Monday, December 7, 2009

Hanya kestabilan politik berterusan mampu bangunkan Sabah, kata Tawfiq

KOTA KINABALU: Hanya dengan adanya kestabilan iklim politik yang berterusan seperti yang dinikmati pada hari ini mampu untuk membawa Sabah berada pada landasan yang tepat untuk mambangunkan rakyat dan negeri ini.

Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata, ini jelas terbukti apabila Kerajaan Negeri yang kerap bertukar pada masa lalu, sebelum Barisan Nasional (BN) mengambil alih pada tahun 1994 sehingga hari ini menyebabkan Sabah ketinggalan dalam arus pembangunan.

“Jika kerajaan negeri kerap bertukar, ianya akan menyebabkan Sabah akan terus ketinggalan dan tergelincir pada masa akan datang kerana tidak adanya kestabilan politik,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Tawfiq berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) Edward Dagul kelmarin yang mendakwa ketidakseimbangan yang diamalkan Kuala Lumpur membuatkan Sabah menjadi negeri termiskin di negara ini.

Edward berkata, Sabah mempunyai jumlah penduduk miskin paling ramai iaitu seorang dalam setiap empat individu yang tergolong dalam kategori ini disebabkan ketidakseimbangan pembangunan.

Beliau turut mendakwa bahawa Kuala Lumpur juga tidak memberi layanan saksama kepada Sabah, tidak mengendahkan keperluan asas rakyat seperti perkhidmatan penjagaan kesihatan, bekalan elektrik, bekalan air bersih dan banyak lagi.

Menurut, Tawfiq ketidakstabilan politik dan pertukaran kerajaan negeri yang kerap berlaku di Sabah sebelum BN mengambil alih kerajaan negeri pada 1994 menyebabkan Sabah ketinggalan jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

“Ini berbeza dengan negeri jiran Sarawak yang sehingga hari ini ditadbir oleh satu sahaja kerajaan sahaja, jika kerap bertukar kerajaan program yang dilaksanakan kerajaan sebelumnya akan terbantut dan apabila kerajaan baru mengambil alih, dasar dan pelaksanaan pembangunan juga berubah,” katanya.

Selain itu, katanya, sistem penggiliran jawatan Ketua Menteri untuk tempoh dua tahun yang diperkenalkan pada tahun 1994 sehingga 2003 juga tidak memberi kebaikan kepada kemajuan dan pembangunan negeri ini.

“Ini kerana setiap kali ketua menteri bertukar, dasarnya juga berubah dan ini menyebabkan banyak program dan pelaksanaan pembangunan terbantut dan hanya apabila Datuk Seri Musa Haji Aman mengambil alih kepimpinan kerajaan negeri pada 2003 ianya menampakkan kestabilan politik.

Berikutan itu, katanya peratusan kadar kemiskinan di negeri ini juga menunjukkan pengurangan yang ketara dan begitu prestasi kewangan negeri yang amat meyakinkan dan kukuh pada masa ini.

Menurutnya, dengan adanya kestabilan politik ia menimbulkan keyakinan kepada para pelabur dari dalam dan luar negara untuk melabur di negeri ini.

Beliau juga Ketua Umno Bahagian Tawau berkata, apa yang dilalui oleh negeri ini pada masa lalu, seharusnya dijadikan iktibar apabila kerap berlaku pertukaran kerajaan negeri meyebabkan iklim politik tidak stabil dan dasar serta perancangan pembangunan yang dirancang oleh kerajaan sebelumnya tidak ada kesenimbungan.

Menurutnya, parti pembangkang hanya bijak bercakap dengan membuat pelbagai dakwaan dan tuduhan yang tidak berasas untuk kepentingan politik mereka, seperti soal kemiskinan kerana memang mudah untuk bercakap.

“Soal kemiskinan di negeri ini, tidak seharusnya menunding jari terus kepada Kerajaan Persekutuan, ia berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya faktor geografi dan keluasan negeri ini yang begitu luas berbanding dengan negeri lain di Semenanjung,” katanya.

Selain itu, masalah keadaan penempatan penduduk yang bertaburan di merata tempat dan terpencil yang tidak tertumpu kepada satu-satu tempat, bagimanapun kerajaan telah berusaha sedaya upaya untuk memberikan pelbagai kemudahan kepada rakyat di negeri terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan terpencil.


Sumber: New Sabah Times, 6th December, 2009

Tuesday, November 17, 2009

Drama Jeffry Dalam PKR

DSAI sudah menilai dan menghitung syarat-syarat yang dikenakan Dr. J dalam pelan damai yang ditawarkan Dr. J. Bagi DSAI, syarat-syarat Dr. J tiada tujuan lain melainkan “cari pasal”. Mana mungkin DSAI mengubah keputusan kolektif PKR Pusat yang melantik Ahmad Thamrin Haji Zaini dan Datuk Kong Hong Ming sebagai Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Sabah. Mana mungkin Dr. J seorang cuba sewenang-wenangnya “over rule” keputusan kolektif PKR Pusat itu.

Sejak awal PKR memasuki Sabah, DSAI tidak pernah memberi penekanan utama ke atas DEKLRASI TAMBUNAN. Dalam PRU12 pun DSAI membisu mengenai Deklarasi Tambunan. Tetapi Dr. J insist Deklarasi Tambunan ini untuk diterima PKR Pusat sebagai salah satu pra syarat bagi Dr. J mematuhi “plan damai ” dengan PKR bersabit krisis kepimpinan PKR Sabah yang terkini.

Isu lain, mengenai Royalti Minyak 20%, Autonomi PKR Sabah, Kebebasan membuat keputusan PKR Sabah untuk Sabah tanpa campur tangan PKR Pusat. Itulah antara keistemewaan yang Dr. J gariskan. Bagi kebanyakan, permintaan Dr. J memang sukar dan kelihatan sekadar “cari pasal” untuk menghancurkan PKR dari dalam sebelum meninggalkan PKR sepenuhnya. Jelas Dr. J tidak lagi mahu mematuhi displin dan ideologi PKR.

Berikutan dengan itu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggelar ahli yang gagal mematuhi disiplin dan ideologi parti itu sebagai ‘pengacau’ di dalam PKR. Dengan ini Dr. J adalah tergolong dalam kategori “PENGACAU”.

“Saya dengan tegas memberi amaran kepada seluruh anasir-anasir ‘pengacau’ dalam parti yang gagal patuh kepada disiplin dan ideologi parti, mereka harus undur sebelum disingkirkan,” DSAI -di sini

Episod, di mana Dr. J mengenakan syarat-syarat yang sukar dipenuhi PKR pusat ini, malah di luar bidang kuasa PKR sendiri, dilihat sebagai episod terakhir dalam drama Dr.J dalam PKR. Sebagai “pengacau” Dr. J tiada pilihan melainkan BERUNDUR ATAU DISINGKIR. syarat-syarat Jeffrey kepada PKR…SABAHKITA


Sumber: sabahdaily.com

Monday, November 9, 2009

PAS tidak berupaya jadi parti alternatif

KUALA LUMPUR: PAS tidak akan berupaya menjadi parti alternatif sekiranya tidak dapat menerima perlembagaan negara yang mengiktiraf masyarakat bukan Islam, kata pemerhati politik Prof Dr Abdul Aziz Bari.

“Ini satu perlembagaan yang kita kenal, kalau kita tak mahu akui maka kita tak boleh jadi parti alternatif, jadi jangan lompat (melenting dan mempersoalkan) bagaimana dengan Islam? Kena tumpu juga kepada bukan Islam dan fokus bagaimana nak menangi hati mereka,” katanya.

Pensyarah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu berkata demikian semasa membentangkan pandangan beliau pada seminar politik PAS di sini.

Beliau dan Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dari Universiti Malaya adalah dua pemerhati politik yang diundang PAS bagi memberi pandangan alternatif dalam usaha parti itu memperkasakan parti.

Abdul Aziz juga menyelar sikap PAS yang gemar menyalahkan Umno setiap kali berlaku sesuatu yang negatif terhadap parti itu.

PAS sebaliknya harus melihat ke dalam parti dan mencari jalan untuk membetulkan apa juga masalah yang timbul.

“PAS harus menjadi sebuah parti yang terbuka dan menjadi tumpuan rakyat adalah lumrah, jadi jangan lagi bermain cara lama, ada benda sikit salahkan Umno, ini tidak harus dilayan, kita harus fokus apa yang ada dalam parti,” kata Abdul Aziz.

Dr Abu Hassan pula berkata, PAS bermungkinan berdepan dengan masalah besar pada pilihan raya umum akan datang memandangkan kajian menunjukkan golongan muda mempunyai tanggapan negatif terhadap keupayaan kepimpinan parti sekarang.

Katanya kajian yang dijalankan beliau bagi menjangka keputusan pilihan raya umum ke-13 itu juga menunjukkan golongan muda tidak kenal dengan pemimpin-pemimpin PAS.

“Menurut survey (kaji selidik) itu yang mereka kenal cuma Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (bekas menteri besar Perak), Mohamad Sabu dan Datuk Seri Azizan Abdul Razak (Menteri Besar Kedah),” katanya.

Abu Hassan berkata kajian berkenaan turut meneliti laman-laman blog berunsur politik dan mendapati blog-blog yang sebelum ini menyokong PAS telah kembali menjadi “atas pagar”.

“Kajian menunjukkan blog-blog sedemikian meningkat 213 peratus,” katanya.


Sumber: New Sabah Times, 8th November, 2009.

Monday, November 2, 2009

Enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (KRA)

Enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (KRA) Untuk mencapai Matlamat Petunjuk Prestasi Utama (KPI)

1. Mencegah Jenayah
2. Memerangi Rasuah
3. Meluaskan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti Berkemampuan
4. Meningkatkan Taraf Hidup Rakyat Berpendapatan Rendah
5. Memperkasa Prasarana Luar bandar & Pedalaman
6. Menambah baik Pengangkutan Awam.

Bayaran bantuan bulanan JKM dipercepat kepada 1 haribulan

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mula membayar bantuan bulanan kepada penerima di Semenanjung pada 1 haribulan sejak September lepas walaupun tarikh pembayaran itu hanya berkuatkuasa pada Januari depan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata kementerian itu mengambil langkah proaktif mempercepatkan tarikh pembayaran tersebut walaupun Bajet 2010 memperuntukkan penguatkuasaan bayaran bantuan itu pada tahun depan.

“Langkah ini merupakan usaha prihatin kerajaan yang memahami nasib golongan yang memerlukan bagi meningkatkan taraf rakyat berpendapatan rendah seperti yang terkandung dalam salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA),” katanya selepas menyampaikan bantuan kebajikan kepada 170 penerima di kawasan Gombak di sini kelmarin.

Bagaimanapun beliau berkata pembayaran pada 1 haribulan kepada penerima bantuan di Sabah dan Sarawak akan bermula 1 Jan 2010.

Katanya JKM memberi bantuan bulanan kepada 300,000 penerima bernilai RM460 juta pada setiap tahun sementara di Selangor sahaja seramai 17,976 orang menerima bantuan itu dengan melibatkan pembayaran RM33 juta sejak Januari hingga September lepas.

Sumber: New Sabah Times, 2nd November, 2009

Lebih 2,000 ribu pencari kerja berjaya dapat pekerjaan

TAWAU: Seramai 2,679 pencari kerja dari Sabah berjaya ditempatkan di dalam pelbagai sektor pekerjaan dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

Pengarah Tenaga Kerja (JTK) Sabah, Siti Aishah Mohd Asri berkata, penempatan berkenaan adalah hasil penganjuran 26 Program Penempatan Pekerjaan (3P) di beberapa lokasi di negeri ini.

Program itu ujarnya, mendapat kerjasama ramai majikan sektor swasta seperti dari industri perkhidmatan, pembuatan, perkilangan, pembinaan dan sebagainya.

Di sepanjang tempoh itu juga, Aishah memberitahu bahawa Projek Bursa Buruh Elektronik (ELX) melalui Sistem Pemadanan Kerja atau JobsMalaysia turut berjaya mendaftarkan 25,773 pencari kerja dari seluruh negeri ini.

Beliau berkata demikian pada Program Penempatan Pekerjaan (3P) yang dianjurkan di daerah ini kelmarin.

Sementara itu, seorang pencari kerja, Yusrin Mohd. Sinu, 21, berkata, program 3P yang dianjurkan oleh JTK benar-benar memberi manfaat kepada golongan pencari kerja sepertinya.

“Saya sudah lama menganggur. Dengan adanya program 3P sebegini, saya berpeluang menghadiri temuduga kerja di beberapa syarikat dalam masa yang sama. Saya harap program begini dapat dianjurkan dengan lebih kerap,” katanya.

Menurutnya, beliau sempat menghadiri lima temuduga di sepanjang berlangsungnya program itu.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Pang Yuk Ming ketika merasmikan program itu meminta syarikat-syarikat swasta supaya mengutamakan pengambilan buruh tempatan berbanding pekerja asing.

Dengan demikian katanya, ia dapat membantu kerajaan mengurangkan masalah pengangguran di kalangan rakyat.

Lebih 1,000 pencari kerja hadir pada program tersebut kelmarin. Program berkenaan dianjurkan selama dua hari termasuk hari ini (Ahad).


Sumber: New Sabah Times, 1st November, 2009

Monday, October 19, 2009

Mengiktiraf tanggal 16 September sebagai Hari Malaysia

SETELAH 46 tahun Sabah dan Sarawak mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Persekutuan Malaysia, semalam adalah hari penuh sejarah bagi seluruh rakyat negara ini. Pengumuman yang dinanti-nantikan muncul jua.

Berkat sabar, akhirnya tanggal 16 September diiktiraf sepenuhnya sebagai Hari Malaysia. Sejajar dengan itu ia diumumkan hari cuti umum yang bermula tahun 2010.
Rakyat Malaysia berbilang kaum harus mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kita amat bersetuju tarikh itu dipilih sebagai cuti umum. Selepas ini tiada alasan lagi untuk kita lupa daripada mengingati sejarah dan tarikh pembentukan Malaysia apabila Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada 16 September 1963. Tarikh terbentuknya Malaysia perlu lebih dihayati, dikenang dan dihargai bukan sahaja oleh rakyat Sabah dan Sarawak tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.

Perdana Menteri ketika mengumumkannya di Dewan Rakyat semalam berkata, Malaysia akan merayakan dua hari kebangsaan secara berkembar iaitu Hari Merdeka pada 31 Ogos bagi mengingatkan rakyat akan perjuangan mencapai kemerdekaan dan Hari Malaysia yang akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengeratkan perpaduan dan persefahaman antara kaum sejajar dengan semangat 1Malaysia.

Kita percaya apabila Hari Malaysia diraikan pada tahun hadapan, banyak acara mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum menerusi aktiviti sukan, sosio-budaya dan kesenian diadakan bagi menyemarakkan lagi semangat 1Malaysia.
Dengan perisytiharan cuti umum Hari Malaysia maka diharapkan kecenderungan untuk melihat Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai entiti yang berada dalam wilayah yang berasingan akan terhakis. Jika tahun 1981 pemisahan itu dirapatkan melalui penyeragaman waktu dan kini dimantapkan dengan sambutan Hari Malaysia.

Pengertian Hari Malaysia perlu disebar luaskan kepada rakyat supaya pemahaman mengenainya lebih mendalam. Kita perlu fahami, emosi menyambut Hari Malaysia adalah berlainan dengan perasaan menyambut Hari Kemerdekaan.Pengumuman Hari Malaysia sebagai cuti umum adalah dialu-alukan, pun begitu sambutan hari tersebut perlu ada pengisian yang bermakna dan berkesan.
Tanggal 16 September diraikan sebagai memperingati hari bersejarah bagi rakyat Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak kerana pelbagai kaum dan etnik bersatu untuk mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia.

Pada hari tersebut seharusnya rakyat di seluruh negara dapat merapatkan lagi hubungan antara kaum dalam suasana muhibah. Gagasan 1Malaysia akan bertambah mudah jika semua kaum dapat bersatu menjadi sebuah masyarakat yang kukuh jati dirinya. Di samping itu kita ingin menasihatkan kepada majikan di sektor swasta supaya menghormati hari cuti umum tersebut. Mereka mesti mematuhi keputusan terbaru kerajaan menjadikan 16 September sebagai Hari Malaysia mulai 2010.


Sumber: Utusan Malaysia Online, 20 Oktober 20009