Wednesday, January 14, 2009

Hudud: DAP ugut keluar Pakatan

KUALA LUMPUR: DAP mengancam untuk menarik diri daripada Pakatan Rakyat sekiranya Pas masih mahu melaksanakan undang-undang hudud dan qisas jika pembangkang menerajui negara ini.

Pengerusinya, Karpal Singh mengulangi pendirian DAP bahawa hukum hudud dan qisas bukan menjadi dasar parti itu serta tidak termasuk dalam manifesto Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum Mac tahun lalu.

“Sewajarnya Pas mengambil kira pandangan DAP sebagai anggota dalam Pakatan Rakyat dan menghormati pendirian kami,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Istana Negara di sini, semalam.

Terdahulu, beliau menyerahkan surat untuk Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai pelantikan Tan Sri Zaki Azmi sebagai Ketua Hakim Negara. Surat itu diterima Setiausaha Istana Negara, Zainab Muhammad di luar pagar pintu belakang Istana Negara.

Pada 21 Disember lalu, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, berkata parti itu tidak pernah melupakan dasar perjuangannya untuk melaksanakan hudud.

Sebelum ini, Karpal juga dilaporkan mahu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan pendirian PKR mengenai hukum hudud yang ingin dilaksanakan Pas jika pembangkang memerintah negara ini.

Beliau berkata, Anwar tidak boleh berdiam diri terhadap kata putus Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat bahawa hukum itu akan tetap dilaksanakan di negara ini.

Karpal berkata, DAP akan menentang pelaksanaan hukum hudud dan Pas tidak boleh mengetepikan keputusan sebulat suara Mahkamah Agung pada 1988 bahawa Malaysia bukannya sebuah negara Islam. - Bernama.


Sumber : Berita Harian, 15 Januari 2009

No comments: