Monday, July 27, 2009

SAYA PEMIMPIN UNTUK SEMUA KAUM, KATA MUSA

SANDAKAN: Tiada kaum yang akan terpinggir dalam menikmati arus pembangunan sebaliknya seiring dengan aspirasi kearah 1Malaysia,” kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman.

Menteri Kewangan Negeri itu berkata dalam konteks 1Malaysia, setiap kaum dan bangsa terus mendapat pembelaan sama sejajar dengan dasar kerajaan yang diterajui oleh kerajaan Barisan Nasional (BN),yang akan membangunkan rakyat termasuk di pendalaman dan luar bandar.

“Selaku Ketua Menteri saya adalah pemimpin untuk semua kaum dan aspirasi 1Malaysia mengajak kita untuk terus bersatu padu dan bertoleransi demi perpaduan kaum yang harmoni ini,” katanya

Beliau berkata demikian pada majlis Tagajoh Gayog sempena Perhimpunan Persatuan Bangsa Sungai (Sabas), di Dewan Sri Libaran di sini kelmarin.

Ketua Menteri itu berkata majlis perhimpunan Sabas telah menjadi wadah bagi memupuk nilai-nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan etnik di negeri ini.

Katanya dengan semangat perpaduan dan kerjasama yang kukuh akan mampu membawa suku kaum ini melangka ke hadapan untuk membawa rakyat ke arah kemajuan pembangunan yang lebih baik.

Musa juga menyentuh soal ekonomi masyarakat ini yang mana beliau (Musa), mahu melihat kaum ini merebut peluang untuk maju dalam pelbagai bidang peniagaan dan seboleh-bolehnya mengelakkan terlibat dalam projek ‘ali baba’.

Sehubungan itu, beliau berharap agar masyarakat orang Sungai di negeri akan terus berusaha dan membangun menjadi bangsa yang berdaya maju, bersaing dan berkualiti serta berinovasi sekaligus menyumbang secara langsung kepada kemakmuran ekonomi negeri.

Terdahulu Ketua Menteri itu diberi penghormatan menerima gelaran ‘Tagajoh Gayoh’ sebagai sumbangan dan jasa beliau kepada negeri.

Hadir sama, Presiden Sabas, Datuk Zakaria Haji Edris serta para barisan Ahli Jawatankuasa Sabas dan lebih 2,500 ahli Sabas dari seluruh negeri Sabah.

Katanya, Kerajaan negeri Sabah melaksanakan pembangunan secara keseluruhan bagi memastikan semua rakyat tanpa mengira kaum mendapat manfaatnya.

Musa berkat, Koridor Pembangunan Sabah (SDC) adalah contoh komitmen kerajaan untuk membawa pembangunan kepada segenap lapisan masyarakat di setiap pelusuk negeri ini.

“Menerusi SDC, kerajaan negeri berpeluang membawa pembangunan di semua daerah, kerana ia adalah pelan yang holistik (keseluruhan).

“Dengan adanya pembangunan sama rata, tiada rakyat atau kawasan di Sabah yang akan terpinggir,” katanya lagi.

Beliau berkata pelaksanaan pembangunan secara keseluruhan di negeri ini bersesuaian dengan konsep 1Malay- sia yang menjadi agenda penting Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata rakyat di pantai timur, pantai barat dan pedalaman di negeri ini akan memperoleh manfaat daripada pelaksanaan beberapa projek di bawah SDC.

Sehubungan itu, Musa berkata pembangunan secara keseluruhan akan terus menjadi keutamaan kepada kerajaan negeri dalam melaksanakan apa juga projek pembangunan di negeri ini.

Sumber, New Sabah Times, 26th July, 2009

Thursday, July 23, 2009

Kepimpinan Najib diyakini belia berpendidikan tinggi

KUALA LUMPUR 23 Julai – Golongan belia di negara ini yakin kepimpinan, keupayaan dan prestasi Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dalam tempoh 100 hari, menurut hasil tinjauan Yayasan Kerjasama Malaysia. Tinjauan itu juga mendapati 64 peratus golongan belia berpendidikan tinggi di negara ini menyatakan sokongan padu mereka terhadap kewibawaan Najib.

Malah, gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri serta konsep 1Belia yang dicanang oleh Kementerian Belia dan Sukan masing-masing mencatatkan sokongan majoriti responden dengan masing-masing 76 peratus dan 74 peratus.

Fellow Utama yayasan itu, Prof. Datuk Dr. Sulaiman Md. Yassin berkata, hasil rumusan tinjauan menunjukkan golongan belia berpendidikan tinggi menaruh kepercayaan terhadap Najib sebagai pemimpin yang boleh diharapkan rakyat dan bukannya pemimpin retorik semata-mata. “Golongan ini percaya Perdana Menteri telah berjaya menangani isu-isu nasional dengan baik meliputi hubungan antara kaum, ekonomi, hubungan antarabangsa serta politik dalaman negara.

“Kira-kira 60 peratus daripada mereka juga beranggapan masa depan politik di negara ini adalah stabil di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Beliau yang juga Fellow Penyelidik Utama Sains Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, golongan belia berpendidikan tinggi di negara ini menampakkan kematangan apabila menilai Najib daripada sudut ketelusan dan prestasi.

Sumber: Utusan Malaysia online, 24 Julai 2009

Keputusan mansuh PPSMI muktamad, kata Muhyiddin

PUTRAJAYA: Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diputuskan Kabinet minggu lepas adalah muktamad, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin. Katanya walaupun ada gesaan supaya dasar itu dikekalkan di peringkat sekolah menengah, namun pendirian kerajaan adalah konsisten dengan tidak mengekalkan status quonya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata yang penting sekarang, adalah mencari kaedah memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid. Ini termasuk memanggil pakar-pakar bahasa Inggeris dalam masa terdekat untuk memberi input membentuk kurikulumnya yang baru. “Setiap keputusan (Kabinet) mestilah konsisten, mungkin ada rasionalnya (sesuatu pandangan atau gesaan) kerana ia berdasarkan pengalaman. Dan saya tidak kata ia (cadangan itu) tidak bagus tetapi dalam konteks ini, kita mestilah konsisten selepas membuat sesuatu keputusan yang cukup besar (memansuhkan PPSMI),” katanya, selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008 Kementerian Pelajaran di sini.

Kabinet pada 8 Julai lalu memutuskan bahawa mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012. Serentak itu, diumumkan juga strategi untuk memartabatkan bahasa Malaysia (MBM) serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris (MBI) di semua peringkat persekolahan. Semasa mengumumkan keputusan itu minggu lepas, Muhyiddin berkata pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dua mata pelajaran itu dalam Bahasa Malaysia akan diadakan secara bertahap di Tahun Satu dan Tahun Empat di sekolah rendah dan Tingkatan Satu dan Tingkat Empat di sekolah menengah yang bermula 2012.

Bagaimanapun, katanya, perubahan itu tidak melibatkan Tingkatan Enam dan matrikulasi.
Beliau berkata untuk memastikan pelaksanaan strategi baru itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi-bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014. PPSMI diperkenalkan pada 2003 dan kumpulan pertama murid-murid yang mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sejak Tahun Satu ialah mereka yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas.

Sumber: New Sabah Times,17th July, 2009

Monday, July 13, 2009

Manek Urai jadi kota agropolitan

KUALA KRAI 12 Julai – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Manek Urai akan dijadikan sebuah kota agropolitan untuk melonjakkan pembangunan dan menjana ekonomi rakyat yang masih memerlukan banyak pembelaan. Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, seiring dengan perancangan memajukan pertanian secara komersial itu, prasarana untuk keselesaan rakyat akan disegerakan oleh Barisan Nasional (BN) termasuk membina jambatan baru menghubungkan Manek Urai Lama dan Baru. Menurut beliau, jambatan baru dua lorong yang dijangka membabitkan kos RM7 juta itu akan segera dibina jika BN diberi kepercayaan dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Selasa ini.
“BN berjanji hari ini dengan disaksikan oleh semua bahawa menang sahaja BN, kita akan terus memulakan kerja-kerja pembinaan baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Lama di sini hari ini. Jambatan satu lorong sepanjang kira-kira 200 meter itu yang dibina pada akhir 80-an merupakan satu-satunya penghubung antara kedua-dua Manek Urai itu dan menjadi nadi utama kepada lebih 3,000 penduduk Manek Urai Lama.
Ia sebahagian daripada janji dalam kempen pilihan raya - Rakyat Didahulukan, Manek Urai diutamakan, malah Muhyiddin sebelum ini menegaskan Manek Urai akan diberi perhatian sebagai anak emas Kerajaan Pusat.

Terdahulu semasa merasmikan Hari Guru peringkat negeri di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru di sini, Muhyiddin berkata, Manek Urai akan muncul sebagai kawasan pembangunan baru di Kelantan jika BN diberi peluang memenangi pilihan raya kecil itu. Tawaran kerajaan BN itu dijangka mampu mengubah bukan saja pembangunan di kawasan itu malah ekonomi dan sosial penduduk yang majoritinya bekerja sebagai penoreh getah. Tambah Muhyiddin, kota agropolitan bertujuan untuk memaksimumkan sektor pertanian di Manek Urai yang jauh ketinggalan berbanding kawasan lain. “Kalau BN menang kita akan jadikan Manek Urai anak emas, memang benar antaranya kota agropolitan kerana kawasan ini mewah dengan hasil pertanian, semuanya ada...durian, rambutan dan manggis baik-baik belaka. “Tetapi sayangnya tiada usaha tersusun dan sistematik bagi menguruskannya, kita mahu pastikan sektor pertanian adalah perniagaan,” katanya.

Tegas Muhyiddin, pembangunan tidak akan turun dari langit hanya sekadar berdoa tanpa berusaha gigih untuk melaksanakannya. Katanya, isu pembangunan langsung tidak menyalahi Islam kerana ajaran agama sendiri menuntut supaya umat Islam di samping mengejar kepentingan akhirat tetapi pada masa sama tidak boleh melupakan kebajikan dunia. “Nik Aziz seorang pemimpin yang cakap tidak serupa bikin, dia kata membangun bersama Islam tetapi hakikatnya dia langsung tidak membangunkan negeri hampir 20 tahun memerintah. “Doa sahaja Allah tidak akan menjadikan masjid atau jambatan. Sepanjang masa ini BN membina 564 buah masjid, tidak termasuk jalan raya atau bangunan lain. Sekarang saya nak tanya, siapa yang membangun bersama Islam, Pas atau BN?,” katanya

Sumber: Utusan Malaysia Online, 13 Julai 2009

Kurangkan beban rakyat

KUALA LUMPUR 12 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan sedang mengkaji mengurangkan perbelanjaan yang terpaksa dibayar oleh rakyat untuk pengangkutan termasuk mengenakan kadar tol yang tidak membebankan. Menurut Perdana Menteri, langkah itu adalah selaras dengan pengumumannya semalam untuk memberikan diskaun 20 peratus kadar tol kepada pengguna SmartTag dan Touch ‘n Go yang menggunakannya 80 kali sebulan mulai 1 September ini. ‘‘Jika kita lihat perbelanjaan individu di kawasan bandar walaupun dengan pendapatan RM3,000 sebulan, kalau terpaksa bayar tol ulang-alik pergi kerja sebulan sebanyak RM300, ertinya setahun sudah hampir sebulan gaji dan ini tidak cukup untuk belanja hidup.
‘‘Sebab itu (diskaun 20 peratus) semalam hanya penyelesaian interim (sementara) dan kita sedang mengkaji keseluruhan sistem tol bagi mengurangkan perbelanjaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif sempena 100 hari pentadbiran Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung melalui saluran TV1 di sini malam ini. Temu bual selama sejam bermula pukul 8.30 malam itu dikendalikan oleh pengacara RTM, Syed Munawar Syed Mustar.

Selain mengurangkan perbelanjaan rakyat, Perdana Menteri berkata, beliau akan memberikan tumpuan bagi meningkatkan gaji bulanan penduduk negara ini yang disifatkan masih rendah. ‘‘Pada umumnya gaji bulanan rakyat tidak begitu tinggi, sepatutnya dinaikkan lagi khususnya di kalangan masyarakat luar bandar supaya mereka tidak terpinggir. ‘‘Sebab itu, saya telah meletakkan sasaran untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai bidang pekerjaan yang mampu menjana pendapatan tinggi,” katanya.

Mengenai pengumuman semalam yang dianggap sesetengah pihak bagi meraih populariti, Najib menjelaskan, ia adalah tidak benar kerana jika itu tujuannya sudah pasti beliau melakukan tindakan tersebut sejurus selepas dilantik sebagai Perdana Menteri. ‘‘Kalau kita lihat selepas mengambil alih jawatan tumpuan saya ialah untuk mengubah dasar negara termasuk ekonomi dan kemudiannya memperkenalkan gaya pentadbiran berasaskan 1Malaysia dan selepas 100 hari baru mengumumkan hadiah-hadiah untuk rakyat,’’ ujarnya.

Mengenai ulasan beberapa pihak yang mempertikaikan pengeluaran 3,000 permit teksi individu, katanya, ia dilakukan setelah maklum balas yang diterimanya menunjukkan pemandu terbabit terbeban kerana terpaksa membayar kadar sewa RM50 sehari. ‘‘Bagi saya adalah tidak adil apabila pemandu teksi ini juga terpaksa membayar minyak kenderaan manakala pemegang permit hanya duduk sahaja di rumah,’’ katanya.


Sumber: Oleh NIZAM YATIMpengarang@utusan.com.my

Pas tidak beri tumpuan isu pembangunan - Muhyiddin

KUALA KRAI 12 Julai - Pas tidak memberi tumpuan kepada soal pembangunan dan kebajikan rakyat ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai kerana tidak mampu melaksanakannya walaupun memerintah negeri ini hampir 20 tahun.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia jelas dilihat apabila Pas tidak menyebut langsung perkara itu, sebaliknya mengalihkan pandangan pengundi kepada isu-isu lain yang tiada kaitan dengan penduduk tempatan.

Beliau berkata, pengundi di Manek Urai tidak boleh dipandang rendah kerana mereka kini amat menyedari bahawa pembangunan adalah penting. Katanya, penduduk di situ tidak lagi akan terpedaya dengan cara berpolitik sekadar menjanjikan syurga. "Soal syurga neraka itu tuhan sudah ditentukan, kalau orang Islam buat amalan, buat pahala, buat baik semua syurga.
''Tidak ada dalam al-Quran, orang Islam Pas, orang Islam UMNO. Kalau ada dalam al-Quran, Menteri Besar, Nik Aziz Nik Mat kata orang Pas masuk syurga, buktikan kepada saya hari ini,'' katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Kelantan di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru di sini hari ini.

Muhyiddin menegaskan, beliau tidak mahu dengan pandangan begitu, penduduk Manek Urai tertipu dan ditipu dengan buaian bahawa pembangunan tidak penting. ''Kalau tidak penting buat apa imam minta masjid baru. Saya kata okey, saya faham tetapi dia kena faham saya, sebab itu saya cabar berapa banyak masjid baru Pas bina berbanding masjid sewaktu Kelantan di bawah Barisan Nasional (BN)," katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, Kerajaan Pusat membuat tawaran baru kepada penduduk di Manek Urai bagi memastikan mereka mendapat pembangunan yang sewajarnya. "Manek Urai akan jadi kawasan pembangunan baru bukan sebab pilihan raya kecil ini sahaja. Sebelum ini saya pernah datang ke sini dan melihat ada keperluan untuk majukan kawasan ini," katanya. Beliau menambah, dakwaan pemimpin Pas bahawa kerajaan Kelantan sekarang masih dalam usia 'remaja' dan tidak boleh dibandingkan dengan Kerajaan Pusat yang berusia lebih 50 tahun adalah tidak tepat sama sekali.

Menurut beliau, 20 tahun adalah satu tempoh masa lama untuk sebuah kerajaan dan mereka sewajarnya mampu menjana ekonomi dan pendapatan sendiri. "Remaja apa sudah 20 tahun. Sepatutnya mereka ada kemampuan tetapi mereka tidak tunjuk bagaimana hendak cari sumber untuk membantu. ''Kalau tidak hendak bina sekolah sebab Kerajaan Pusat buat tak apa, tapi lain-lain kemudahan yang biasanya tanggungjawab kerajaan negeri bagaimana?,'' katanya.

Mengulas kenyataan Nik Aziz yang menolak cabarannya, beliau berkata, cabaran itu bukan satu perkara main-main kerana rakyat di Manek Urai seharusnya mendapat penjelasan yang betul. "Saya kata jawab saya dulu kalau kata nak bangun bersama Islam, sudah 20 tahun memerintah senaraikan yang dibuat dari segi undang-undang, hukum, pembangunan keluarga Islam, bantuan kebajikan, pekebun kecil, masjid dan surau cuba mereka senaraikan "Saya cabar itu bukan main-main sebab nak beri tahu rakyat Manek Urai bahawa segala yang Pas kata tak penting itu satu kenyataan yang tidak betul,'' katanya.

>
>
Sumber: Utusan Malaysia Online, 13 Julai 2009

Sunday, July 12, 2009

100 HARI PM

TALKING POINTS YAB. DATO' SRI MOHD NAJIB BIN TUN ABD. RAZAKPERDANA MENTERI MALAYSIASEMPENA "100 HARI YAB. DATO’ SRI MOHD NAJIB BERSAMA RAKYAT"PADA 11HB JULAI 2009 (SABTU), JAM 10.35 PAGI DI EXHIBITION HALL 2, LEVEL GKUALA LUMPUR CONVENTION CENTRE, (KLCC)

BismillahirrahmanirrahimAssalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.1. Terlebih dahulu marilah kita mengucapkan rasa syukur tidak terhingga ke hadrat Allah S.W.T yang telah memberi limpah perkenan dan keizinanNya kepada kita untuk berhimpun pada hari yang bermakna ini.

2. Ternyata masa bergerak dengan sungguh pantas. Kira-kira seratus hari yang lalu, bersamaan 3hb April, pada tarikh lantikan sebagai Perdana Menteri saya telah tampil menggariskan hala tuju pentadbiran kerajaan. Dalam tempoh sebelum-sebelum ini saya banyak membuat ketetapan dan siri pengumuman berkisarkan usaha merangsang ekonomi, langkah-langkah peningkatan daya saing negara dan inisiatif menarik minat pelabur asing.

3. Namun, pada pagi yang ceria ini, saya mahu menumpu dan berfokus untuk bercakap tentang hal ehwal rakyat. Ucapan hari ini, saya dedikasikan khusus tentang kesejahteraan dan kebajikan tuan-tuan, puan-puan serta anak-anak sekalian. Ucapan ini adalah ucapan yang cakna terhadap aspirasi rakyat Malaysia. ‘Today it is all about you the people of Malaysia’. Teringat saya pantun orang tua-tua kita yang masih segar dalam ingatan berbunyi : 'Kalau tidak kelapa Puan, tidak juga kelapa bali, kalau tidak kerana tuan-tuan dan puan-puan, mana kan saya berada di sini’.

4. Jika diimbas, sejak mula mengambil alih pucuk pimpinan negara, saya telah menggagaskan pentadbiran kerajaan dipaksikan atas konsep 1Malaysia rakyat didahulukan pencapaian diutamakan. Mungkin ramai yang tertanya-tanya kenapa konsep 1Malaysia dan mengapa ia menjadi landasan pentadbiran saya?

5. Jawapannya mudah, kerana, bagi saya kita adalah satu keluarga besar yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya mahu pun kepercayaan. Justeru, setiap warga Malaysia merupakan komponen penting demi menentukan maju atau mundur, berjaya atau gagal negara yang tercinta ini. Hakikatnya, kita, sama ada orang Melayu, Cina, India, Sikh, Iban, Kadazan, Bidayuh, Orang Asli, kaum-kaum lain sekali pun orang Malaysia keturunan Siam yang menetap di sini adalah penting untuk kejayaan Malaysia. Pendek kata, kita semua adalah rakyat Malaysia. Kemajmukan kita inilah yang menjadi 'asset and competitive advantage that has and will continue to put us head and shoulder above our global competitors’.

6. Dek kerana itu, bagi saya, seseorang pemimpin yang berkesan bukanlah seorang pemimpin yang berpuas hati setakat duduk dan menunggu di bilik berhawa dingin dalam pejabat-pejabat untuk mendengar taklimat atau sekadar menerima laporan yang belum tentu pasti ceritanya. Seorang pemimpin yang prihatin dan berjiwa rakyat ialah seorang pemimpin yang 'turba’, sanggup turun ke bawah dan melihat dengan mata kepalanya sendiri penderitaan rakyat, mendengar rintihan, keluh kesah juga merasai gundah gulana mereka sekaligus mampu meresapi denyutan nadi rakyat yang dipimpinnya.

7. Lantas, saya telah turun padang bermula hari kedua saya menjadi Perdana Menteri untuk membuat tinjauan-tinjauan mesra. Ia bermula di Petaling Street untuk melihat keadaan peniaga-peniaga Cina kita. Di sana, mereka memohon agar bumbung utama digantikan dan ditambah bumbung kepada gerai-gerai individu. Hasilnya, pada Isnin ini Menteri Wilayah Persekutuan akan mengumumkan perincian projek penggantian dan tambahan bumbung berkenaan.

8. Saya kemudian telah membuat tinjauan mesra ke pangsapuri Vista Angkasa kawasan Kerinchi. Saya terkejut melihat keadaan suram dengan bangunan yang hitam. Masalahnya, bukan hitam manis tapi hitam kusam. Lebih mengejutkan saya lifnya berada dalam keadaan uzur. Hal ini sungguh membuatkan saya berasa simpati dan terus mengarahkan tindakan diambil untuk pembaikan. Hasil tinjauan ini, saya boleh melaporkan bahawa 65 peratus kerja-kerja pembersihan dinding dan cat asas selesai, 95 peratus kerja mengecat bangunan parking selesai, 100 peratus kerja penyambungan kabel telefon di blok 2, 5 dan 8 selesai manakala kerja-kerja membaiki lif akan dimulakan dalam waktu yang terdekat.

9. Kemudian pula saya ke Brickfields pula bagi meninjau kebajikan peniaga-peniaga India. Mereka telah memajukan kepada saya permohonan untuk menambah baik prasarana di kawasan tersebut. Kita menyambut baik hasrat rakyat ini dan telah bersetuju bahawa kawasan ini nanti akan dibangunkan sebagai “Little India” yang lebih terancang.

10. Apa yang menarik, semasa di sana saya telah berkesempatan untuk menikmati teh tarik dan makan tosai di restoran Sri Kortumalai. Saya cukup terharu apabila mengetahui bahawa tauke restoran iaitu Encik S.Paramasivam yang mempunyai marketing acumen cukup baik dengan menamakan sudut tempat saya minum itu sebagai Najib’s corner. (Joke : Nampaknya jika ini menjadi trend terpaksalah saya memikir untuk franchisekan brand Najib’s corner dan kutip royalti).Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

11. Saya juga telah pergi untuk tinjauan mesra di Puduraya setelah mendengar rungutan ramai pihak sejak sekian lama mengenai pelbagai kemelut yang melanda nadi pengangkutan awam rakyat ini. Saya menyaksikan sendiri bagaimana keadaan bangunan yang sangat daif dan tidak selesa bukan sahaja untuk para penumpang tetapi juga syarikat-syarikat pengangkutan dan para peniaga yang telah beroperasi selama puluhan tahun. Keputusannya, saya telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM 44 juta yang mana RM30 juta ialah untuk UDA bagi membaik pulih bangunan dan RM 14 juta lagi untuk Kementerian Wilayah untuk menceriakan kawasan sekeliling Puduraya. Hasilnya, hari ini sudah jauh bertambah elok dari keadaan terdahulu dengan pelbagai tempat yang dicat baru dan dipulihkan agar Puduraya menjadi lebih selesa untuk kemudahan rakyat.

12. Selanjutnya saya juga telah berkunjung ke kampung Picin, Batang Ai, Lubuk Antu, Kampung Bintawa dan Pasar Malam di Sibu Sarawak. Saya berkunjung ke Pasar Kraft dan pasar Besar di Kota Kinabalu. Terbaru saya ke UiTM bersama anak-anak kita yang baru mendaftar. Saya dan isteri meluangkan masa bersenam dan melawat asrama serta tempat mereka belajar untuk melihat sendiri keadaan sebenar yang dirasai oleh para pelajar institusi pengajian tinggi. Itulah antara siri tinjauan mesra saya. Ternyata siri tinjauan ini telah membolehkan saya secara langsung menyelami sendiri aspirasi dan keprihatinan rakyat di luar sana. Dengan itu saya bertekad dari masa ke semasa saya akan melakukan lebih banyak lagi tinjauan dan lawatan spontan seperti yang demikian.

13. Dari itu Alhamdulillah, dengan rahmat Yang Maha Esa jua, genaplah 100, hari ini , saya menjunjung amanah sebagai Perdana Menteri dan sekali lagi saya berdiri dengan penuh sukacita melaporkan beberapa kemajuan perkara yang telah dirancang dan sedang dilaksanakan sejak hari yang pertama. Segala rencana dan susunan agenda itu merangkumi pertamanya : Kesejahteraan rakyat dan kemakmuran ekonomi, keduanya : Hak asasi manusia dan kebebasan media serta ketiganya : Peningkatan kecekapan penjawat awam juga keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatannya.

14. Seterusnya pula, seawal memegang tampuk pentadbiran tertinggi negara, saya telah mengumumkan KPI atau Indeks Petunjuk Prestasi bagi rakyat mengukur pencapaian anggota pentadbiran kerajaan. Tujuan saya mewujudkan KPI bagi anggota pentadbiran dan anggota perkhidmatan awam ini adalah untuk memastikan terdapat garis panduan jelas kepada kedua-dua penggubal dan pelaksana dasar dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. Ia juga menyediakan landasan yang jelas kepada rakyat untuk menilai prestasi mereka. Saya percaya langkah ini akan dapat mengukuhkan prinsip kebertanggungjawaban.

15. Baru-baru ini pula, demi untuk mencapai matlamat KPI tersebut dengan lebih berkesan saya telah menggariskan NKRA atau bidang-bidang keberhasilan utama nasional yang meliputi 6 lapangan:i) Mencegah Jenayahii) Memerangi Rasuahiii) Meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuaniv) Meningkat taraf hidup rakyat yang berpendapatan rendahv) Memperkasa prasarana luar bandar dan pedalamanvi) Menambah baik Pengangkutan Awam sebagai jangka masa sederhana Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

16. Sesungguhnya, semua yang digagas dan dirangkakan ini, tidak lain dan tidak bukan untuk menjayakan kerangka maksud 1Malaysia. Dalam pada itu, saya insaf, tidak ada di mana-mana dalam dunia pun inisiatif atau prakarsa kerajaan yang akan mendapat sokongan 100% semua pihak dan semua rakyatnya. Sudah menjadi lumrah alam, tentu ada yang menyokong dan tentu ada yang menentang.

17. Waima apa pun, sebagai Perdana Menteri untuk semua, saya berpegang teguh pada prinsip bahawa tugas besar ini adalah satu amanah daripada rakyat. Makanya, saya akan terus berusaha sedaya mungkin dan menyingsing kudrat untuk mencari penyelesaian-penyelesaian seraya membuat keputusan-keputusan demi kepentingan tuan-tuan dan puan-puan.

18. Ertinya, sebagai Perdana Menteri yang dipilih, saya akan bertanggungjawab sepenuhnya kepada kebajikan tuan-tuan dan puan-puan. Untuk itu, saya sentiasa bersikap objektif melaksanakan semua tugas mulia ini dengan penuh "decisive”. Jika tidak, negara dan rakyat akan terumbang ambing dengan ketidakpastian. Malah dalam sebarang keputusan, kepentingan rakyat didahulukan dan saya tidak membuat sesuatu secara berwenang-wenang jauh sekali secara semberono.

19. Kini, sudah menjadi amalan untuk kita mendapat pandangan balas dan berkonsultasi dengan pelbagai lapisan masyarakat dalam mencari jalan keluar menangani isu-isu yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat.

20. Lantaran itu, melihat kepada tuan-tuan dan puan-puan, berkumpul dalam dewan ini, rata-rata terdiri daripada segenap lapisan masyarakat, ditambah dengan ratusan wajah anak-anak cilik di depan saya, seakan meresap dan bersemarak ke seluruh anggota satu semangat dan keyakinan yang membumbung bahawa apa yang kita sedang gemblengkan ini bukanlah satu angan-angan atau fatamorgana.Tuan-tuan dan puan-puan,

21. benar sekali, tugas kita adalah amat besar, bagi memastikan masa depan anak-anak bangsa terbela kerana yang menjadi pertaruhannya bukan generasi hari ini tetapi generasi yang akan datang. Kita haruslah membina Malaysia di mana semua anak-anak kita mempunyai peluang untuk mengoptimumkan potensi masa depan mereka. Malaysia, di mana setiap anak-anak kita merasakan mereka dihargai dan mempunyai peluang untuk hidup berjaya di hari muka. Kerana merekalah sebenarnya generasi 1Malaysia.

22. Dalam hal ini juga saya ingin tegaskan, tidak ada rakyat kelas kedua atau ketiga. Semua berhak mendapat peluang yang sama sekiranya betul-betul berkebolehan. Kerana itulah, kita kini ingin mengiktiraf the best and the brightest. Saya beraspirasi mencipta satu sistem untuk mengiktiraf yang terbaik dan berbakat di kalangan anak-anak muda kita.

23. Hakikatnya, alangkah malang jika ada anak Malaysia terpaksa berhijrah untuk bakatnya di iktiraf. Alangkah ruginya negara kita. Oleh itu apa yang saya ingin katakan di sini adalah, kita boleh menyedia dan menjanjikan garis pemula yang sama tetapi mana mungkin kita dapat menghamparkan hasil pengakhiran yang sama (equality of access viz a viz equality of outcome). Maka dengan yang demikian, terpulanglah kepada rakyat Malaysia untuk merebut peluang yang terbentang. Barulah nanti Malaysia akan menjadi sebuah negara yang maju dan makmur jika kita menggembleng dan memanfaatkan setiap potensi rakyat Malaysia.

24. Tambahan lagi, sebagai antara 20 negara dagang terbesar di dunia padang permainan kita adalah di peringkat global dan bukannya persaingan tidak produktif sesama kita. Sejarah telah menunjukkan banyak negara di dunia yang pada awalnya mempunyai potensi ke hadapan telah menemui kegagalan apabila mereka mula berasa selesa dan lebih suka membelanjakan kekayaan daripada terus menjananya.Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

25. Kendatipun, negara sedang berada di dalam kemelut ekonomi yang diakibatkan kemelesetan global tidak bermakna kita harus putus asa dan menyerah kalah dengan situasi. Di dalam setiap krisis pasti ada peluang yang mencelah. Marilah kita menggunakan waktu krisis ini untuk membina kapasiti pertumbuhan yang lebih baik di kala ekonomi dunia telah pulih.

26. Saya sedar dan insaf bahawa setiap rakyat Malaysia terkesan akibat kemelesetan ekonomi yang sedang melanda. Pentadbiran saya komited untuk meringankan sedikit sebanyak beban yang sedang ditanggung oleh tuan-tuan dan puan-puan di samping menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pemulihan di peringkat kebangsaan.

27. Sehubungan dengan itu suka saya mengumumkan beberapa langkah yang akan kita ambil bagi membolehkan beban rakyat dikurangkan, kesejahteraan rakyat dipastikan dan kemakmuran negara dikongsi oleh semua. Pengumuman Pemberian Diskaun 20% kepada pengguna kad pra bayar SmartTag dan Touch 'N Go bermula 1hb September 20091.

Pertamanya, kerajaan menyedari bayaran tol ke atas pengguna-pengguna jalan bertol boleh membebankan dalam keadaan ekonomi masa kini. Terutamanya "frequent users” ataupun pengguna yang kerap yang berpendapatan rendah, kerajaan perihatin tentang hal ini. Untuk itu, bagi meringankan beban pengguna lebuhraya yang menggunakan kad pra bayar Smart Tag dan Touch 'n Go yang membayar tol 80 kali atau lebih sebulan, mereka akan layak menerima diskaun sebanyak 20%. Pemberian diskaun ini adalah sebagai langkah sementara dan akan bermula pada 1 September 2009. Pengguna yang layak boleh menuntut diskaun tersebut semasa membuat tambah nilai di 136 Point of Sales (POS) di lebuhraya-lebuhraya utama dan di Ibu Pejabat Touch 'n Go Sdn. Bhd. Dalam tempoh 6 bulan selepas itu, kemudahan ini boleh didapati di mesin-mesin ATM dan stesen minyak utama atau agen yang dilantik di Semenanjung Malaysia.

Program Perumahan Rakyat2.
Keduanya, kerajaan komited menyediakan perumahan mampu milik di bawah Program Perumahan Rakyat untuk membantu golongan berpendapatan rendah mendiami rumah yang berkualiti dan mampu dimiliki. Namun dasar semasa di Wilayah Persekutuan hanya membenarkan mereka menyewa rumah-rumah ini. Bagi mengatasi masalah ini dan untuk memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri, Kerajaan bersetuju untuk membenarkan rumah-rumah tersebut dibuka untuk penjualan bagi penghuni yang sedang menyewa. Jumlah rumah yang ditawarkan untuk tujuan penjualan ini adalah sebanyak lebih kurang 44,000 unit.

Peniaga dan penjaja kecil3.
Ketiganya, berkaitan peniaga dan penjaja kecil. Pada Sabtu 20hb Jun bertempat di Tanjung Karang, Selangor semasa majlis ramah mesra dengan gabungan persatuan penjaja dan peniaga kecil Melayu Malaysia, mereka telah memohon pengurangan sehingga 50% bayaran lesen bagi peniaga kecil dan penjaja. Hari ini, saya dengan sukacitanya mengumumkan semua 69,000 penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan akan menikmati potongan sebanyak 50% kepada pembaharuan dan lesen baru mereka yang berkuat kuasa serta merta. Ini bukan sedikit jumlah potongannya, ia melibatkan antara RM 10 hingga RM 700 setahun. Jadinya, saya menyeru agar kerajaan-kerajaan negeri yang lain juga mengambil langkah yang sama untuk mengurangkan beban para peniaga kecil dan penjaja semasa sebagai tanda kita prihatin terhadap mereka dalam menghadapi krisis ekonomi yang sedang melanda.

4. Selain itu keempat, secara umumnya ke seluruh Malaysia, kerajaan telah memperuntukkan RM 150 juta untuk skim TEKUN bagi faedah peniaga dan penjaja kecil. Manakala RM 15 juta lagi diperuntukkan khusus untuk kegunaan masyarakat India melalui program pembangunan usahawan muda mereka.Penambahan pengeluaran permit teksi

5. Kelimanya, kerajaan telah mengambil keputusan untuk menambah permit teksi kepada individu. Kita dapati pemberian permit sebegini akan memangkin motivasi pemilik teksi bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik serta memberi layanan yang lebih mesra kepada pelanggan. Setakat ini kerajaan telah memberikan lebih 7,000 permit teksi individu. Di sini, saya umumkan, jumlah permit ini akan ditambah sebanyak 3,000 lagi dalam masa tiga bulan akan datang. Walau apa pun, yang lebih penting mutu perkhidmatan haruslah ditingkatkan bersama dengan senyuman yang mesra. Kementerian Dalam Negeri (KDN)Mencegah jenayah

6. Keenamnya, seperti yang saya sebutkan di awal tadi, salah satu bidang keberhasilan utama nasional (NKRA) yang telah dikenal pasti oleh pihak kerajaan adalah meningkatkan tahap keselamatan awam. Dalam hal ini, kerajaan komited untuk mengurangkan kadar jenayah antaranya yang berleluasa seperti ragut dan pencurian kenderaan. Perincian langkah-langkah pencegahan konkrit akan diumumkan pada penghujung bulan ini. Pendaftaran kelahiran

7. Ketujuh, bersangkutan pendaftaran kelahiran. Saya sedar pendaftaran kelahiran merupakan satu isu yang dekat di hati rakyat terutamanya di Sabah dan Sarawak. Oleh itu, pihak Kerajaan akan terus mempergiatkan usaha bagi memastikan bilangan pendaftaran lewat kelahiran dapat didaftarkan dengan kadar segera. Untuk Sabah, semenjak 2005 sebanyak 36,000 permohonan pendaftaran telah diterima dan daripada jumlah tersebut 92% telah diluluskan. Manakala di Sarawak, semenjak tahun 2005 sebanyak 19,000 permohonan telah diterima dan daripada jumlah tersebut, 80% permohonan telah diluluskan. Untuk itu, saya mahukan Unit Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) khususnya di Sabah dan Sarawak akan terus diperkemas bagi memberi bantuan dan kemudahan yang lebih luas kepada penduduk di pedalaman untuk mendaftarkan kelahiran anak mereka.Kewarganegaraan

8. Kelapan, dalam hal kewarganegaraan, untuk makluman, jumlah permohonan yang tertangguh pada 1 November 2008 adalah sebanyak 34,000. Sehingga Jun 2009, sebanyak 46 peratus telah selesai dibuat keputusan. Usaha untuk menyelesaikan baki permohonan yang belum diputuskan akan dipergiatkan lagi dengan sasaran penyelesaian sepenuhnya pada penghujung tahun ini.Dalam pada itu, pihak Kerajaan juga akan menyegera dan mempertimbangkan permohonan Permit Masuk untuk membolehkan pemohon mendapat taraf Penduduk Tetap. Sehingga 2008, sebanyak 34,000 permohonan Permit Masuk diterima oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan sebanyak 41 peratus telah diluluskan. Infrastruktur Luar Bandar

9. Kesembilannya, selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menambah baik connectivity dan akses kepada kemudahan asas, pelaksanaan program people centric seperti jalan luar bandar dan kemudahan bekalan elektrik dan air akan dipertingkatkan terutamanya di Sabah dan Sarawak.Jalan Luar Bandar

10. Kesepuluh, kerajaan akan menggandakan pembinaan jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak daripada 750 kilometer yang dibina dalam Rancangan Malaysia Ke-9 kepada 1,500 kilometer dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 dan di Semenanjung Malaysia, kerajaan akan meningkatkan pembinaan rangkaian jalan demi kemudahan rakyat. Bekalan Air dan Elektrik di Sabah dan Sarawak

11. Kesebelas, bersangkutan liputan bekalan air yang boleh diminum kini berada pada tahap 52% di Sabah dan 61% di Sarawak. Liputan ini akan ditambah menjadi sekurangnya 80% menjelang tahun 2015. Manakala, penekanan yang sama juga akan diberikan kepada liputan bekalan elektrik. Sasaran dan KPI untuk peningkatan ini akan dikemukakan pada hujung bulan ini. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)

12. Perkara yang kedua belas berkaitan lesen memandu. Sesungguhnya generasi muda adalah taruhan masa depan negara. Kerajaan amat memahami bahawa generasi muda adalah generasi yang idealistik dan mempunyai aspirasi, citarasa serta gaya hidup yang tersendiri. Dunia mereka adalah dunia internet, hiburan dan bersosial sesama mereka di tempat-tempat yang popular. Ini termasuklah kemampuan untuk mereka bergerak dari satu tempat ke satu tempat tanpa melibatkan kos yang tinggi. Makanya, motosikal menjadi mod pengangkutan pilihan sebilangan besar anak muda.
Namun begitu, berdasarkan kepada maklumat jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), hanya 6 juta pemegang lesen memandu motosikal kelas B2 yakni 250cc ke bawah.Ini bermakna ramai yang menunggang motosikal tanpa memiliki lesen memandu. Rata-rata terdiri dari anak muda yang berkapcai ke hulu dan ke hilir. Masalahnya, saya dapati kos mendapatkan lesen memandu adalah tinggi iaitu di antara RM500 sehingga RM700. Sehubungan ini, sebagai kerajaan yang memahami naluri anak muda, kita memutuskan untuk membantu secara keseluruhan pengguna motosikal mendapatkan lesen memandu mereka dengan mengurangkan kadar bayaran belajar dan kadar lesen memandu. Ini tidak akan menjejaskan kompitensi di mana ujian kelayakan masih lagi dikekalkan. Saya gembira, institut memandu menyambut baik hasrat kerajaan dan telah bersetuju mengurangkan caj bayaran latihan kepada sebanyak RM211. Inisiatif baru ini akan berkuatkuasa mulai 1 September 2009 sempena bulan kemerdekaan. Permodalan Nasional Berhad (PNB)Amanah Saham Wawasan untuk golongan miskin di Bandar

13. Akhir sekali yang ketiga belas, dalam rangka untuk meratakan kemakmuran Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk Skim Amanah Saham Wawasan terutamanya bagi golongan miskin tegar di bandar. Skim ini bertujuan untuk meringankan bebanan mereka terutama di hujung tahun bagi menampung keperluan persekolahan anak-anak. Menjelang 2010, seramai 20,000 isi rumah miskin tegar di bandar akan diberi sebanyak 10,000 unit untuk isi rumah di bawah senarai E-Kasih. Selaras dengan usaha kerajaan untuk menggalakkan rakyat Malaysia untuk melabur, kerajaan telah bersetuju bagi PNB untuk menubuhkan satu lagi tabung unit amanah baru iaitu "Amanah Saham 1Malaysia (AS 1MALAYSIA)”. Tabung unit amanah baru yang akan dilancarkan tidak lama lagi ini akan dibuka kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan akan mempunyai saiz sehingga 10billion unit tertakluk kepada permintaan semasa. Penubuhan tabung unit amanah baru pada ketika ini adalah sesuai selaras dengan jangkaan pemilihan ekonomi dalam tempoh separuh tahun kedua tahun ini. Tabung ini dijangka akan memberi peluang pelaburan kepada pelabur untuk menikmati pulangan pendapatan yang berpatutan dalam tempoh jangka panjang.

Penutup
14. Akhir kalam, sesungguhnya, langkah-langkah yang saya umumkan dalam tempoh 100 hari ini hanyalah langkah-langkah pemula dalam perjalanan kita ke arah masa depan yang lebih baik, makmur dan terjamin. Perjalanan kita ini ibarat sebuah sungai. Sama ada yang memimpin atau dipimpin semuanya mengalir ke arah yang sama. Saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan serta anak-anak sekalian untuk bersama-sama saya melakar masa depan Malaysia yang menjanjikan peluang yang lebih baik dan adil untuk semua dengan satu harapan.

Tuan-tuan dan Puan-Puan sekalian, izinkanlah saya akhiri ucapan ini dengan sebuah nukilan dari lubuk hati saya bertajuk; Harapan Di wajah suci anak-anak ini ku lihat sinar Di hati murni mereka terpahat sebuah impianAndai sengketa membelenggu sesama Andai kerakusan menguasai kita Ke manakan tumpah harapan merekaKerna, Di bahu kitalah terpikul segunung amanahDi jemala kita terjunjung selaut ikrar Melunas sumpah, menunai janji Ayuhlah,Rakan dan taulan, sahabat dan sainganLupakan beda lebihkan menerima Bertatihlah bersamaku, kita berjalan seiringan, kita melangkah sehaluan1 suara, 1 impian, 1 harapan, 1Malaysia


Sumber: www.1malaysia.com.my