Sunday, August 23, 2009

Usah biar kontrak sosial jadi polemik berpanjangan

PERDEBATAN mengenai kontrak sosial kembali panas sejak kebelakangan ini apabila pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mempersoalkan kedudukan raja-raja Melayu, agama Islam serta hak keistimewaan kaum bumiputra.

Mereka yang beragenda peribadi ini dan juga seluruh rakyat bagaimanapun seharusnya akur dengan teguran-teguran yang dibuat oleh Raja-Raja Melayu.

Kontrak sosial merujuk kepada perjanjian oleh pemimpin-pemimpin yang berjuang mencapai kemerdekaan negara yang secara umumnya melibatkan pemberian taraf warganegara kepada bukan Melayu dan pemberian keistimewaan kepada bumiputera melalui Perkara 153.

Ia diwujudkan untuk memelihara hak-hak keistimewaan kaum bumiputra dengan tidak meminggirkan lain-lain bangsa adalah ramuan penting kepada perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia.

Penulis percaya gelagat sesetengah pihak yang mempertikaikan kontrak sosial adalah berpunca dari sikap tidak menghargai kemakmuran negara yang sebahagian besarnya dikecapi hasil kewujudan kontrak sosial itu sendiri. Kecenderungan mempertikai kontrak sosial juga adalah kerana faktor mahu meraih sokongan politik yang berpaksikan kepentingan peribadi.

Telah berdekad lamanya rakyat Malaysia dari satu generasi ke satu generasi hidup bersama tanpa timbul masalah yang besar. Janganlah kita menggadai keamanan ini hanya kerana perasaan iri hati dan ketidakpuasan yang tidak dikongsi oleh majoriti rakyat.

Jangan kita lupa bahawa iklim kemakmuran dan keamanan Malaysia yang selama ini dikecapi hanyalah mainan mimpi bagi sesetengah rakyat negara asing. Justeru itu, pihak-pihak yang ada agenda peribadi diharap dapat bertindak secara matang daripada terus cuba 'bermain api'. Jangan biarkan dasar 'keterbukaan' kerajaan digunakan untuk tujuan negatif.

Kerajaan perlu bertindak segera agar generasi muda berbilang kaum memahami apakah itu kontrak sosial.

Pemahaman yang menyeluruh dan tepat perlu supaya generasi muda benar-benar memahami dan menerima kontrak sosial sebagai sumber kerukunan masyarakat majmuk serta tidak berlaku salah tanggapan bahawa kontrak sosial adalah sesuatu yang bersifat berat sebelah.

Tanggapan negatif terhadap kontrak sosial adalah sesuatu yang sangat berbahaya kepada perpaduan rakyat. Jangan biarkan ia dijadikan bahan berpolitik pihak-pihak yang dianggap petualang dan menjadi polemik berpanjangan.

Sudah sampai masanya kerajaan mengadakan program menjelajah ke seluruh negara untuk mengingatkan rakyat bahawa Perlembagaan negara digubal berasaskan kesepakatan semua kaum di negara ini.

Ia merupakan satu kontrak sosial rakyat berbilang kaum yang tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

Tidak ada kompromi atau toleransi terhadap apa-apa sahaja usaha untuk mempertikaikan kandungan perlembagaan negara. Rakyat perlu jelas bahawa kontrak sosial adalah mekanisme yang membolehkan suasana keamanan dan kemakmuran negara kita terus terpelihara.

Kerajaan tidak harus berlembut dengan pihak-pihak yang semakin berani mempertikaikan peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tindakan tegas perlu diambil agar menjadi pengajaran kepada pihak yang ingin menguji 'keterbukaan' kerajaan. Jika tidak ada tindakan, dibimbangi ia memberikan petanda bahawa kerajaan boleh berkompromi terdapat isu sensitif dan boleh menggugat keharmonian dan kemakmuran Malaysia ini.

Pihak yang berminat untuk mempertikaikan kontrak sosial wajar merenung dan menginsafi bahawa kejayaan yang dicapai sehingga kini adalah berpunca daripada suasana aman dan makmur yang wujud di Malaysia. Jangan sesekali mempertaruhkan sesuatu yang terlalu bernilai kerana ia boleh merosakkan generasi akan datang.

Saranan Perdana Menteri agar kontrak sosial dipertahan dan dipatuhi amat wajar diterima dengan hati terbuka dan penuh keinsafan memandangkan ia adalah merupakan ramuan utama bagi menjayakan gagasan Satu Malaysia.


Sumber: Utusan Malaysia Online, 24 Ogos 2009

Monday, August 10, 2009

Ujian getir menanti UMNO di Permatang Pasir

PRESTASI cemerlang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Manek Urai, Kelantan akan diuji sekali lagi di Permatang Pasir, Pulau Pinang.

Barisan Nasional secara tradisinya akan meletakkan wakil UMNO manakala di pihak Pakatan Rakyat calon Pas akan bertanding di kerusi ini meskipun PKR juga mahu "mencuba nasib" di sini atas alasan kehendak akar umbi mereka.

Ironinya, majoriti penduduk di kedua-dua lokasi ini adalah datang dari kaum Melayu dan apa yang membezakan statistik pola pengundi disini kali ini ialah pertambahan angka pengundi-pengundi kaum lain yang meningkat kepada 25 peratus di Permatang Pasir.

Permatang Pasir adalah salah sebuah kawasan ADUN yang terletak di bawah Parlimen Permatang Pauh yang merupakan kubu kuat PKR yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dengan peningkatan momentum kebangkitan BN pada kali ini di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, pakatan pembangkang kini tidak boleh mengambil mudah pertandingan yang dijangka sengit pada kali ini.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh yang telah diwarisi oleh Anwar sejak 1982 hinggalah hari ini tidak pernah menghasilkan cabaran yang mudah bagi UMNO. Pada pilihan raya umum yang lalu, ADUN Pas iaitu Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman telah memenangi kerusinya dengan majoriti undi sebanyak 5,433 undi daripada 16,575 pengundi.

Allahyarham Hamdan yang telah memenangi kerusi itu sejak pilihan raya umum tahun 1999 menerima sokongan kuat daripada undi orang Melayu yang membentuk angka sebanyak 72.93 peratus daripada 20,350 pengundi berdaftar di kawasan tersebut.

Walaupun pada Pilihan Raya Umum ke-11 tahun 2004 yang telah menyaksikan kebangkitan UMNO pada ketika itu di samping kemerosotan Pas yang hilang banyak kerusi di kawasan Semenanjung sejak tahun 1999, Hamdan masih lagi berupaya mengekalkan kerusinya dengan majoriti sebanyak 679 undi.

Bagi penganalisis politik, kemenangan pihak UMNO pada pilihan raya kecil kali ini adalah agak mustahil tetapi jika ia mampu dicapai, kemenangan ini boleh menjadi turning point bagi UMNO dalam merangka strateginya dalam usaha menawan kembali hati rakyat untuk menyokong mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Signifikan kemenangan UMNO pada kali ini adalah amat penting baginya secara khusus kerana ia memperlihatkan kembali sokongan orang Melayu kepada UMNO dan secara amnya kepada parti-parti komponen lain yang boleh mengambil "pendekatan bijak" UMNO dalam berkempen untuk memenangi hati rakyat.

Prestasi cemerlang UMNO di Manek Urai yang telah berjaya mengecilkan majoriti undi Pas yang hanya tinggal sebanyak 65 undi secara langsung banyak membuka mata dan telinga banyak pihak dan keadaan ini pasti menggusarkan pakatan pembangkang terutamanya Pas yang akan bertanding kali ini.

UMNO pasca kemenangan di Manek Urai semakin bersemangat untuk menang di Permatang Pasir kali ini susulan daripada beberapa isu dan peristiwa kontroversi yang melanda Pakatan Rakyat. Jika di Manek Urai, isu kerajaan perpaduan yang telah memperlihatkan kelemahan gabungan pakatan rakyat telah dimainkan dalam kempen UMNO dan BN tetapi ia disambut pula dengan isu royalti minyak Kelantan yang telah digunakan sebagai tindak balas kepada gelombang kebangkitan BN.

Namun begitu, pakatan rakyat kali ini sudah tentu gelisah dengan perkembangan mutakhir senario politik semasa. Kes liwat Ketua Umum PKR di Mahkamah, isu kelemahan pentadbiran kerajaan Menteri Besar Selangor, isu siasatan exco yang disyaki menerima rasuah juga di Selangor, kematian Teoh Beng Hock, perhimpunan haram Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), isu penjualan arak secara terbuka di Selangor dan yang terbaru isu Jeff Oii yang melabel kumpulan JIM sebagai ekstremis yang menyokong keganasan adalah merupakan rentetan kepada kelemahan dan "ribut" yang sedang melanda kerajaan pakatan pembangkang.

Perkembangan mutakhir inilah yang boleh memberikan kelebihan kepada BN dan UMNO secara khususnya untuk meneruskan strategi menawan kembali hati rakyat terhadap perjuangannya. Kempen pilihan raya secara berhati-hati yang telah dilakukan di Manek Urai perlu dikekalkan UMNO dalam usahanya untuk merampas kembali kawasan Permatang Pasir sekali gus akan meningkatkan momentum BN kelak.

Namun begitu, kemenangan yang dimimpikan BN di Permatang Pasir adalah dijangka bukan mudah. Ini adalah kerana kebanyakan orang Melayu di kawasan Parlimen Permatang Pauh yang mempunyai tiga kawasan DUN di bawahnya iaitu Penanti, Permatang Pasir dan Seberang Jaya masih sinonim dengan Anwar Ibrahim manakala swing vote penduduk Cina dan India pada pilihan raya umum yang lalu kepada Pakatan Rakyat masih menghantui BN.

Krisis perpecahan dalaman UMNO Permatang Pauh juga sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada persiapan UMNO dan BN dalam menghadapi pilihan raya yang akan datang ini.

Sungguhpun kemenangan BN dan UMNO pada kali ini kelihatan agak sukar, tetapi jika ia dapat direalisasikan ia secara langsung akan menghentikan momentum kejayaan pakatan pembangkang seperti yang telah ditunjukkan dalam enam kali pilihan raya kecil yang telah dilangsungkan selepas pilihan raya umum yang lalu.

Jika menang ia juga merupakan suntikan moral bagi UMNO yang kini hanya berstatus pembangkang di negeri Pulau Pinang yang mana ia menyaksikan wakil rakyat dari DAP yang mempunyai majoriti terbesar dalam DUN di Pulau Pinang.

Sesungguhnya, Permatang Pasir merupakan medan ujian kredibiliti kerajaan pakatan pembangkang terutamanya di tiga negeri di bawah pentadbirannya. Isu meroboh kandang babi di Kedah, isu Kampung Buah Pala di Pulau Pinang dan krisis kelemahan pentadbiran kerajaan negeri di Selangor dan isu-isu lain adalah rentetan isu yang boleh dihakimi oleh rakyat terhadap kredibiliti pakatan pembangkang.

UMNO dan BN seharusnya perlu berusaha dengan bijak untuk keluar sebagai pemenang dalam pertandingan ini dan sewajarnya patut meletakkan kejayaan ini sebagai kembalinya sokongan rakyat dan menandakan kebangkitan semula UMNO dan BN sebagai parti unggul memperjuangkan nasib dan hak rakyat.


Oleh: ACHMAD DZARIEAN MOHD NADZRI
Penulis ialah Tutor, Bahagian Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.