Thursday, September 24, 2009

Pembentukan Malaysia terus diingati oleh penduduk Sabah

KOTA KINABALU: Walaupun tiada majlis sambutan khusus untuk merayakan Hari Malaysia di Sabah namun rakyat negeri ini sentiasa menghayati erti kemerdekaan daripada penjajah menerusi pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Majoriti rakyat Sabah begitu gembira dan selesa berada dalam gagasan Malaysia yang menurut mereka berjaya merubah lanskap pembangunan dan keselesaan hidup di negeri ini.

Tahun ini genap 46 tahun Sabah merdeka melalui Malaysia dan banyak perubahan berlaku bukan sahaja dari segi pembangunan yang pesat dan pendidikan tetapi kehidupan rakyat termasuk di luar bandar semakin maju.

“Sekarang kita ada Universiti Malaysia Sabah (UMS), cawangan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan banyak institut-institut latihan serta kolej-kolej swasta termasuk PTPL yang beroperasi di negeri ini yang pasti memberi kemudahan pendidikan kepada rakyat Sabah.

“Sekolah-sekolah di luar bandar pun yang dahulunya berdindingkan bambu kini ditukar kepada bangunan konkrit yang lebih cantik dan selesa.

“Bukan itu sahaja malah, para pelajar juga diberikan kemudahan, baju seragam, kasut sekolah, buku dan alat-alat tulis,” kata Alaxender Punggin, pelajar sebuah kolej swasta di bandaraya.

Katanya, melalui pelbagai program pendidikan di institut pengajian tingi, pelajar berbilang kaum dan agama dapat mengeratkan silaturahim selain berkongsi pendapat dan pandangan yang berkaitan dengan pelajaran mereka.

“Interaksi positif seumpama ini akan membantu mengukuhkan perpaduan nasional seperti yang ditekankan 1Malaysia – satu konsep yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” kata Alaxender.

Sementara itu, Jasni Santih, seorang penduduk Kota Belud, turut melahirkan rasa bangga dilahirkan di Sabah dan menjadi warganegara Malaysia.

“Saya lihat sistem pemerintahan di negara ini adil dan keadaan politik pun stabil berbanding negara-negara lain. Walaupun negeri ini mempunyai lebih daripada 30 suku kaum namun rakyatnya hidup aman damai dan bersatu padu.

“Kerajaan juga amat prihatin terhadap kebajikan semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama, keturunan dan fahaman politik.

“Oleh itu kita berharap generasi muda dapat memahami erti kemerdekaan sebenar dan menghayati pengorbanan para pemimpin lampau, kerana tanpa pengorbanan para pejuang kemerdekaan, kita tidak dapat hidup aman selesa seperti sekarang,” katanya.

Mengenai pembangunan, Jasni berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk kemudahan rakyat termasuk projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

“Soal keselamatan juga diberi perhatian oleh kerajaan. Sekarang ini, setiap pulau strategik ada saja pasukan keselamatan yang ditugaskan untuk mengesan sebarang pencerobohan termasuk kemasukan pendatang tanpa izin (PTI).

“Kita juga mempunyai pangkalan tentera di Semporna untuk mengesan lanun atau pun ancaman luar. Kalau dulu penduduk pulau sentiasa serba ketakutan daripada ancaman mundu atau lanun sehingga keluar buang air kecil pun takut, keadaan sekarang sudah berubah dan terkawal,” katanya.

Jasni berkata ini menunjukkan komitmen dan kesunguhan kerajaan Persekutuan menjaga keselamatan rakyat Sabah dan dengan itu rakyat negeri ini seharusnya berterima kasih atas semua yang mereka kecapi selepas merdeka menerusi gagasan Malaysia,” katanya.

Selain itu, kebajikan rakyat negeri ini terutama golongan tua turut terbela termasuk pemberian bantuan kerajaan untuk orang tua, ibu atau bapa tunggal yang tidak berkemampuan, orang miskin dan orang kurang upaya (OKU).

“Tiada kata-kata yang saya boleh ucapan selain mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memberi bantuan kewangan kepada golongan orang tua,” kata Kodo Bondi, 70, dari Tamparuli, salah seorang penerima bantuan itu.

Kodo berkata: “Baru tahun ini saya menerima bantuan kebajikan RM300 daripada Jabatan Kebajikan dan ia sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan keluarga saya,” katanya.

Menurutnya lagi, kesengsaraan hidup rakyat sebelum Sabah mencapai kemerdekaan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata “sebab waktu itu tiada sumber pendapatan dan hanya bergantung kepada tanaman padi bukit atau ubi kayu semata-mata”.

“Tetapi kini sudah ada pelbagai jenis tanaman yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk membantu meningkatkan pendapatan para petani termasuk pokok getah,” katanya.

Josth Samson dari Tamparuli berkata kerajaan juga telah membangunkan infrastruktur terutama jalan raya dan bekalan elektrik di luar bandar yang menambah keselesaan penduduk luar bandar atau kawasan terpencil.

“Misalnya kampung kami baru awal tahun ini ada bekalan elektrik dan sekarang jalan raya pun sedang dalam pembinaan untuk dinaiktaraf. Jadi, saya bagi pihak penduduk di puluhan kampung di Lembah Kiulu amat berterima kasih kepada kerajaan kerana memberikan kemudahan itu,” katanya.

Dia turut menyambut baik keputusan kerajaan untuk membina SMK Nabalu, berdekatan kampungnya yang terletak berhampiran kaki Gunung Kinabalu iaitu gunung tertinggi di Asia Tenggara.



Sumber: New Sabah Times, 17th September, 2009

No comments: