Sunday, February 8, 2009

Hishammuddin: Sabah paling banyak terima peruntukan pendidikan

PENSIANGAN: Menteri Pelajaran Malaysia Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, Sabah merupakan negeri paling bertuah di negara ini kerana diberikan peruntukan paling besar da-lam pembangunan pelajaran.

Katanya, 16.5 peratus atau RM3.43 bilion daripada jumlah peruntukan keseluruhan RMK-9, diperuntukkan kepada negeri di bawah bayu itu.“Jumlah ini jauh lebih tinggi daripada jumlah yang diterima di bawah RMK-8, iaitu RM 2.1 bilion,” katanya, ketika berucap di majlis pelancaran Kampus Astro bersama Ko-muniti Sekolah di SMK Nabawan 2, pada Ahad.
Menteri itu berkata, dengan penyediaan peruntukan yang amat besar itu menunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN), amat prihatin terhadap kesulitan yang terpaksa ditempuhi oleh rakyat Sabah bagi memperolehi pendidikan.“Kita memberi keutamaan negeri ini berbanding dengan negeri-negeri yang lain di Semenanjung,” jelasnya.

Daripada segi bantuan, Hishammuddin memberitahu Sabah merupakan penerima terbesar pelbagai bantuan dan subsidi pendidikan, iaitu sebanyak RM343.8 juta.
Katanya, bagi Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Termiskin, sebanyak RM 113.2 juta diperuntukkan kepada Sabah pada tahun 2009, untuk membantu seramai 156,386 orang murid.
Sebanyak RM 54.6 juta diperuntukkan untuk membiayai program Rancangan Ma-kanan Tambahan (MT) melibatkan seramai 140,201 orang murid.

Katanya, di kawasan Parli-men Pensiangan sebanyak RM3.2 juta diperuntukkan menerusi KWAPM kepada 4,707 orang murid, dan RM1.4 juta diperuntukkan melalui RMT kepada 3,705 orang murid. Bagi memastikan kebajikan guru dan para kakitangan sokongan yang berkhidmat di kawasan luar Bandar seperti Pensiangan, Hishammuddin berkata, elaun tambahan sebanyak RM500, RM1,000 dan RM1,500 sebulan diberikan kepada mereka. “Ini tidak termasuk langkah kerajaan untuk membina lebih banyak rumah guru di kawasan-kawasan ini,” katanya dan menambah, kemudahan-kemudahan itu bertujuan untuk memberi keselesaan kepada mereka yang bertugas di luar bandar.

Hishammuddin berkata, untuk memastikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lebih selesa, kementeriannya telah memperuntukkan seban-yak RM2 juta bagi projek ubah suai, baik pulih dan naik taraf sekolah-sekolah dalam kawa-san Parlimen Pensiangan. Selain daripada itu katanya, kementerian akan melaksanakan Program Khas Pengambilan Guru Kawasan Pedalaman, yang memberi peluang kepada anak-anak tempatan mencurah bakti di tempat sendiri. Katanya, sebanyak 1,000 tempat akan disediakan bagi melatih anak-anak Sabah yang layak melalui program KPLI yang bermula kemasukan pada Jun 2009 ini.

Beliau turut memaklumkan Kementerian Pelajaran telah menaik taraf IPG Keningau dan IPG Miri sebagai Institut Pendidikan Guru Khusus, yang bertujuan melahirkan guru-guru luar Bandar untuk ber-khidmat di Sabah dan Sarawak.

Mengenai program Kampus Astro bersama Komuniti Sekolah, Hishammuddin ber-kata, sebanyak 10,000 buah sekolah kerajaan dan Pusat Kegiatan Guru (OKG) di seluruh negara, akan dibekalkan secara percuma alat perakam video peribadi, set televisyen dan kandungan pembelajaran melalui 11 saluran televesyen bertaraf dunia. Program sosial Astro itu melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM 30 juta, dan akan dilaksanakan secara berfasa selama 3 tahun.

SMK Nabawan 2 adalah penerima program itu yang pertama di negara ini.
Turut hadir Menteri Pelan-congan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun, Timbalan Menteri, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Malaysia Tan Sri Datuk Joseph Kurup, Ketua Pegawai Ekse-kutif Astro Rohana Rozhan, Ketua Umno Pensiangan Datuk Abd. Ghani Yassin, Wakil Rakyat Nabawan Datuk Bobby Suan, Wakil Rakyat Sook, Datuk Elron Angin. Ketua Setiausaha Kemen-terian Pelajaran Malaysia Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang, Ke-tua Pengarah Pelajaran Malaysia Dato’ Alimuddin Mohd Dom serta pemimpin-pemimpin se-tempat.



Sumber: New Sabah Times 9th February, 2009

No comments: