Tuesday, May 26, 2009

Raime: Keluarkan perkampungan dalam hutan simpan dan warta tanah kerajaan


TENOM: Ahli Parlimen Tenom Raime Unggi mengesyorkan supaya kerajaan negeri memberi pertimbangan untuk mengeluarkan perkampungan yang sudah wujud sejak dahulu lagi dalam kawasan hutan simpan dan mewartakan sebagai tanah kerajaan. Terdapat kampung-kampung di kawasan ini yang sukar dibangunkan kerana tersekat dengan dasar Jabatan Perhutanan yang melarang penduduk menerokai dan bercucuk tanam secara komersial di kawasan yang mereka diami sejak dari nenek moyang lagi. “Kita bukan membelakangkan dasar kerajaan tetapi kita meminta supaya penduduk yang tinggal di kawasan hutan simpan diberi peluang tinggal dan menerokai kawasan yang sudah menjadi hak asasi mereka,” kata Raime kepada New Sabah Times selepas melawat dan merasmikan Pesta Kaamatan Kg. Abingkoi salah satu perkampungan yang termasuk dalam hutan simpan pada Isnin.

Menurut Raime, kerajaan prihatin memberi pembangunan kepada rakyat di seluruh pelusuk di kawasan ini tetapi ia tidak dapat dilaksanakan kerana terhalang dengan dasar hutan simpan.
“Salah satu pembangunan dan kemudahan yang telah dilluluskan oleh kerajaan beberapa tahun lalu adalah bekalan elektrik luar bandar di Mukim Rundum tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana tidak mendapat kerjasama daripada Jabatan Perhutanan,” katanya. Ini jelas membuktikan kata Raime bahawa perkampungan yang termasuk dalam kawasan hutan simpan tidak dapat dibangunkan.

Justeru itu katanya, kerajaan perlu menimbangkan perkara ini mewartakan kawasan perkampungan yang didiami oleh penduduk turun temurun sebagai tanah kerajaan yang boleh dipohon sebagai hak mi-lik mereka. Bagaimanapun katanya, penduduk perkampungan dalam hutan simpan perlu bersedia jika kerajaan merancang dan mengwujudkan penempatan baru yang lebih tersusun seperti projek agropolitan yang telah dirancang di kawasan seluas kira-kira 6,000 ekar di kawasan Kemabong. “Penduduk kampung dalam kawasan hutan simpan tiada pilihan, selian berpindah ke sesuatu kawasan yang akan disediakan oleh kerajaan jika Jabatan Perhutanan tidak berganjak dengan dasar yang telah ditetapkan,” kata Raime.

Terdahulu dalam ucapan di majlis itu Raime meminta ibu bapa agar memberi keutamaan kepada pendidikan anak-anak disamping meningkatkan ekonomi dengan mengusahakan tanah yang terbiar dengan tanaman yang memberi pulangan lumayan. Dalam masa yang sama Raime berkata, kerajaan terus komited dalam usaha membangun rakyat di kawasan ini termasuk pembangunan pendidikan anak-anak di luar bandar. Katanya, sebelum ini sekolah di Kg. Korolok hanya cawangan Sekolah Kebangsaan (SK) Inubai tetapi kini ia sudah menjadi SK Korolok.
“Inilah bukti keprihatinan kerajaan melalui Kementerian Pelajaran terhadap pembangunan pendidikan anak-anak penduduk di luar bandar,” katanya.

Hadir sama di majlis itu, Pegawai Daerah Tenom Haji Faimin Kamin, Pegawai Pelajaran Daerah Tenom Azmal Jumah, Penolong Pegawai Daerah Tenom (Pembangunan) Primus Takom, Pegawai Rela Daerah Tenom Tumang Manon, Rainus Sagulau selaku pengerusi penganjur dan pemimpin-pemimpin masyarakat di kawasan ini.
>
>
Sumber: New Sabah Times, 27th May, 2009

No comments: