Monday, November 2, 2009

Lebih 2,000 ribu pencari kerja berjaya dapat pekerjaan

TAWAU: Seramai 2,679 pencari kerja dari Sabah berjaya ditempatkan di dalam pelbagai sektor pekerjaan dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

Pengarah Tenaga Kerja (JTK) Sabah, Siti Aishah Mohd Asri berkata, penempatan berkenaan adalah hasil penganjuran 26 Program Penempatan Pekerjaan (3P) di beberapa lokasi di negeri ini.

Program itu ujarnya, mendapat kerjasama ramai majikan sektor swasta seperti dari industri perkhidmatan, pembuatan, perkilangan, pembinaan dan sebagainya.

Di sepanjang tempoh itu juga, Aishah memberitahu bahawa Projek Bursa Buruh Elektronik (ELX) melalui Sistem Pemadanan Kerja atau JobsMalaysia turut berjaya mendaftarkan 25,773 pencari kerja dari seluruh negeri ini.

Beliau berkata demikian pada Program Penempatan Pekerjaan (3P) yang dianjurkan di daerah ini kelmarin.

Sementara itu, seorang pencari kerja, Yusrin Mohd. Sinu, 21, berkata, program 3P yang dianjurkan oleh JTK benar-benar memberi manfaat kepada golongan pencari kerja sepertinya.

“Saya sudah lama menganggur. Dengan adanya program 3P sebegini, saya berpeluang menghadiri temuduga kerja di beberapa syarikat dalam masa yang sama. Saya harap program begini dapat dianjurkan dengan lebih kerap,” katanya.

Menurutnya, beliau sempat menghadiri lima temuduga di sepanjang berlangsungnya program itu.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Pang Yuk Ming ketika merasmikan program itu meminta syarikat-syarikat swasta supaya mengutamakan pengambilan buruh tempatan berbanding pekerja asing.

Dengan demikian katanya, ia dapat membantu kerajaan mengurangkan masalah pengangguran di kalangan rakyat.

Lebih 1,000 pencari kerja hadir pada program tersebut kelmarin. Program berkenaan dianjurkan selama dua hari termasuk hari ini (Ahad).


Sumber: New Sabah Times, 1st November, 2009

No comments: