Monday, July 13, 2009

Manek Urai jadi kota agropolitan

KUALA KRAI 12 Julai – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Manek Urai akan dijadikan sebuah kota agropolitan untuk melonjakkan pembangunan dan menjana ekonomi rakyat yang masih memerlukan banyak pembelaan. Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, seiring dengan perancangan memajukan pertanian secara komersial itu, prasarana untuk keselesaan rakyat akan disegerakan oleh Barisan Nasional (BN) termasuk membina jambatan baru menghubungkan Manek Urai Lama dan Baru. Menurut beliau, jambatan baru dua lorong yang dijangka membabitkan kos RM7 juta itu akan segera dibina jika BN diberi kepercayaan dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Selasa ini.
“BN berjanji hari ini dengan disaksikan oleh semua bahawa menang sahaja BN, kita akan terus memulakan kerja-kerja pembinaan baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Lama di sini hari ini. Jambatan satu lorong sepanjang kira-kira 200 meter itu yang dibina pada akhir 80-an merupakan satu-satunya penghubung antara kedua-dua Manek Urai itu dan menjadi nadi utama kepada lebih 3,000 penduduk Manek Urai Lama.
Ia sebahagian daripada janji dalam kempen pilihan raya - Rakyat Didahulukan, Manek Urai diutamakan, malah Muhyiddin sebelum ini menegaskan Manek Urai akan diberi perhatian sebagai anak emas Kerajaan Pusat.

Terdahulu semasa merasmikan Hari Guru peringkat negeri di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru di sini, Muhyiddin berkata, Manek Urai akan muncul sebagai kawasan pembangunan baru di Kelantan jika BN diberi peluang memenangi pilihan raya kecil itu. Tawaran kerajaan BN itu dijangka mampu mengubah bukan saja pembangunan di kawasan itu malah ekonomi dan sosial penduduk yang majoritinya bekerja sebagai penoreh getah. Tambah Muhyiddin, kota agropolitan bertujuan untuk memaksimumkan sektor pertanian di Manek Urai yang jauh ketinggalan berbanding kawasan lain. “Kalau BN menang kita akan jadikan Manek Urai anak emas, memang benar antaranya kota agropolitan kerana kawasan ini mewah dengan hasil pertanian, semuanya ada...durian, rambutan dan manggis baik-baik belaka. “Tetapi sayangnya tiada usaha tersusun dan sistematik bagi menguruskannya, kita mahu pastikan sektor pertanian adalah perniagaan,” katanya.

Tegas Muhyiddin, pembangunan tidak akan turun dari langit hanya sekadar berdoa tanpa berusaha gigih untuk melaksanakannya. Katanya, isu pembangunan langsung tidak menyalahi Islam kerana ajaran agama sendiri menuntut supaya umat Islam di samping mengejar kepentingan akhirat tetapi pada masa sama tidak boleh melupakan kebajikan dunia. “Nik Aziz seorang pemimpin yang cakap tidak serupa bikin, dia kata membangun bersama Islam tetapi hakikatnya dia langsung tidak membangunkan negeri hampir 20 tahun memerintah. “Doa sahaja Allah tidak akan menjadikan masjid atau jambatan. Sepanjang masa ini BN membina 564 buah masjid, tidak termasuk jalan raya atau bangunan lain. Sekarang saya nak tanya, siapa yang membangun bersama Islam, Pas atau BN?,” katanya

Sumber: Utusan Malaysia Online, 13 Julai 2009

No comments: