Monday, December 15, 2008

Lawatan Bush ke Baghdad dilempar dengan kasut

Lawatan Bush ke Baghdad dilempar dengan kasut

BAGHDAD: Seorang wartawan televisyen Iraq melemparkan kasut kepada Presiden Amerika Syarikat, George W Bush dan memanggilnya 'anjing' pada satu sidang akhbar di Baghdad semalam. Tindakan luar kawalan wartawan terbabit, Muntazer al-Zaidi menyebabkan pegawai keselamatan Iraq dan ejen khidmat rahsia Amerika Syarikat terkejut. Mereka terus meluru ke arahnya dan menariknya menyebabkan berlaku pergelutan sebelum dia dibawa keluar dari bilik Bush bersama Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki mengadakan sidang akhbar.
Bagaimanapun kasut berkenaan tidak mengenai sasaran. Bush sempat mengelak ketika berdiri di sebelah Maliki dan terkena dinding di belakangnya manakala satu lagi kasut terkena bendera Amerika Syarikat dan Iraq. Bush hanya tersenyum tapi jelas nampak tidak selesa dengan keadaan itu. "Saya langsung tak kisah," kata Bush sambil meminta semua bertenang berikutan kekecohan tercetus di bilik persidangan itu.

Ketika ditanya mengenai kejadian berkenaan selepas itu, Bush berkata "saya tidak berasa terancam dengan kejadian berkenaan. Jika anda mahukan fakta, kasut itu mempunyai saiz 10," katanya. Beberapa wartawan Iraq lain memohon maaf bagi pihak rakan mereka itu yang dikenali sebagai pemberita sebuah televisyen. Bush tiba di Baghdad kelmarin sebagai lawatan selamat tinggal sebelum beliau mengakhiri tugas sebagai presiden Januari ini. - Agensi

Sumber: Berita Harian Online (Selasa, 16 Disember 2008)

No comments: