Monday, July 13, 2009

Pas tidak beri tumpuan isu pembangunan - Muhyiddin

KUALA KRAI 12 Julai - Pas tidak memberi tumpuan kepada soal pembangunan dan kebajikan rakyat ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai kerana tidak mampu melaksanakannya walaupun memerintah negeri ini hampir 20 tahun.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia jelas dilihat apabila Pas tidak menyebut langsung perkara itu, sebaliknya mengalihkan pandangan pengundi kepada isu-isu lain yang tiada kaitan dengan penduduk tempatan.

Beliau berkata, pengundi di Manek Urai tidak boleh dipandang rendah kerana mereka kini amat menyedari bahawa pembangunan adalah penting. Katanya, penduduk di situ tidak lagi akan terpedaya dengan cara berpolitik sekadar menjanjikan syurga. "Soal syurga neraka itu tuhan sudah ditentukan, kalau orang Islam buat amalan, buat pahala, buat baik semua syurga.
''Tidak ada dalam al-Quran, orang Islam Pas, orang Islam UMNO. Kalau ada dalam al-Quran, Menteri Besar, Nik Aziz Nik Mat kata orang Pas masuk syurga, buktikan kepada saya hari ini,'' katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Kelantan di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru di sini hari ini.

Muhyiddin menegaskan, beliau tidak mahu dengan pandangan begitu, penduduk Manek Urai tertipu dan ditipu dengan buaian bahawa pembangunan tidak penting. ''Kalau tidak penting buat apa imam minta masjid baru. Saya kata okey, saya faham tetapi dia kena faham saya, sebab itu saya cabar berapa banyak masjid baru Pas bina berbanding masjid sewaktu Kelantan di bawah Barisan Nasional (BN)," katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, Kerajaan Pusat membuat tawaran baru kepada penduduk di Manek Urai bagi memastikan mereka mendapat pembangunan yang sewajarnya. "Manek Urai akan jadi kawasan pembangunan baru bukan sebab pilihan raya kecil ini sahaja. Sebelum ini saya pernah datang ke sini dan melihat ada keperluan untuk majukan kawasan ini," katanya. Beliau menambah, dakwaan pemimpin Pas bahawa kerajaan Kelantan sekarang masih dalam usia 'remaja' dan tidak boleh dibandingkan dengan Kerajaan Pusat yang berusia lebih 50 tahun adalah tidak tepat sama sekali.

Menurut beliau, 20 tahun adalah satu tempoh masa lama untuk sebuah kerajaan dan mereka sewajarnya mampu menjana ekonomi dan pendapatan sendiri. "Remaja apa sudah 20 tahun. Sepatutnya mereka ada kemampuan tetapi mereka tidak tunjuk bagaimana hendak cari sumber untuk membantu. ''Kalau tidak hendak bina sekolah sebab Kerajaan Pusat buat tak apa, tapi lain-lain kemudahan yang biasanya tanggungjawab kerajaan negeri bagaimana?,'' katanya.

Mengulas kenyataan Nik Aziz yang menolak cabarannya, beliau berkata, cabaran itu bukan satu perkara main-main kerana rakyat di Manek Urai seharusnya mendapat penjelasan yang betul. "Saya kata jawab saya dulu kalau kata nak bangun bersama Islam, sudah 20 tahun memerintah senaraikan yang dibuat dari segi undang-undang, hukum, pembangunan keluarga Islam, bantuan kebajikan, pekebun kecil, masjid dan surau cuba mereka senaraikan "Saya cabar itu bukan main-main sebab nak beri tahu rakyat Manek Urai bahawa segala yang Pas kata tak penting itu satu kenyataan yang tidak betul,'' katanya.

>
>
Sumber: Utusan Malaysia Online, 13 Julai 2009

No comments: