Wednesday, December 23, 2009

Sambutan Krismas 1Malaysia di Sabah semarakkan semangat kesetiakawanan

KOTA KINABALU: Sambutan Krismas peringkat kebangsaan yang akan diadakan di sini ahad ini bakal menyemarakkan semangat kesetiakawanan dan memberi suasana keriangan kepada masyarakat di Sabah, negeri yang diakui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai contoh konsep 1Malaysia.

Sejajar dengan sentuhan ajaib konsep 1Malaysia itu, penganjur memutuskan untuk mengadakan sambutan itu di tapak bersejarah iaitu Padang Merdeka, lokasi kelahiran Malaysia.

Program anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan itu akan mengetengahkan, antara lain, persembahan koir dan kebudayaan oleh pelbagai kumpulan etnik di negara ini, khususnya dari Sabah, yang digelar sebagai ‘Negeri di Bawah Bayu’, selain program hiburan.

Menurut program sementara, Yang Dipertua Negeri Tun Ahmadshah Abdullah dijadual menyerikan sambutan Krismas itu yang bermula pada 3 petang, manakala Najib dijangka menjadi tetamu kehormat.

“Secara peribadi, saya berasa bangga kerana Sabah dipilih sebagai venue sambutan Krismas peringkat kebangsaan tahun ini.

“Saya harap program yang disusun untuk sambutan ini benar-benar menggambarkan semangat 1Malaysia,” kata Naib Presiden Gabungan Persatuan- persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk Patrick Sindu kepada Bernama di sini kelmarin.

Beliau berharap masyarakat Malaysia di Sabah, tanpa mengira darjat, fahaman atau agama, akan memenuhi Padang Merdeka sebagai lambang perpaduan.

“Saya percaya semua rakyat Malaysia cintakan keamanan dan menghargai semangat kesetiakawanan yang telah diamalkan dalam kalangan penduduk di negara ini sejak zaman berzaman,” katanya.

Sindu mencadangkan agar majlis pelancaran sambutan itu disiarkan secara langsung menerusi TV supaya segenap lapisan masyarakat di negara ini dapat turut sama menyaksikannya.

Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata masyarakat perlu berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana mengakui bahawa Sabah dan Sarawak adalah contoh terbaik 1Malaysia.

“Oleh itu, dalam konteks Sabah, sungguhpun negeri ini mempunyai 30 kumpulan etnik dan sub-etnik, namun semangat kesetiakawanan dan perpaduan dalam kalangan penduduknya masih utuh.

“Ini suatu hakikat yang menarik apabila dibandingkan dengan Semenanjung yang mempunyai tiga kumpulan etnik utama—Melayu, Cina dan India—serta sejumlah kecil kaum minoriti,” katanya.

Salleh berkata prinsip yang mendasari 1Malaysia telah pun lama diamalkan di Sabah, sama ada dalam bidang sosio-ekonomi atau sosio-politik.

Dalam hubungan ini, katanya, penganjuran sambutan Krismas di Sabah membuktikan bahawa kerajaan persekutuan komited dalam menjaga kepentingan semua kaum.

Sumber: New Sabah Times, 23rd December, 2009

No comments: