Thursday, March 12, 2009

Keindahan Salinatan memukau


NABAWAN 12 Mac - Keindahan dan kebersihan persekitaran serta kedinginan bayu pagi menjanjikan ketenangan jiwa kepada sesiapa sahaja yang berkunjung ke sebuah perkampungan terpencil yang terletak kira-kira 196 kilometer dari sini. Dikelilingi kehijauan alam semula jadi dengan bukit-bukau yang tersusun indah, ia menjanjikan kedamaian yang sukar diperoleh di mana-mana tempat di negeri ini. Kemesraan dan keramahan penduduk kampung itu menerima kedatangan tetamu membuatkan pengunjung berat hati meninggalkan kampung berkenaan yang dikenali sebagai Kampung Salinatan.

Terletak di Mukim Pensiangan, kampung yang mendapat nama dari sebatang anak sungai, Sungai Salinatan mempunyai keistimewaannya tersendiri. Dari sebuah kawasan yang dahulunya diselubungi hutan rimba, kini ia berubah dan mula mengukir nama setelah dipilih sebagai sebuah perkampungan di bawah program Gerakan Daya Wawasan (GDW), Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah. Tidak ada siapa menduga perkampungan yang satu ketika dahulu gelap-gelita pada waktu malam dan hanya disinari lampu minyak, kini sudah menjadi terang benderang dengan sinaran lampu elektrik yang dibekalkan melalui mesin jana kuasa. Pepatah ada mengatakan 'tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu,' mungkin sesuai untuk menggambarkan perubahan yang berlaku kepada kampung ini.

Daripada sebuah kampung yang daif dan mundur, tetapi berkat usaha, kerjasama dan muafakat penduduknya ia muncul sebagai salah satu kampung yang membangun di daerah Nabawan. Ketua Kampung Salinatan, Asok Entikul berkata, kampung tersebut mula mengorak langkah ke arah kejayaan apabila ia dipilih sebagai perintis Program Pembangunan Masyarakat Setempat (PPMS) pada tahun 1995. Kampung yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nabawan kini dihuni oleh 400 penduduk dari 84 keluarga membabitkan sebanyak 36 buah rumah.

Dari segi anutan agama, penduduk kampung itu majoritinya beragama Kristian dan selebihnya beragama Islam. ''Peningkatan taraf hidup penduduk kampung ini jelas kelihatan ekoran daripada kejayaan dan penglibatan penduduknya dalam pelbagai bidang seperti perniagaan, pendidikan dan sebagainya,'' katanya Beliau menambah, seperti kampung-kampung lain, Kampung Salinatan juga tidak sepi dari arus pembangunan di mana terdapat pelbagai kemudahan asas seperti bekalan air paip graviti, rumah penginapan, sekolah, padang bola sepak, kolam ikan rekreasi, pondok rekreasi, bilik gerakan, generator, tandas curah dan sebagainya. Selain kemudahan-kemudahan tersebut terdapat sebuah pusat peranginan mini yang diusahakan bersama oleh warga Sekolah Kebangsaan (SK) Salinatan dan penduduk kampung.''Pusat peranginan mini itu mempunyai taman sekolah, empat buah rumah tradisi dikenali langkau dan empat pondok atau tauf yang disewa untuk kemudahan pengunjung ke kampung berkenaan,'' katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Salinatan, Using Buliang berkata, dari segi sumber ekonomi, penduduk kampung masih bergantung kepada kegiatan pertanian secara kecil-kecilan, ternakan haiwan, ternakan ikan air tawar, tangkapan ikan sungai dan binatang buruan. Penduduk kampung itu juga masih mengusahakan tanaman padi bukit yang diusahakan sekali setahun di samping tanaman kopi, getah dan buah-buahan. Selain itu, kraf tangan anyaman, pembuatan perahu dan memproses papan, beruti, tiang belian menggunakan mesin gergaji turut menjadi pendapatan dan sumber ekonomi penduduk kampung ini.

Beliau menambah, jalan perhubungan utama di kampung itu adalah menggunakan bot dengan kos antara RM200 hingga RM300. Selain sungai, kampung itu juga boleh dihubungkan menerusi jalan darat menggunakan laluan lori balak yang hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda dengan kos RM350. Perjalanan dari Kampung Salinatan ke pekan Nabawan memakan masa empat hingga enam jam sama ada ikut jalan sungai atau jalan darat.

Kampung Salinatan kini ditadbir oleh Jawatankuasa GDW dan didukung oleh empat JKKK serta tiga ketua kampung iaitu Ambaril Antutun 58, Tampis Tuoh 60, dan Ampikul Kailoh 59. Guru Besar Sekolah Kebangsaan Salinatan, Bukah Buliang berkata, program GDW telah menjadi perangsang kepada penduduk kampung untuk terus berusaha menjadikan kampung ini sebuah perkampungan yang maju, menarik dan menguntungkan menerusi kecemerlangan diri, keluarga dan masyarakat. ''Untuk menjaga kebersihan dan keceriaan persekitaran kampung, gotong-royong membersih kawasan diadakan sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan,'' katanya.

Beliau menambah, kejayaan Kampung Salinatan merangkul juara Pertandingan Desa Cemerlang (PDC) peringkat daerah Nabawan 2004 dan menduduki tangga keenam PDC peringkat Negeri Sabah 2004 turut mendorong semangat penduduk kampung itu untuk terus melangkah ke hadapan bagi mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.
>
>
Sumber: SAPURAH LIYUNANutusansabah@utusan.com.my

No comments: