Tuesday, March 31, 2009

Laman web untuk rakyat pantau projek kerajaan

Papar maklumat, perbelanjaan terperinci pakej rangsangan KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melancarkan laman web khas yang membolehkan rakyat dan pihak berwajib memantau perkembangan serta perjalanan projek disenaraikan dalam pakej rangsangan ekonomi pertama dan kedua mulai minggu depan. Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Kong Cho Ha, berkata laman web berkenaan boleh diakses oleh orang ramai menerusi www.rangsanganekonomi.treasury.gov.my. "Laman web berkenaan sudah disiapkan dan hanya menunggu masa untuk dilancarkan minggu depan. Menerusi laman web ini kerajaan akan memaparkan maklumat perbelanjaan terperinci projek pakej rangsangan pertama dan kedua untuk tatapan rakyat.

"Ia turut memaparkan status dan tahap perbelanjaan setiap projek yang sudah diluluskan. Selain itu, ia turut memuatkan jumlah peruntukan, jumlah projek dilaksanakan serta tahap kemajuannya. "Laman web ini akan membolehkan orang ramai dan pihak berkepentingan melayari dan mengetahui perkembangan terkini status dan tahap perbelanjaan projek yang disenaraikan secara terperinci dan telus," katanya di Dewan Negara di sini, semalam. Beliau menjawab soalan Senator Khoo Soo Seang yang ingin tahu bagaimana kerajaan memastikan rakyat dapat melihat usaha merangsang ekonomi negara, khususnya menerusi pakej rangsangan yang diperkenalkan kerajaan baru-baru ini.

Sementara itu, Kong berkata, sehingga kini RM6.5 bilion daripada RM7 bilion yang disenaraikan menerusi pakej rangsangan ekonomi pertama sudah diagihkan kepada kementerian dan agensi berkaitan. "Daripada jumlah itu, 14,255 projek berjumlah RM1.584 bilion sedang dilaksanakan termasuk 6,621 projek di bawah Program Penyenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) oleh Unit Penyelarasan," katanya.


Sumber: Mohamed Farid Nohmfarid@bharian.com.my

1 comment:

sabahwatch said...

Dijemput datang - http://wwwsabahwatch.blogspot.com/