Showing posts with label Politik. Show all posts
Showing posts with label Politik. Show all posts

Sunday, September 18, 2011

Politik 'sapi' pembangkang

SEPERTI diduga, pakatan pembangkang 'tumpang semangkuk' apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Mereka mendakwa, langkah Najib yang dianggap berani itu adalah hasil desakan dan perjuangan mereka, ada pula anggap ia gimik pilihan raya manakala Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan ia langkah terdesak kerajaan Barisan Nasional (BN).Demikianlah sikap pembangkang, apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan semuanya tidak betul, biar pun langkah mengkaji semula akta itu hakikatnya sudah dijanjikan oleh Najib dua tahun lalu.
Tetapi pembangkang peduli apa dengan fakta itu, mereka dulu, kini dan selamanya ingin mengamalkan sindrom 'lembu punya susu sapi dapat nama'.

Adalah sesuatu yang malang apabila pembangkang terus mahu berpolitik tanpa berhasrat mempertimbangkan keikhlasan Perdana Menteri dan kerajaan dalam melakukan transformasi dalam pelbagai bidang di negara ini. Bagi pembangkang, mereka bimbang jika langkah kerajaan BN itu akan disokong dan disukai oleh rakyat ia merupakan bencana untuk mereka. Ini kerana dalam pemikiran mereka tidak ada benda lain selain mahu merampas tampuk pemerintahan negara dengan cara memburuk-burukkan BN. Mereka mahu menafikan fakta bahawa langkah yang dilakukan kerajaan bukanlah kerana tekanan mana-mana pihak sebaliknya berasaskan kepada perkembangan semasa dan merasakan sampai masanya sesuatu akta itu dikaji semula.
Sebab itulah Perdana Menteri dalam ucapannya menegaskan, "Langkah-langkah yang saya umumkan sebentar tadi tidak lain tidak bukan adalah inisiatif awal transformasi politik secara tertib lagi berhemah. "Ia berdiri sebagai pelengkap amat penting serta perlu kepada inisiatif-inisiatif transformasi bidang ekonomi dan penyampaian awam yang pihak kerajaan telah rangka dan laksanakan semenjak lebih dua tahun kebelakangan dalam usaha menuju sebuah negara moden dan progresif." 'Secara tertib dan berhemah' itulah pendekatan kerajaan BN sejak dulu lagi dan bukannya seperti pembangkang yang sejak 1998 sering menjadikan demonstrasi jalanan sebagai medan untuk mereka mengemukakan tuntutan dan melakukan perubahan.

Oleh itu tidak perlulah pembangkang terlalu terdesak mahu mencari nama dengan menganggap apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan adalah hasil usaha mereka sedangkan sejak 1998, rakyat amat memahami bahawa pembangkang di negara ini tidak lagi rasional dalam berpolitik.
Mereka tidak lagi bertindak sebagai pihak yang berfungsi sebagai check and balance kepada perjalanan pemerintahan negara, sebaliknya hanya tahu mencari ruang bagi kepentingan politik merebut kekuasaan sahaja. Sebelum rakyat terpedaya dengan apa yang diperkatakan oleh pembangkang dalam pemansuhan ISA itu, mereka perlu mengimbas kembali janji Najib sebaik sahaja diberi amanah memimpin negara dua tahun lalu.

Ketika itu Najib berjanji akan mengkaji akta berkenaan dan sebagai pemimpin yang berpegang kepada janji dan bukannya menabur janji kosong, Perdana Menteri menjadikan pemansuhan tersebut sebagai 'hadiah' sambutan hari kemerdekaan dan pembentukan Malaysia. Dan jelaslah ia bukanlah satu langkah untuk mengejar populariti atau tunduk dengan tekanan pembangkang, sebaliknya ia dilakukan selepas kajian mendalam dijalankan oleh pelbagai pihak. Kalau kerajaan BN takut dengan tekanan pembangkang sudah pasti awal-awal lagi Najib mengambil tindakan drastik memansuhkan akta berkenaan. Tetapi Najib tidak berbuat demikian kerana seperti mana kata beliau, ''Pilihan yang kita putuskan hari ini akan menentukan nasib serta mencorakkan rupa bentuk Malaysia pada masa hadapan, tanah air yang akan kita wariskan kepada anak-anak kita dan generasi mendatang.''

Justeru segala tindakan dilakukan secara berhati-hati bukannya seperti pembangkang yang berjanji macam-macam semata-mata untuk meraih undi tetapi apabila diberi kuasa mula kelam-kabut tidak mampu menunaikan apa yang dijanjikan. Kalau pun pembangkang hendak amalkan 'politik sapi', cermin-cerminlah dulu apa yang berlaku di negeri di bawah pemerintahan mereka.

Sampai sekarang pun tidak ada satu perkara pun yang boleh dicontohi atau dilihat boleh menyamai keupayaan BN memerintah negeri-negeri berkenaan. Oleh itu tidak payahlah setiap pengumuman yang dilakukan kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara semuanya pembangkang mahu tumpang sekaki. Tidak pernah ada satu pun langkah kerajaan BN akan disambut baik dan penuh keikhlasan oleh pembangkang, semuanya pasti diselitkan dengan ''itu semua hasil desakan dan permintaan kita.'' Soalnya, tak kanlah kerajaan BN begitu lemah atau takut sehinggakan apa pun hendak dilakukan harus berpandu apa yang dimahukan oleh pembangkang? Kalau mahu mengikut apa kehendak pembangkang sudah lama negara ini menjadi huru-hara kerana mereka kelompok yang sering melanggar undang-undang dan bersedia mengadaikan segala-galanya demi merebut kuasa politik. Malahan jika kerajaan BN mengikut rentak politik pembangkang yang semata-mata mencari populariti untuk meraih undi, sudah lama negara ini terjejas dalam segala bidang.

Apa pun tindakan kerajaan segala-galanya dilakukan berdasarkan pertimbangan yang rasional dan memikirkan secara mendalam kesannya kepada rakyat serta negara. Kalaulah sesebuah negara ditadbir berasaskan mencari populariti dan meraih undi sudah lama Malaysia menjadi kucar-kacir dan tidak mencapai apa-apa kemajuan. Oleh itu rakyat tidak perlulah terpengaruh dengan dakyah-dakyah serta 'politik sapi' pembangkang ini, sebaliknya teruslah memberikan keyakinan kepada kerajaan BN di bawah kepimpinan Najib untuk menguruskan negara.
Biarlah pembangkang terus dengan mainan politik mereka sehinggakan fakta sejarah pun mahu diubah.

Apa yang lebih penting sekarang ialah memastikan usaha transformasi politik, ekonomi dan sosial yang dirancang oleh Perdana Menteri mencapai matlamat. Rakyat perlu diberikan pemahaman mengenai usaha kerajaan itu dan tidak terikut-ikut dengan rentak pembangkang yang mahu terus berpolitik dalam apa juga perkara hatta soal keselamatan negara sekali pun.
Lagi pun, percayalah selagi Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak berakhir, selagi itulah pembangkang akan terus dengan sikap hipokrit, sombong, bongkak dan tunjuk pandai mereka.


Sumbetr: Utusan Malaysia Online 19 Sep 2011
Oleh ZULKIFLEE BAKARpengarang@utusan.com.my

Monday, December 7, 2009

Hanya kestabilan politik berterusan mampu bangunkan Sabah, kata Tawfiq

KOTA KINABALU: Hanya dengan adanya kestabilan iklim politik yang berterusan seperti yang dinikmati pada hari ini mampu untuk membawa Sabah berada pada landasan yang tepat untuk mambangunkan rakyat dan negeri ini.

Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata, ini jelas terbukti apabila Kerajaan Negeri yang kerap bertukar pada masa lalu, sebelum Barisan Nasional (BN) mengambil alih pada tahun 1994 sehingga hari ini menyebabkan Sabah ketinggalan dalam arus pembangunan.

“Jika kerajaan negeri kerap bertukar, ianya akan menyebabkan Sabah akan terus ketinggalan dan tergelincir pada masa akan datang kerana tidak adanya kestabilan politik,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Tawfiq berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) Edward Dagul kelmarin yang mendakwa ketidakseimbangan yang diamalkan Kuala Lumpur membuatkan Sabah menjadi negeri termiskin di negara ini.

Edward berkata, Sabah mempunyai jumlah penduduk miskin paling ramai iaitu seorang dalam setiap empat individu yang tergolong dalam kategori ini disebabkan ketidakseimbangan pembangunan.

Beliau turut mendakwa bahawa Kuala Lumpur juga tidak memberi layanan saksama kepada Sabah, tidak mengendahkan keperluan asas rakyat seperti perkhidmatan penjagaan kesihatan, bekalan elektrik, bekalan air bersih dan banyak lagi.

Menurut, Tawfiq ketidakstabilan politik dan pertukaran kerajaan negeri yang kerap berlaku di Sabah sebelum BN mengambil alih kerajaan negeri pada 1994 menyebabkan Sabah ketinggalan jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

“Ini berbeza dengan negeri jiran Sarawak yang sehingga hari ini ditadbir oleh satu sahaja kerajaan sahaja, jika kerap bertukar kerajaan program yang dilaksanakan kerajaan sebelumnya akan terbantut dan apabila kerajaan baru mengambil alih, dasar dan pelaksanaan pembangunan juga berubah,” katanya.

Selain itu, katanya, sistem penggiliran jawatan Ketua Menteri untuk tempoh dua tahun yang diperkenalkan pada tahun 1994 sehingga 2003 juga tidak memberi kebaikan kepada kemajuan dan pembangunan negeri ini.

“Ini kerana setiap kali ketua menteri bertukar, dasarnya juga berubah dan ini menyebabkan banyak program dan pelaksanaan pembangunan terbantut dan hanya apabila Datuk Seri Musa Haji Aman mengambil alih kepimpinan kerajaan negeri pada 2003 ianya menampakkan kestabilan politik.

Berikutan itu, katanya peratusan kadar kemiskinan di negeri ini juga menunjukkan pengurangan yang ketara dan begitu prestasi kewangan negeri yang amat meyakinkan dan kukuh pada masa ini.

Menurutnya, dengan adanya kestabilan politik ia menimbulkan keyakinan kepada para pelabur dari dalam dan luar negara untuk melabur di negeri ini.

Beliau juga Ketua Umno Bahagian Tawau berkata, apa yang dilalui oleh negeri ini pada masa lalu, seharusnya dijadikan iktibar apabila kerap berlaku pertukaran kerajaan negeri meyebabkan iklim politik tidak stabil dan dasar serta perancangan pembangunan yang dirancang oleh kerajaan sebelumnya tidak ada kesenimbungan.

Menurutnya, parti pembangkang hanya bijak bercakap dengan membuat pelbagai dakwaan dan tuduhan yang tidak berasas untuk kepentingan politik mereka, seperti soal kemiskinan kerana memang mudah untuk bercakap.

“Soal kemiskinan di negeri ini, tidak seharusnya menunding jari terus kepada Kerajaan Persekutuan, ia berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya faktor geografi dan keluasan negeri ini yang begitu luas berbanding dengan negeri lain di Semenanjung,” katanya.

Selain itu, masalah keadaan penempatan penduduk yang bertaburan di merata tempat dan terpencil yang tidak tertumpu kepada satu-satu tempat, bagimanapun kerajaan telah berusaha sedaya upaya untuk memberikan pelbagai kemudahan kepada rakyat di negeri terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan terpencil.


Sumber: New Sabah Times, 6th December, 2009

Monday, November 9, 2009

PAS tidak berupaya jadi parti alternatif

KUALA LUMPUR: PAS tidak akan berupaya menjadi parti alternatif sekiranya tidak dapat menerima perlembagaan negara yang mengiktiraf masyarakat bukan Islam, kata pemerhati politik Prof Dr Abdul Aziz Bari.

“Ini satu perlembagaan yang kita kenal, kalau kita tak mahu akui maka kita tak boleh jadi parti alternatif, jadi jangan lompat (melenting dan mempersoalkan) bagaimana dengan Islam? Kena tumpu juga kepada bukan Islam dan fokus bagaimana nak menangi hati mereka,” katanya.

Pensyarah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu berkata demikian semasa membentangkan pandangan beliau pada seminar politik PAS di sini.

Beliau dan Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dari Universiti Malaya adalah dua pemerhati politik yang diundang PAS bagi memberi pandangan alternatif dalam usaha parti itu memperkasakan parti.

Abdul Aziz juga menyelar sikap PAS yang gemar menyalahkan Umno setiap kali berlaku sesuatu yang negatif terhadap parti itu.

PAS sebaliknya harus melihat ke dalam parti dan mencari jalan untuk membetulkan apa juga masalah yang timbul.

“PAS harus menjadi sebuah parti yang terbuka dan menjadi tumpuan rakyat adalah lumrah, jadi jangan lagi bermain cara lama, ada benda sikit salahkan Umno, ini tidak harus dilayan, kita harus fokus apa yang ada dalam parti,” kata Abdul Aziz.

Dr Abu Hassan pula berkata, PAS bermungkinan berdepan dengan masalah besar pada pilihan raya umum akan datang memandangkan kajian menunjukkan golongan muda mempunyai tanggapan negatif terhadap keupayaan kepimpinan parti sekarang.

Katanya kajian yang dijalankan beliau bagi menjangka keputusan pilihan raya umum ke-13 itu juga menunjukkan golongan muda tidak kenal dengan pemimpin-pemimpin PAS.

“Menurut survey (kaji selidik) itu yang mereka kenal cuma Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (bekas menteri besar Perak), Mohamad Sabu dan Datuk Seri Azizan Abdul Razak (Menteri Besar Kedah),” katanya.

Abu Hassan berkata kajian berkenaan turut meneliti laman-laman blog berunsur politik dan mendapati blog-blog yang sebelum ini menyokong PAS telah kembali menjadi “atas pagar”.

“Kajian menunjukkan blog-blog sedemikian meningkat 213 peratus,” katanya.


Sumber: New Sabah Times, 8th November, 2009.