Tuesday, January 6, 2009

Minda Pengarang: Bahaya biarkan dunia tunduk telunjuk Amerika

DALAM dunia ini, keadaan adalah sama - semuanya berkisar atau dikawal oleh Amerika Syarikat (AS) baik di mana saja. Jika Washington kata 'perang', maka jadilah peperangan itu dan begitu juga jika AS kata 'hentikan peperangan', maka berhentilah peperangan itu. Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula bagaikan berfungsi mengikut kehendak AS. Misalnya, usaha pelbagai pihak dalam Majlis Keselamatan badan dunia itu gagal mencapai persetujuan gencatan senjata serangan Israel ke atas Gaza, akibat sekatan AS. Seluruh umat Islam di dunia ini melahirkan rasa marah, kecewa dan gusar terhadap tindak-tanduk Israel, tetapi selagi Washington 'memanjakan' negara Yahudi itu, tiada apa yang boleh dilakukan. Negara Islam, termasuk Malaysia boleh membuat pelbagai desakan tetapi sejauh mana keberkesanannya terus menjadi tanda tanya. Kita juga tidak tahu sejauh mana desakan Malaysia untuk PBB mengadakan Perhimpunan Agung Khas bagi membincangkan isu kekejaman rejim Israel terhadap Palestin itu akan diberi perhatian.

Seperti kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin, usaha mengadakan perhimpunan khas bertema 'Perpaduan Untuk Keamanan' itu akan digerakkan menerusi Kumpulan Hubungan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Wakil Tetap Malaysia ke PBB diarah memulakan inisiatif itu. Katakan PBB berjaya mengadakan perhimpunan khas seperti itu, kita juga tidak yakin ia dapat mengubah keangkuhan Israel, kecuali AS menggunakan pengaruhnya bagi menghentikan serangan Israel ke atas Gaza yang sehingga kini mengorbankan lebih 500 warga Palestin.

Kita juga tidak boleh terlalu mengharapkan kepada 'Barack Hussein Obama' untuk menukar pendirian itu sebaik memasuki Rumah Putih pada 20 Januari ini, meskipun setakat ini beliau cuma mendakwa 'memantau' perkembangan di Palestin. Hakikatnya, AS dan Obama perlu sedar bahawa dunia akan berubah mengikut perubahan semasa. Meskipun AS secara tradisionalnya berkuasa, Washington tidak berupaya untuk menentukan segala impiannya pada peringkat antarabangsa tercapai secara sendirian dalam arus gelombang revolusi maklumat dan globalisasi. Contoh ketara ialah kestabilan kewangan antarabangsa penting kepada kemakmuran AS, tetapi negara itu memerlukan kerjasama negara lain untuk memastikan matlamat berkenaan tercapai. Perubahan cuaca dunia juga akan memberikan kesan kepada kualiti dan gaya hidup, tetapi AS tidak mampu untuk menangani masalah itu secara sendirian. Inilah cabaran sebenar Obama dan AS nanti.

Jika AS sedar mengenai hakikat ini, ia perlu mendengar suara dunia lain termasuk dalam isu serangan Israel terhadap rakyat Palestin. Malah, suara dunia perlu didengar di PBB untuk mengadakan perhimpunan khas seperti dikehendaki Kuala Lumpur kerana apa yang berlaku di Gaza tidak dapat diterima dan tidak membawa kebaikan. AS yang kini turut bergelumang dengan krisis ekonomi perlu sedar bahawa membenarkan tindakan mengganas seperti dilakukan oleh Israel di Palestin adalah sesuatu yang tidak akan membantu pemulihan ekonominya.

Sumber: Berita Harian, 7hb Januari 2009.

No comments: