Monday, December 7, 2009

Hanya kestabilan politik berterusan mampu bangunkan Sabah, kata Tawfiq

KOTA KINABALU: Hanya dengan adanya kestabilan iklim politik yang berterusan seperti yang dinikmati pada hari ini mampu untuk membawa Sabah berada pada landasan yang tepat untuk mambangunkan rakyat dan negeri ini.

Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata, ini jelas terbukti apabila Kerajaan Negeri yang kerap bertukar pada masa lalu, sebelum Barisan Nasional (BN) mengambil alih pada tahun 1994 sehingga hari ini menyebabkan Sabah ketinggalan dalam arus pembangunan.

“Jika kerajaan negeri kerap bertukar, ianya akan menyebabkan Sabah akan terus ketinggalan dan tergelincir pada masa akan datang kerana tidak adanya kestabilan politik,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Tawfiq berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) Edward Dagul kelmarin yang mendakwa ketidakseimbangan yang diamalkan Kuala Lumpur membuatkan Sabah menjadi negeri termiskin di negara ini.

Edward berkata, Sabah mempunyai jumlah penduduk miskin paling ramai iaitu seorang dalam setiap empat individu yang tergolong dalam kategori ini disebabkan ketidakseimbangan pembangunan.

Beliau turut mendakwa bahawa Kuala Lumpur juga tidak memberi layanan saksama kepada Sabah, tidak mengendahkan keperluan asas rakyat seperti perkhidmatan penjagaan kesihatan, bekalan elektrik, bekalan air bersih dan banyak lagi.

Menurut, Tawfiq ketidakstabilan politik dan pertukaran kerajaan negeri yang kerap berlaku di Sabah sebelum BN mengambil alih kerajaan negeri pada 1994 menyebabkan Sabah ketinggalan jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

“Ini berbeza dengan negeri jiran Sarawak yang sehingga hari ini ditadbir oleh satu sahaja kerajaan sahaja, jika kerap bertukar kerajaan program yang dilaksanakan kerajaan sebelumnya akan terbantut dan apabila kerajaan baru mengambil alih, dasar dan pelaksanaan pembangunan juga berubah,” katanya.

Selain itu, katanya, sistem penggiliran jawatan Ketua Menteri untuk tempoh dua tahun yang diperkenalkan pada tahun 1994 sehingga 2003 juga tidak memberi kebaikan kepada kemajuan dan pembangunan negeri ini.

“Ini kerana setiap kali ketua menteri bertukar, dasarnya juga berubah dan ini menyebabkan banyak program dan pelaksanaan pembangunan terbantut dan hanya apabila Datuk Seri Musa Haji Aman mengambil alih kepimpinan kerajaan negeri pada 2003 ianya menampakkan kestabilan politik.

Berikutan itu, katanya peratusan kadar kemiskinan di negeri ini juga menunjukkan pengurangan yang ketara dan begitu prestasi kewangan negeri yang amat meyakinkan dan kukuh pada masa ini.

Menurutnya, dengan adanya kestabilan politik ia menimbulkan keyakinan kepada para pelabur dari dalam dan luar negara untuk melabur di negeri ini.

Beliau juga Ketua Umno Bahagian Tawau berkata, apa yang dilalui oleh negeri ini pada masa lalu, seharusnya dijadikan iktibar apabila kerap berlaku pertukaran kerajaan negeri meyebabkan iklim politik tidak stabil dan dasar serta perancangan pembangunan yang dirancang oleh kerajaan sebelumnya tidak ada kesenimbungan.

Menurutnya, parti pembangkang hanya bijak bercakap dengan membuat pelbagai dakwaan dan tuduhan yang tidak berasas untuk kepentingan politik mereka, seperti soal kemiskinan kerana memang mudah untuk bercakap.

“Soal kemiskinan di negeri ini, tidak seharusnya menunding jari terus kepada Kerajaan Persekutuan, ia berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya faktor geografi dan keluasan negeri ini yang begitu luas berbanding dengan negeri lain di Semenanjung,” katanya.

Selain itu, masalah keadaan penempatan penduduk yang bertaburan di merata tempat dan terpencil yang tidak tertumpu kepada satu-satu tempat, bagimanapun kerajaan telah berusaha sedaya upaya untuk memberikan pelbagai kemudahan kepada rakyat di negeri terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan terpencil.


Sumber: New Sabah Times, 6th December, 2009

No comments: