruskan persekolahan seperti biasa. Sehingga kini, lebih 30,000 pelajar membabitkan hampir 40 sekolah di Kelantan tidak ke sekolah dan hal sama turut dialami pelajar di Terengganu, Pahang dan Sabah.

Kita menyokong langkah proaktif kementerian yang semakin menyedari masalah tekanan kewangan dihadapi ibu bapa yang mempunyai ramai tanggungan setiap kali musim persekolahan bermula, selepas berhempas pulas mencari wang untuk persiapan sekolah anak. Dengan langkah diambil bagi pembayaran pelbagai yuran tiga bulan selepas sekolah dibuka, ia membolehkan ibu bapa kembali bernafas. Ini penting memandangkan kegawatan ekonomi semakin dirasai apabila ada kalangan ibu bapa kehilangan pekerjaan berikutan penutupan kilang kesan krisis ekonomi global dan sudah pasti, tindakan yang diambil kerajaan itu cukup melegakan.

Cuma harapan kita, ibu bapa tidak mengambil kesempatan terhadap kelonggaran disediakan sekolah dan semua yuran diwajibkan perlu dibayar, walaupun secara berperingkat. Ini membolehkan sekolah menjalankan kegiatan, terutama yuran membabitkan kegiatan pelajar. Tanpa peruntukan tambahan menerusi yuran, sesetengah sekolah tidak dapat menjalankan aktiviti terutama melalui pungutan yuran Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) yang diwajibkan kepada pelajar.

Sehubungan itu, pengurusan sekolah perlu mendapatkan dana khas daripada kementerian bagi membolehkan kegiatan pelajar dilaksanakan sebaik saja sesi sekolah dibuka, tanpa menunggu kutipan pelbagai yuran dikenakan. Ini dapat mengelak aktiviti pelajar terbantut atas alasan sekolah tidak mempunyai dana mencukupi. Ibu bapa nampaknya tidak mempunyai alasan lagi terhadap pendidikan anak dan mereka perlu memastikan anak belajar dan membantu sekolah meneruskan kecemerlangan. Ini penting kerana tanpa sokongan dan kerjasama ibu bapa, pihak sekolah tidak mampu untuk menjadikan anak mereka sempurna di dalam pelajaran. Kejayaan anak di sekolah, sebahagiannya disumbangkan ibu bapa di rumah dan atas keyakinan itu, kedua-dua pihak perlu bertanggungjawab bagi memastikan mutu pendidikan negara terus meningkat.

Sumber: Rencana Berita Harian, 6hb Januari 2009

Thursday, January 1, 2009

Turunkan harga barang: Kurup

KENINGAU: Parti Bersatu Rakyat Sabah menggesa semua pihak yang terlibat menaikkan harga barang supaya menurunkan semula harga barang kepada asal menjelang tahun baru ini, berikutan penurun harga minyak di pasaran dunia dan Negara ini. Presidennya Tan Sri Joseph Kurup berkata tidak ada alasan lagi bagi pihak peniaga untuk menurunkan harga barang seperti sebelum ini kerana kerajaan telah berusaha untuk terus menurunkan harga minyak hingga hari ini. Katanya ini penting untuk kesejahteraan rakyat seluruhnya yang dibebani kenaikan harga barang sejak beberapa lama dengan alas an harga bahan api naik menadadak tahun lalu. “Ini adalah hasrat kita bersama kerajaan untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat dengan mengambil kira kebajikan dan keselasaan rakyat berbelanja apa lagi menjelang tahun baru banyak kos diguna untuk sara hidup termasuk menyekolahkan anak-anak ini terutama di luar bandar,” katanya.

Katanya, ini juga termasuk menurun harga tambang pengangkutan awam dan bas sekolah demi kepntingan rakyat. Kurup berkata demikian ketika mearsmikan Kongres PBRS ke-13 di Hotel Perkasa di sini pada Selasa. Dalam pada itu Kurup berkata PBRS telah merangka beberapa startegi baru yang merupakan usaha untuk pembaharuan parti dalam jangka masa panjang terutama dalam pilihanraya akan datang. Katanya antara yang menjadi keutamaan ialah berjuang untuk kecemerlangan rakyat. Justeru itu katanya sebagai langkah pembaharuan parti telah bersetuju menggubal semula perlembagaan untuk memperkukuhkan lagi hubungan pemimpin dengan semua peringkat dalam parti.

Selain itu katanya parti juga akan menggariskan usul kepada kerajaan dengan mengemukakan isu-isu penting demi kepentingan rakyat. Kita mahu apa yang kita perjuangkan adalah untuk kepentingan rakyat kerana kita perlu berubah sebelum rakyat mengubah kita sebagai pemimpin, ini penting dalam perjuangan parti perlu ada semangat kuat bagi kekuatan parti,” katanya dalam ucapan penggulungan dan penangguhan Persidangan Perwakilan Tahunan sempena kongres ke-13 parti itu dekat sini.

Kurup yang juga Timbalan Menteri Pemba-ngunan Luar Bandar dan Wilayah berkata dalam usaha memperkasakan parti langkah mengaktifkan bahagian sedia ada dengan mensasarkan lebih ramai ahli baru dikalangan belia. Ini katannya merupakan persiapan generasi muda me-warisi kepimpinan parti akan datang. Katanya penyusunan semula pengurusan parti di semua peringkat akan mengukuhkan lagi fungsi biro-biro dalam parti seterusnya memastikan ahli parti taat,setia dan berjuang dalam pasukan kerajaan Barisan Nasional. ” Kita yakin dengan usaha ini kita akan dapat mempertingkatkan perkhidmatan kita kepada rakyat kerana ini adalah penghargaan terhadap rakyat yang telah memilih pemimpin dan kerajaan BN,” katanya.

Justeru itu Kurup menggesa semua ahli dan pemimpin dalam parti supaya melakukan perubahan dalam diri,perjuangan dan semangat jati diri dalam parti dan menjadi parti yang kuar. Katanya masa ini parti mempunyai kira-kira 75 ribu keahlian diseluruh negeri.
Seramai 322 perwakilan dari 17 bahagian menghadiri kongres itu manakala 6 bahagian lagi tidak mengadakan mesyuarat kerana faktor masa dan tidak layak menghantar perwakilan.
Pada masa sama Kurup berpuashati dengan perjalanan persidangan dan menggesa semua ahli,pemimpin parti tidak menjadi duri dalam daging yang menganggu-gugat kekuatan parti dan merugi parti serta rakyat. ”Kita tidak mahu ada gejala menikam dari belakang dalam parti ini akan melemahkan parti dan akhirnya yang rugi adalah parti serta rakyat,” katanya.
Katanya, hasil kerjasama serta ketelusan dalam parti usaha pihak tertentu untuk cuba merampas kuasa secara haram pada masa lalu gagal dan parti masih bertahan dan kukuh hingga hari ini.

Sumber : New Sabah Times (2nd January, 2009 )

Jangan salahkan kerajaan harga barang tak turun

KUALA TERENGGANU 1 Jan. - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh meminta rakyat tidak menyalahkan kerajaan semata-mata berikutan keengganan peniaga menurunkan harga barangan di pasaran.
Kerajaan, katanya, telah mengambil langkah menurunkan harga petrol yang merupakan kos utama dalam industri pengangkutan dan peniaga perlu melakukan perkara yang sama dengan menurunkan harga barangan.

''Kerajaan hanya boleh mengurangkan harga minyak yang menjadi perkara asas kepada kenaikan dan penurunan harga barang. ''Jika kos pengangkutan sudah berkurangan maka sudah sampai masanya para peniaga mengambil langkah untuk menurunkan harga barangan," katanya selepas melakukan lawatan di Pasar Besar Kedai Payang di sini, hari ini. Beliau berkata demikian mengulas isu ekonomi semasa yang digunakan oleh parti pembangkang untuk berkempen menentang BN pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, pada 17 Januari ini.

Wan Ahmad Farid percaya lambat-laun para peniaga akan menurunkan harga barangan ekoran penurunan kos pengangkutan akibat tekanan pengguna. Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa langkah untuk mengurangkan beban ibu bapa ketika permulaan sesi persekolahan ekoran kos sara hidup yang semakin meningkat. ''Antara usaha dilaksanakan oleh kerajaan negeri ialah memberi bantuan pakaian sekolah kepada ibu bapa pelajar sekolah rendah dan menengah," katanya.

Sementara itu, Wan Ahmad Farid meminta parti pembangkang tidak lagi menimbulkan isu 'pengundi hantu' selepas senarai daftar pengundi Parlimen Kuala Terengganu disahkan bersih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). ''Sebenarnya, senarai daftar pengundi tidak pernah berubah sejak Pilihan Raya Umum 1999 yang menyaksikan Pas berjaya mengambil alih pentadbiran Terengganu. ''Jika mereka masih mendakwa terdapat pengundi hantu bermakna pengundi hantu jugalah yang memenangkan mereka pada Pilihan Raya Umum 1999," katanya.


Sumber: Utusan Malaysia Online (2 Januari 2009)