Monday, September 8, 2008

RM1.8 bilion tingkat kemudahan asas luar Bandar.


Sabtu 30 Ogos 2008, New Sabah Times

Kuala Lumpur: Sebanyak RM1.8 bilion disediakan dalam bajet 2009 untuk menambah kemudahan asas dan infrastruktur di seluruh negara, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.Ketika membentangkan bajet itu, di Dewan Rakyat kelmarin, Perdana Menteri berkata RM1.8 bilion diperuntukkan bagi Semenanjung Malaysia, hampir RM3 bilion untuk Sabah dan RM3.3 bilion untuk Sarawak.

Bagi peruntukan di Semenanjung Malaysia, lebih RM1 bilion adalah untuk melaksanakan projek jalan luar bandar sepanjang 480 kilometer dan jalan kampung sepanjang 1,300 kilometer. Sebanyak RM280 juta disediakan bagi bekalan air luar bandar dengan sasaran 30,000 buah rumah manakala RM350 juta adalah untuk bekalan elektrik luar bandar dengan sasaran 3,600 buah rumah. Beliau berkata RM65 juta disediakan untuk melaksanakan 11,700 buah projek kemudahan awam di luar bandar di Semenanjung. “Kemudahan prasarana dapat meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat desa dan luar bandar” kata Abdullah yang juga Menteri Kewangan.
Di Sabah, peruntukan adalah untuk pembinaan 266 kilometer jalan persekutuan dan jalan luar bandar yang akan memanfaatkan lebih 550,000 penduduk setempat.Antara projek utama ialah membina jalan jereco-Lahad Datu Fasa 11, menaik taraf dan membaiki jalan Sandakan ke Talupid, menaik taraf jalan Ranau ke Tambunan Fasa 11, membina Jambatan Sempurna –Pulau Bum-Bum, menggantikan jambatan usang di kawasan pedalaman Sabah, projek kemudahan pelancongan dan ekopelancongan, kemudahan hospital dan kesihatan luar bandar serta Program Perumahan Rakyat Disewa.
Bagi Sarawak, ia termasuk pembinaan 230 kilometer jalan persekutuan dan jalan luar bandar yang akan memanfaatkan lebih 350,000 penduduk setempat. Antara projek utama ialah jalan penghubung ke Pusat Pentadbiran Persekutuan Baru Sarawak, Jalan Nanga Buai ke Ulu Sepak, Betong, Jalan Awat-awat ke Kuala Lawas, Jalan Tanjong Assam ke Saribas, Empangan Bengoh Kuching, Sistem Pengurusan Air Sisa secara Bersepadu di Bandaraya Kuching, Program Perumahan Rakyat Disewa, projek kemudahan pelancongan dan ekopelancongan serta kemudahan hospital dan kesihatan luar bandar. – Bernama.

No comments: