Sunday, September 18, 2011

Politik 'sapi' pembangkang

SEPERTI diduga, pakatan pembangkang 'tumpang semangkuk' apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Mereka mendakwa, langkah Najib yang dianggap berani itu adalah hasil desakan dan perjuangan mereka, ada pula anggap ia gimik pilihan raya manakala Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan ia langkah terdesak kerajaan Barisan Nasional (BN).Demikianlah sikap pembangkang, apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan semuanya tidak betul, biar pun langkah mengkaji semula akta itu hakikatnya sudah dijanjikan oleh Najib dua tahun lalu.
Tetapi pembangkang peduli apa dengan fakta itu, mereka dulu, kini dan selamanya ingin mengamalkan sindrom 'lembu punya susu sapi dapat nama'.

Adalah sesuatu yang malang apabila pembangkang terus mahu berpolitik tanpa berhasrat mempertimbangkan keikhlasan Perdana Menteri dan kerajaan dalam melakukan transformasi dalam pelbagai bidang di negara ini. Bagi pembangkang, mereka bimbang jika langkah kerajaan BN itu akan disokong dan disukai oleh rakyat ia merupakan bencana untuk mereka. Ini kerana dalam pemikiran mereka tidak ada benda lain selain mahu merampas tampuk pemerintahan negara dengan cara memburuk-burukkan BN. Mereka mahu menafikan fakta bahawa langkah yang dilakukan kerajaan bukanlah kerana tekanan mana-mana pihak sebaliknya berasaskan kepada perkembangan semasa dan merasakan sampai masanya sesuatu akta itu dikaji semula.
Sebab itulah Perdana Menteri dalam ucapannya menegaskan, "Langkah-langkah yang saya umumkan sebentar tadi tidak lain tidak bukan adalah inisiatif awal transformasi politik secara tertib lagi berhemah. "Ia berdiri sebagai pelengkap amat penting serta perlu kepada inisiatif-inisiatif transformasi bidang ekonomi dan penyampaian awam yang pihak kerajaan telah rangka dan laksanakan semenjak lebih dua tahun kebelakangan dalam usaha menuju sebuah negara moden dan progresif." 'Secara tertib dan berhemah' itulah pendekatan kerajaan BN sejak dulu lagi dan bukannya seperti pembangkang yang sejak 1998 sering menjadikan demonstrasi jalanan sebagai medan untuk mereka mengemukakan tuntutan dan melakukan perubahan.

Oleh itu tidak perlulah pembangkang terlalu terdesak mahu mencari nama dengan menganggap apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan adalah hasil usaha mereka sedangkan sejak 1998, rakyat amat memahami bahawa pembangkang di negara ini tidak lagi rasional dalam berpolitik.
Mereka tidak lagi bertindak sebagai pihak yang berfungsi sebagai check and balance kepada perjalanan pemerintahan negara, sebaliknya hanya tahu mencari ruang bagi kepentingan politik merebut kekuasaan sahaja. Sebelum rakyat terpedaya dengan apa yang diperkatakan oleh pembangkang dalam pemansuhan ISA itu, mereka perlu mengimbas kembali janji Najib sebaik sahaja diberi amanah memimpin negara dua tahun lalu.

Ketika itu Najib berjanji akan mengkaji akta berkenaan dan sebagai pemimpin yang berpegang kepada janji dan bukannya menabur janji kosong, Perdana Menteri menjadikan pemansuhan tersebut sebagai 'hadiah' sambutan hari kemerdekaan dan pembentukan Malaysia. Dan jelaslah ia bukanlah satu langkah untuk mengejar populariti atau tunduk dengan tekanan pembangkang, sebaliknya ia dilakukan selepas kajian mendalam dijalankan oleh pelbagai pihak. Kalau kerajaan BN takut dengan tekanan pembangkang sudah pasti awal-awal lagi Najib mengambil tindakan drastik memansuhkan akta berkenaan. Tetapi Najib tidak berbuat demikian kerana seperti mana kata beliau, ''Pilihan yang kita putuskan hari ini akan menentukan nasib serta mencorakkan rupa bentuk Malaysia pada masa hadapan, tanah air yang akan kita wariskan kepada anak-anak kita dan generasi mendatang.''

Justeru segala tindakan dilakukan secara berhati-hati bukannya seperti pembangkang yang berjanji macam-macam semata-mata untuk meraih undi tetapi apabila diberi kuasa mula kelam-kabut tidak mampu menunaikan apa yang dijanjikan. Kalau pun pembangkang hendak amalkan 'politik sapi', cermin-cerminlah dulu apa yang berlaku di negeri di bawah pemerintahan mereka.

Sampai sekarang pun tidak ada satu perkara pun yang boleh dicontohi atau dilihat boleh menyamai keupayaan BN memerintah negeri-negeri berkenaan. Oleh itu tidak payahlah setiap pengumuman yang dilakukan kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara semuanya pembangkang mahu tumpang sekaki. Tidak pernah ada satu pun langkah kerajaan BN akan disambut baik dan penuh keikhlasan oleh pembangkang, semuanya pasti diselitkan dengan ''itu semua hasil desakan dan permintaan kita.'' Soalnya, tak kanlah kerajaan BN begitu lemah atau takut sehinggakan apa pun hendak dilakukan harus berpandu apa yang dimahukan oleh pembangkang? Kalau mahu mengikut apa kehendak pembangkang sudah lama negara ini menjadi huru-hara kerana mereka kelompok yang sering melanggar undang-undang dan bersedia mengadaikan segala-galanya demi merebut kuasa politik. Malahan jika kerajaan BN mengikut rentak politik pembangkang yang semata-mata mencari populariti untuk meraih undi, sudah lama negara ini terjejas dalam segala bidang.

Apa pun tindakan kerajaan segala-galanya dilakukan berdasarkan pertimbangan yang rasional dan memikirkan secara mendalam kesannya kepada rakyat serta negara. Kalaulah sesebuah negara ditadbir berasaskan mencari populariti dan meraih undi sudah lama Malaysia menjadi kucar-kacir dan tidak mencapai apa-apa kemajuan. Oleh itu rakyat tidak perlulah terpengaruh dengan dakyah-dakyah serta 'politik sapi' pembangkang ini, sebaliknya teruslah memberikan keyakinan kepada kerajaan BN di bawah kepimpinan Najib untuk menguruskan negara.
Biarlah pembangkang terus dengan mainan politik mereka sehinggakan fakta sejarah pun mahu diubah.

Apa yang lebih penting sekarang ialah memastikan usaha transformasi politik, ekonomi dan sosial yang dirancang oleh Perdana Menteri mencapai matlamat. Rakyat perlu diberikan pemahaman mengenai usaha kerajaan itu dan tidak terikut-ikut dengan rentak pembangkang yang mahu terus berpolitik dalam apa juga perkara hatta soal keselamatan negara sekali pun.
Lagi pun, percayalah selagi Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak berakhir, selagi itulah pembangkang akan terus dengan sikap hipokrit, sombong, bongkak dan tunjuk pandai mereka.


Sumbetr: Utusan Malaysia Online 19 Sep 2011
Oleh ZULKIFLEE BAKARpengarang@utusan.com.my

Sunday, September 11, 2011

Jangan cuba ubah sejarah negara

BUKIT MERTAJAM 11 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan semua pihak supaya tidak sesekali cuba mengubah fakta sejarah dengan mengagung-agungkan kezaliman pengganas komunis pada era zaman darurat.

Perdana Menteri berkata, rakyat pada era tersebut bangkit menentang perjuangan komunis yang cuba menguasai negara dengan ideologi yang tidak boleh diterima termasuk antiagama dan antituhan, malah, sanggup melakukan pembunuhan kejam. Beliau menegaskan, komunis pada zaman tersebut tidak boleh disamakan dengan negara komunis masa kini kerana kedua-duanya berbeza dari segi ideologi perjuangan."Komunis zaman dahulu dan komunis zaman sekarang tidak sama. Komunis zaman darurat tidak memberi hak kebebasan kepada kita, mereka antiagama dan antituhan. Mereka zalim dan membunuh orang dengan kejam. "Sebab itulah jangan sesiapa yang hendak mengubah sejarah negara kita, jangan ada sesiapa cuba mengagungkan orang yang sebenarnya kejam dan mengkhianati bumi bertuah ini," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri-Merdeka di Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, komunis zaman dahulu tidak memberi kebebasan kepada rakyat termasuk menghalang pemilikan kekayaan peribadi. Malah, kata beliau, perjuangan komunis pada zaman tersebut juga tidak akan memberi demokrasi yang membolehkan rakyat berbilang kaum di negara ini mengecapi keamanan dan keharmonian seperti hari ini.

Najib menarik perhatian, kerajaan mempunyai hubungan baik dengan negara komunis yang ada pada hari ini kerana sudah meninggalkan ideologi lama mereka."Mereka (negara komunis) berbuat baik kepada kita (maka) kita juga buat baik dengan mereka. Mereka hormati negara kita dan kita juga hormati negara mereka. Perjuangan mereka tidak sama seperti komunis zaman dahulu," jelasnya.

Beliau turut mengajak rakyat supaya menghargai kebijaksanaan pemimpin terdahulu yang mewujudkan pemuafakatan antara kaum dan memilih jalan rundingan bagi mencapai kemerdekaan daripada penjajah. Menurutnya, proses rundingan ketika itu tidak bermakna pemimpin negara sehaluan dengan penjajah sebaliknya, ia adalah jalan penyelesaian terbaik sehingga membolehkan rakyat mentadbir sendiri negara ini."Kita telah tunjuk kepada British, kita semua berdiri atas satu tekad, punyai satu niat serta tujuan kerana kita tidak rela negara dijajah lagi pada masa itu. Kuasa besar dunia akhirnya tunduk dan beri kemerdekaan kepada negara," katanya.


Sumber: Utusan Malaysia Online 12 Sep 2011
Oleh ZABRY MOHAMAD, ABDUL MUIN SAPIDIN dan ROKIAH
ABDULLAHutusanpulaupinang@utusan.com.my