Wednesday, October 5, 2011

Lebih 300 GSTT di Sabah diserap ke jawatan tetap secara berperingkat

Kota Kinabalu: Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, lebih 300 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di Sabah yang belum dapat diserapkan menjadi guru terlatih akan mendapat tempat secara berperingkat-peringkat.

"Guru guru GSTT ini akan diambil secara berperingkat-peringkat kerana ia melibatkan jawatan yang diluluskan oleh JPA dan memang dalam proses pengambilan.

"Tahun ini kita tidak akan menawarkan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) kerana memberi laluan kepada guru-guru GSTT berkenaan." Katanya.

Puad berkata pihaknya telah pun berbincang dengan pihak JPA beberapa kali mengenai perkara itu.

Beliau berkata, pengambilan GSTT memberi kesan kepada guru-guru dari IPTA yang sedang menunggu tempat untuk penempatan mengajar yang akan graduasi pada bulan November ini dan guru-guru dari IPG seluruh negara.

"Justeru, kita akan mengambil secara berperingkat-peringkat dan ia juga bergantung dengan perbincangan kita dengan JPA.

"Mereka ini setelah diterima masuk nanti akan mengikuti Program Latihan Perguruan di IPG seluruh negeri untuk menjadi guru yang terlatih." katanya.

Mengenai penempatan mengajar guru-guru yang berasal dari Sabah, Puad berkata, mereka akan diutamakan untuk mengajar di negeri Sabah.

"Bagaimana pun penempatan guru-guru yang berasal dari Sabah adalah ditentukan oleh JPN negeri Sabah.

"Kita juga menggunakan kuota dengan mengutamakan guru-guru dari Sabah akan mengajar di Sabah.

"Itu adalah keutamaan yang akan diberikan perhatian, contonhnya di SK. Buaian kesemua gurunya adalah berasal dari Sabah".

Tambahnya lagi, mengenai bajet 2012 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri pada jumaat ini juga, akan banyak menumpukan kepada negeri Sabah dan Sarawak terutamanya dalam soal pendidikan kerana dengan adanya pendidikan yang kondusif anak-anak dari Sabah dan Sarawak mampu untuk bersaing dengan pelajar yang lain.



Sumber: New Sabah Times Online 5th October 2011

No comments: