Thursday, February 26, 2009

Hanya Parlimen boleh ubah sistem pilih PM


KUALA LUMPUR 25 Feb. - Cadangan supaya sistem pemilihan Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong digantikan dengan kaedah pemilihan secara terus oleh rakyat seperti Amerika Syarikat (AS) hanya boleh dilaksanakan sekiranya mendapat persetujuan Parlimen. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, sistem pemilihan sedia ada termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang hanya boleh diubah oleh keputusan Parlimen. ''Keputusan sama ada untuk menukar sistem pemilihan Perdana Menteri bukannya sesuatu yang boleh ditetapkan melalui keputusan eksekutif," katanya ketika menjawab soalan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau ditanya sama ada kerajaan Barisan Nasional (BN) akan membubarkan sistem pemilihan Perdana Menteri sedia ada dan mengguna pakai kaedah pemilihan Presiden di AS. Mohamed Nazri berkata, sistem sedia ada telah berjaya menjamin keamanan, kemajuan dan kestabilan politik di negara ini selama 50 tahun. ''Untuk itu saya percaya bahawa tiada sebarang keperluan untuk menukar sistem pemilihan Perdana Menteri yang sedia ada," katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, dalam kebanyakan sistem yang wujud di seluruh dunia, pemilihan pemimpin secara langsung hanya melibatkan proses pemilihan Presiden dan bukannya Perdana Menteri. ''Dalam konteks negara kita, apabila rakyat membuang undi dalam pilihan raya umum, mereka sedar dan tahu bahawa mereka sebenarnya secara tidak langsung memilih Perdana Menteri. ''Mereka tahu dan amat maklum bahawa pemimpin parti yang memenangi majoriti kerusi yang dipertandingkan akan dilantik menjadi Perdana Menteri," katanya.

Mengenai pemilihan Perdana Menteri di Malaysia, beliau berkata, negara ini mengamalkan pemerintahan raja berperlembagaan berasaskan sistem demokrasi berparlimen mengguna pakai model Westminster yang diamalkan di United Kingdom. ''Melalui sistem ini, Perdana Menteri mesti seorang anggota Dewan Rakyat yang pada pendapat Yang di-Pertuan Agong telah memimpin kumpulan majoriti dalam Dewan Rakyat. ''Oleh itu, semenjak merdeka lagi, Malaysia telah dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang juga merupakan ketua Parti Perikatan (yang kemudiannya diperluas dan dikenali sebagai BN). ''Ini adalah berbeza dengan sistem politik di AS, di mana seorang Presiden dipilih secara langsung, melalui undian rakyat setiap empat tahun," jelasnya.

Menjawab soalan tambahan Gobind, beliau berkata, semua pihak tidak harus membuat spekulasi bahawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana terlibat dengan jenayah berat. ''Seseorang itu tidak bersalah jika tidak didakwa di mahkamah, jadi sebarang tuduhan yang dibangkitkan pihak pembangkang hanyalah spekulasi. ''Jika Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan menerima Ahli Parlimen Pekan sebagai Perdana Menteri, bukanlah tanggungjawab kita untuk mempertikaikan," katanya.
>
>
Sumber: Utusan Malaysia, 25 Februari 2009

No comments: