Wednesday, March 18, 2009

Banjir di Tenom semakin pulih


TENOM: Banjir di daerah ini yang melanda 38 kampung dan membabitkan seramai 1,665 mangsa yang dipindahkan di 15 pusat pemindahan kini hampir pulih sehingga petang kelmarin (Selasa). Pegawai Daerah Tenom Haji Faimin Kamin berkata, mangsa-mangsa banjir juga sedang proses penghantaran balik ke rumah masing-masing setelah kawasan rumah mereka diisytiharkan selamat oleh pihak keselamatan. Bagaimanapun katanya, bagi keluarga yang rumah mereka masih ditenggelami air hanya akan dibenarkan balik apabila pihak keselamatan mengisytiharkan rumah mereka dalam keadaan selamat.

Faimin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Daerah berkata demikian selepas memberi taklimat kepada Ahli Parlimen Tenom Raime Unggi tentang perkembangan banjir di daerah ini dibilik gerakan pejabat daerah di sini kelmarin. Taklimat yang sekali gus dengan mes-yuarat tergempar itu turut dihadiri oleh ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan serta badan NGO di daerah ini.

Pada mesyuarat tergempar itu Ahli Parlimen Tenom menyalurkan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada Jawatankuasa Bencana Alam Daerah untuk diagih-agihkan kepada mangsa. Pegawai Dearah itu berkata, semua jalan utama di daerah ini boleh dilalui kecuali jalan Enubai-Tenom yang runtuh akibat hakisan selepas banjir.

Menurut pihak Jabatan Kerja Raya Daerah, jalan yang runtuh itu dijangka tidak boleh dilalui oleh sebarang kenderaan dalam tempoh lima hari semasa kerja-kerja pembaikan dijalankan. Bagaimanapun jalan alternatif akan diusahakan bagi memudahkan penduduk keluar ke Pekan Tenom dan menjalankan aktiviti harian mereka. Menurut Faimin banjir pada kali ini adalah yang terburuk berbanding beberapa kejadian banjir sebelum ini. Beberapa orang mangsa banjir yang ditemui berkata, banjir pada kali ini adalah paling besar dan memusnahkan banyak harta benda.

Sarah Udrus 80, mangsa banjir di Kg. Tenom Lama berkata, selama hidupnya banjir sebesar kali ini tidak pernah berlaku. Katanya, rumah mereka ditenggalami air melebihi paras lantai menyebabkan semua barang-barang termasuk buku dan peralatan persekolahan cucu-cucunya tidak dapat diselamatkan. “Mujurlah kami dapat diselamatkan oleh anggota Bomba dan Polis yang memindahkani di pusat pemindahan” kata Sarah yang masih trauma ketika ditemui di pusat pemindahan Dewan Seri Antenom di sini pada Selasa. Seorang lagi mangsa Nursiah Muhamad 78, memberitahu, banjir pada kali ini adalah yang buruk kerana ia melimpah dengan begitu dalam dan memusnahkan banyak harta benda, “Semua barang-barang dalam rumah kami tidak dapat diselamatkan kerana air naik dengan cepat,” katanya.

Tinjuan New Sabah Times mendapati masih tersdapat beberapa jalan kampung yang masih belum boleh dilalui sehingga petang kelmarin. Antaranya, jalan Kg. Binsilon dan beberapa batang jalan kampung yang terletak di kawasan rendah masih ditenggalami air.
>
>
Sumber: New Sabah Times, 18th March, 2009

No comments: