Tuesday, December 22, 2009

KPLB akan siasat kualiti PPRT: Ewon

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan membuat siasatan terperinci mengenai dakwaan beberapa pihak terhadap kualiti pembinaan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang mengecewakan.

Menterinya, Datuk Ewon Ebin, berkata beliau sedar akan kebimbangan itu malah ianya pernah disuarakan di Dewan Undangan Negeri.

“Kebimbangan mengenai kualiti PPRT telah disuarakan di Dewan Undangan Negeri oleh Wakil Rakyat Sekong, Datuk Shamsudin Yahya dan saya sudahpun mengarahkan para pegawai untuk menjalankan siasatan lanjut. Bagaimanapun, setakat ini saya masih belum menerima sebarang laporan penuh berkenaan aduan berkenaan.

“Pihak kami akan turun padang Januari depan bagi memantau kesahihan aduan pengadu,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam temubual eksklusif berhubung keluhan seorang ibu tunggal dari Kampung Batu 62, Halogelat, Beaufort yang pernah dipaparkan dalam kolum ActionLine pada 1 Disember berhubung kerisauan beliau terhadap tahap keselamatan rumah yang dikatakan tidak ‘berkasut’.

Menurut pengadu, rumah PPRT berkenaan menggunakan bahan binaan yang tidak tahan lama dan pembinaan rumah juga seolah-olah tidak mengikut piawaian yang sepatutnya sehingga menyebabkan beliau meminta pihak yang berkenaan membantunya.

Apabila ditanya mengenai hal berkenaan, beliau berkata akan meminta pengesahan daripada pihak yang berkenaan bagi tindakan lanjut.

Katanya, selaku menteri yang bertanggungjawab, beliau sentiasa memohon kepada Pejabat Daerah untuk melaksanakan tugas sebaiknya.

“Namun untuk aduan ini saya belum dapat memberi sebarang pengesahan sebelum siasatan lanjut dilaksanakan.

“Kos pembinaan sebuah unit rumah PPRT telah ditetapkan dan mengikut spesifikasi tertentu.

“Sebenarnya peruntukan bagi sebuah rumah PPRT ialah sebanyak RM40 ribu dan spesifikasi yang ditetapkan ialah 20×30 kaki persegi. Bagi kawasan bandar, PPRT diperbuat daripada konkrit dan mempunyai 3 bilik manakala bagi kawasan pedalaman diperbuat daripada papan lapis dan hanya mempunyai dua bilik sahaja,” jelasnya.

Selain daripada aduan berhubung kualiti rumah, terdapat beberapa pihak turut mendakwa terdapat pemohon yang tidak layak mendapat rumah PPRT.

Ketika diajukan soalan itu, beliau menjelaskan bahawa pihaknya sememangnya pernah menerima aduan sedemikian dan mereka masih menjalankan siasatan.

Beliau juga menekankan bahawa PPRT sememangnya menumpukan kepada penduduk miskin tegar.

“PPRT sememangnya memfokus kepada penduduk miskin tegar yang berdaftar di bawah e-Kasih dan menurut rekod masih terdapat 16 ribu orang miskin tegar di sabah yang berpendapatan di bawah RM540 sebulan. Untuk makluman umum, terdapat 3 kategori miskin yang disenaraikan iaitu mudah miskin (RM1500 ke bawah), miskin (RM900 ke bawah) dan miskin tegar (RM540 ke bawah).

“Walau bagaimanapun kerajaan sebenarnya sedang melaksanakan program-program bagi membantu golongan miskin keluar dari belenggu kemiskinan. Antaranya projek Agropolitan, Mini Estate Sejahtera dan Mikro Estate Sejahtera,” katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga program itu bertujuan membangunkan kawasan tanah untuk menempatkan pemohon yang tersenarai dalam e-kasih.

Mengakhiri perbualan dengan wartawan New Sabah Times beliau menyarankan supaya rakyat mengubah sikap dan berusaha memajukan diri di samping bantuan kerajaan y ang diberi.

“Kerajaan serius dalam usaha mengeluarkan golongan miskin tegar dari belenggu kemiskinan memandangkan Negeri Sabah kaya dengan sumber-sumber asli.

“Jadi saya harap, disamping bantuan kerajaan yang diberikan, kami juga berharap agar sikap individu berubah dan menghargai bantuan kerajaan yang disalurkan serta bersikap proaktif,” katanya

Sumber: New Sabah Times, 22nd December, 2009.

No comments: