Tuesday, December 16, 2008

Kempen 'Restoran Harga Patut'

Minda Pengarang: Kempen 'Restoran Harga Patut'

MULAI semalam, harga minyak diturunkan lagi iaitu kali kedua dalam bulan ini dan ketujuh sejak dinaikkan berikutan penyusunan semula subsidi minyak pada 5 Jun lalu, tetapi orang ramai masih kebingungan mengenai harga barang yang dilihat begitu sukar untuk diturunkan. Kerajaan tidak boleh memaksa peniaga menurunkan harga barangan kecuali yang membabitkan barangan di bawah kawalan seperti tepung dan beras. Bagaimanapun, kerajaan boleh bertindak dengan lebih drastik lagi untuk mengambil tindakan jika peniaga menjual barangan dengan harga yang tidak munasabah atau memperkenalkan kaedah baru untuk menangani masalah ini. Contohnya, kerajaan terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) boleh mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memasukkan peraturan penetapan harga munasabah dalam syarat mendapatkan lesen perniagaan bagi peniaga. Ini bagi membantu usaha kerajaan memantau harga barangan, khususnya makanan masak yang didapati masih mahal walaupun harga minyak sudah diturunkan beberapa kali. Idea ini dicetuskan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Salleh Yusop, baru-baru ini dengan menyatakan bahawa PBT sedia bekerjasama dengan KPDNHEP untuk tujuan itu dan membantu dengan memanggil wakil persatuan berkaitan seperti persatuan penjaja bagi membincangkan syarat berkenaan. Kita berharap pihak kementerian terbabit, yang setakat ini belum memberi maklum balas, dapat melakukan sesuatu seperti disarankan itu. Kita berpendapat, selagi pihak berkuasa hanya memberi nasihat, teguran dan ancaman untuk mengambil tindakan, peniaga akan terus memekak telinga.
Benar, kempen penurunan harga yang dimulakan sejak Oktober lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada pemilik pasar besar sama ada milik asing atau tempatan, tetapi ia masih tidak memberi kesan menyeluruh. Langkah pasar raya seperti Giant, Tesco, Carrefour, Mydin, The Store dan Jaya Jusco juga perlu ikhlas, bukan sekadar menyelitkan harga barangan kawalan itu antara puluhan barangan dalam senarai diumumkan untuk turun harga, melainkan barangan keperluan yang tidak tersenarai dalam barangan kawalan kerajaan. Selain itu, KPDNHEP perlu memperluaskan skop kempen ‘Kedai Harga Patut’ yang dilancarkan pada 2006, untuk turut meliputi ‘Restoran Harga Patut’. Kempen ini boleh dilakukan dan menasihatkan orang ramai supaya jangan makan dan minum di restoran tanpa logo ‘Restoran Harga Patut’. Untuk mendapatkan logo ini daripada KPDNHEP, pegawainya perlu terlebih dulu memeriksa dan menyenaraikan setiap harga patut seperti teh tarik, roti canai dan sebagainya untuk ditampal di hadapan restoran bagi membolehkan pengguna membandingkan harga. Tindakan ini bertujuan memberi tekanan kepada pengusaha, termasuk restoran mamak untuk menurunkan harga, sejajar penurunan harga minyak. Inilah antara kaedah terbaik dalam usaha kita bersama untuk melihat peniaga degil yang tidak menurunkan harga barangan pada kadar munasabah, turut berbuat demikian.

2 comments:

rumandawi said...

salam...
tahniah lah sudah bergelar daddy...
moga sentiasa berbahagia...
sihat berpanjangan lah ye...

waritarakyat said...

TQ... harap la mcm tu.