Wednesday, March 4, 2009

Pengundian Batang Ai serentak dua pilihan raya

KUCHING: Hari pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai, Sarawak ditetapkan pada 7 April ini, manakala penamaan calon 29 Mac, serentak dengan pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau, Kedah dan Parlimen Bukit Gantang, Perak. Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata SPR memutuskan untuk mengadakan tiga pilihan raya kecil itu serentak kerana tidak mahu tempoh berkempen terlalu lama. "Kalau kita buat selepas pilihan raya kecil di dua bukit (Bukit Selambau dan Bukit Gantang), bermakna kita kena tambah sembilan hari lagi, jadi 18 hari tempoh berkempen. "Kalau panjang sangat tempoh berkempen, mungkin akan timbul suasana tegang, masalah berkaitan ketenteraman awam dan keselamatan. Jadi kita rasa elok kita buat serentak supaya dapat jimatkan masa semua yang terbabit dalam kempen berkenaan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, tarikh ditetapkan juga amat sesuai dengan keadaan cuaca di kawasan berkenaan yang ketika itu belum menghadapi musim kering. "Pada musim kering, air sungai akan surut dan sukar untuk perahu melaluinya, sedangkan banyak kawasan di situ bergantung kepada pengangkutan sungai," katanya. Selain itu, katanya, tarikh berkenaan membolehkan SPR memberi notis cukup untuk semua pihak membuat persediaan.

Beliau berkata, SPR memperuntukkan RM400,000 untuk pilihan raya kecil Batang Ai yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dublin Unting Ingkot daripada Barisan Nasional (BN) pada 24 Februari lalu. Pilihan raya kecil itu menggunakan Daftar Pemilih Induk 2008 yang diwartakan pada 19 Februari lalu dan dikemas kini sehingga tarikh kekosongan kerusi berkenaan pada 24 Februari lalu, yang mengandungi 8,006 pengundi, iaitu 7,963 pemilih biasa dan 43 pemilih pos. Kawasan DUN Batang Ai mempunyai 25 tempat mengundi dan pusat penamaan calon serta penjumlahan undi akan diadakan di Kompleks Sukan Lubok Antu. Abdul Aziz berkata, SPR menyediakan 25 kenderaan pacuan empat roda, 18 perahu serta 201 petugas bagi mengendalikan pilihan raya kecil itu.

Beliau turut mengumumkan penubuhan pasukan penguat kuasa yang bertanggungjawab memantau pemasangan bahan kempen dan aktiviti kempen sepanjang tempoh berkempen. Pasukan yang diketuai seorang pegawai penguat kuasa itu dianggotai polis, wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil calon yang bertanding. SPR juga membenarkan Malaysia For Free and Fair Election (Mafrel) menjadi pemerhati dan badan itu diminta berhubung dengan Urus Setia SPR di ibu pejabat SPR atau Pengarah Pilihan Raya Negeri, untuk urusan pelantikan dan syarat ditetapkan. Pada sidang media itu, Abdul Aziz menyerahkan surat pelantikan kepada Pegawai Daerah Lubok Antu, Nelson Mujah Girie, sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Batang Ai. Tiga Penolong Pegawai Pengurus pula ialah Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Lubok Antu, Raduan Alem serta dua Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Lubok Antu, Ignatius Ayai Dom dan Edwin Mat. SPR juga mengumumkan buku dan cakera padat (CD) daftar pemilih bagi pilihan raya kecil itu akan mula dijual Isnin ini (tanpa maklumat saluran) dan mulai 16 Mac (dengan maklumat saluran). Pengundi Batang Ai pula boleh membuat semakan daftar pemilih melalui laman web SPR www.spr.gov.my atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) SPR Semak Nombor Kad Pengenalan kepada 15888 atau menerusi telefon ke Ibu pejabat SPR di Putrajaya 03-88856500 dan Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak 082-254867/082-253080.
>
>
Sumber: Berita Harian Online, 04 Mac 2009

No comments: