Sunday, August 23, 2009

Usah biar kontrak sosial jadi polemik berpanjangan

PERDEBATAN mengenai kontrak sosial kembali panas sejak kebelakangan ini apabila pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mempersoalkan kedudukan raja-raja Melayu, agama Islam serta hak keistimewaan kaum bumiputra.

Mereka yang beragenda peribadi ini dan juga seluruh rakyat bagaimanapun seharusnya akur dengan teguran-teguran yang dibuat oleh Raja-Raja Melayu.

Kontrak sosial merujuk kepada perjanjian oleh pemimpin-pemimpin yang berjuang mencapai kemerdekaan negara yang secara umumnya melibatkan pemberian taraf warganegara kepada bukan Melayu dan pemberian keistimewaan kepada bumiputera melalui Perkara 153.

Ia diwujudkan untuk memelihara hak-hak keistimewaan kaum bumiputra dengan tidak meminggirkan lain-lain bangsa adalah ramuan penting kepada perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia.

Penulis percaya gelagat sesetengah pihak yang mempertikaikan kontrak sosial adalah berpunca dari sikap tidak menghargai kemakmuran negara yang sebahagian besarnya dikecapi hasil kewujudan kontrak sosial itu sendiri. Kecenderungan mempertikai kontrak sosial juga adalah kerana faktor mahu meraih sokongan politik yang berpaksikan kepentingan peribadi.

Telah berdekad lamanya rakyat Malaysia dari satu generasi ke satu generasi hidup bersama tanpa timbul masalah yang besar. Janganlah kita menggadai keamanan ini hanya kerana perasaan iri hati dan ketidakpuasan yang tidak dikongsi oleh majoriti rakyat.

Jangan kita lupa bahawa iklim kemakmuran dan keamanan Malaysia yang selama ini dikecapi hanyalah mainan mimpi bagi sesetengah rakyat negara asing. Justeru itu, pihak-pihak yang ada agenda peribadi diharap dapat bertindak secara matang daripada terus cuba 'bermain api'. Jangan biarkan dasar 'keterbukaan' kerajaan digunakan untuk tujuan negatif.

Kerajaan perlu bertindak segera agar generasi muda berbilang kaum memahami apakah itu kontrak sosial.

Pemahaman yang menyeluruh dan tepat perlu supaya generasi muda benar-benar memahami dan menerima kontrak sosial sebagai sumber kerukunan masyarakat majmuk serta tidak berlaku salah tanggapan bahawa kontrak sosial adalah sesuatu yang bersifat berat sebelah.

Tanggapan negatif terhadap kontrak sosial adalah sesuatu yang sangat berbahaya kepada perpaduan rakyat. Jangan biarkan ia dijadikan bahan berpolitik pihak-pihak yang dianggap petualang dan menjadi polemik berpanjangan.

Sudah sampai masanya kerajaan mengadakan program menjelajah ke seluruh negara untuk mengingatkan rakyat bahawa Perlembagaan negara digubal berasaskan kesepakatan semua kaum di negara ini.

Ia merupakan satu kontrak sosial rakyat berbilang kaum yang tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

Tidak ada kompromi atau toleransi terhadap apa-apa sahaja usaha untuk mempertikaikan kandungan perlembagaan negara. Rakyat perlu jelas bahawa kontrak sosial adalah mekanisme yang membolehkan suasana keamanan dan kemakmuran negara kita terus terpelihara.

Kerajaan tidak harus berlembut dengan pihak-pihak yang semakin berani mempertikaikan peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tindakan tegas perlu diambil agar menjadi pengajaran kepada pihak yang ingin menguji 'keterbukaan' kerajaan. Jika tidak ada tindakan, dibimbangi ia memberikan petanda bahawa kerajaan boleh berkompromi terdapat isu sensitif dan boleh menggugat keharmonian dan kemakmuran Malaysia ini.

Pihak yang berminat untuk mempertikaikan kontrak sosial wajar merenung dan menginsafi bahawa kejayaan yang dicapai sehingga kini adalah berpunca daripada suasana aman dan makmur yang wujud di Malaysia. Jangan sesekali mempertaruhkan sesuatu yang terlalu bernilai kerana ia boleh merosakkan generasi akan datang.

Saranan Perdana Menteri agar kontrak sosial dipertahan dan dipatuhi amat wajar diterima dengan hati terbuka dan penuh keinsafan memandangkan ia adalah merupakan ramuan utama bagi menjayakan gagasan Satu Malaysia.


Sumber: Utusan Malaysia Online, 24 Ogos 2009

Monday, August 10, 2009

Ujian getir menanti UMNO di Permatang Pasir

PRESTASI cemerlang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Manek Urai, Kelantan akan diuji sekali lagi di Permatang Pasir, Pulau Pinang.

Barisan Nasional secara tradisinya akan meletakkan wakil UMNO manakala di pihak Pakatan Rakyat calon Pas akan bertanding di kerusi ini meskipun PKR juga mahu "mencuba nasib" di sini atas alasan kehendak akar umbi mereka.

Ironinya, majoriti penduduk di kedua-dua lokasi ini adalah datang dari kaum Melayu dan apa yang membezakan statistik pola pengundi disini kali ini ialah pertambahan angka pengundi-pengundi kaum lain yang meningkat kepada 25 peratus di Permatang Pasir.

Permatang Pasir adalah salah sebuah kawasan ADUN yang terletak di bawah Parlimen Permatang Pauh yang merupakan kubu kuat PKR yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dengan peningkatan momentum kebangkitan BN pada kali ini di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, pakatan pembangkang kini tidak boleh mengambil mudah pertandingan yang dijangka sengit pada kali ini.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh yang telah diwarisi oleh Anwar sejak 1982 hinggalah hari ini tidak pernah menghasilkan cabaran yang mudah bagi UMNO. Pada pilihan raya umum yang lalu, ADUN Pas iaitu Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman telah memenangi kerusinya dengan majoriti undi sebanyak 5,433 undi daripada 16,575 pengundi.

Allahyarham Hamdan yang telah memenangi kerusi itu sejak pilihan raya umum tahun 1999 menerima sokongan kuat daripada undi orang Melayu yang membentuk angka sebanyak 72.93 peratus daripada 20,350 pengundi berdaftar di kawasan tersebut.

Walaupun pada Pilihan Raya Umum ke-11 tahun 2004 yang telah menyaksikan kebangkitan UMNO pada ketika itu di samping kemerosotan Pas yang hilang banyak kerusi di kawasan Semenanjung sejak tahun 1999, Hamdan masih lagi berupaya mengekalkan kerusinya dengan majoriti sebanyak 679 undi.

Bagi penganalisis politik, kemenangan pihak UMNO pada pilihan raya kecil kali ini adalah agak mustahil tetapi jika ia mampu dicapai, kemenangan ini boleh menjadi turning point bagi UMNO dalam merangka strateginya dalam usaha menawan kembali hati rakyat untuk menyokong mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Signifikan kemenangan UMNO pada kali ini adalah amat penting baginya secara khusus kerana ia memperlihatkan kembali sokongan orang Melayu kepada UMNO dan secara amnya kepada parti-parti komponen lain yang boleh mengambil "pendekatan bijak" UMNO dalam berkempen untuk memenangi hati rakyat.

Prestasi cemerlang UMNO di Manek Urai yang telah berjaya mengecilkan majoriti undi Pas yang hanya tinggal sebanyak 65 undi secara langsung banyak membuka mata dan telinga banyak pihak dan keadaan ini pasti menggusarkan pakatan pembangkang terutamanya Pas yang akan bertanding kali ini.

UMNO pasca kemenangan di Manek Urai semakin bersemangat untuk menang di Permatang Pasir kali ini susulan daripada beberapa isu dan peristiwa kontroversi yang melanda Pakatan Rakyat. Jika di Manek Urai, isu kerajaan perpaduan yang telah memperlihatkan kelemahan gabungan pakatan rakyat telah dimainkan dalam kempen UMNO dan BN tetapi ia disambut pula dengan isu royalti minyak Kelantan yang telah digunakan sebagai tindak balas kepada gelombang kebangkitan BN.

Namun begitu, pakatan rakyat kali ini sudah tentu gelisah dengan perkembangan mutakhir senario politik semasa. Kes liwat Ketua Umum PKR di Mahkamah, isu kelemahan pentadbiran kerajaan Menteri Besar Selangor, isu siasatan exco yang disyaki menerima rasuah juga di Selangor, kematian Teoh Beng Hock, perhimpunan haram Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), isu penjualan arak secara terbuka di Selangor dan yang terbaru isu Jeff Oii yang melabel kumpulan JIM sebagai ekstremis yang menyokong keganasan adalah merupakan rentetan kepada kelemahan dan "ribut" yang sedang melanda kerajaan pakatan pembangkang.

Perkembangan mutakhir inilah yang boleh memberikan kelebihan kepada BN dan UMNO secara khususnya untuk meneruskan strategi menawan kembali hati rakyat terhadap perjuangannya. Kempen pilihan raya secara berhati-hati yang telah dilakukan di Manek Urai perlu dikekalkan UMNO dalam usahanya untuk merampas kembali kawasan Permatang Pasir sekali gus akan meningkatkan momentum BN kelak.

Namun begitu, kemenangan yang dimimpikan BN di Permatang Pasir adalah dijangka bukan mudah. Ini adalah kerana kebanyakan orang Melayu di kawasan Parlimen Permatang Pauh yang mempunyai tiga kawasan DUN di bawahnya iaitu Penanti, Permatang Pasir dan Seberang Jaya masih sinonim dengan Anwar Ibrahim manakala swing vote penduduk Cina dan India pada pilihan raya umum yang lalu kepada Pakatan Rakyat masih menghantui BN.

Krisis perpecahan dalaman UMNO Permatang Pauh juga sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada persiapan UMNO dan BN dalam menghadapi pilihan raya yang akan datang ini.

Sungguhpun kemenangan BN dan UMNO pada kali ini kelihatan agak sukar, tetapi jika ia dapat direalisasikan ia secara langsung akan menghentikan momentum kejayaan pakatan pembangkang seperti yang telah ditunjukkan dalam enam kali pilihan raya kecil yang telah dilangsungkan selepas pilihan raya umum yang lalu.

Jika menang ia juga merupakan suntikan moral bagi UMNO yang kini hanya berstatus pembangkang di negeri Pulau Pinang yang mana ia menyaksikan wakil rakyat dari DAP yang mempunyai majoriti terbesar dalam DUN di Pulau Pinang.

Sesungguhnya, Permatang Pasir merupakan medan ujian kredibiliti kerajaan pakatan pembangkang terutamanya di tiga negeri di bawah pentadbirannya. Isu meroboh kandang babi di Kedah, isu Kampung Buah Pala di Pulau Pinang dan krisis kelemahan pentadbiran kerajaan negeri di Selangor dan isu-isu lain adalah rentetan isu yang boleh dihakimi oleh rakyat terhadap kredibiliti pakatan pembangkang.

UMNO dan BN seharusnya perlu berusaha dengan bijak untuk keluar sebagai pemenang dalam pertandingan ini dan sewajarnya patut meletakkan kejayaan ini sebagai kembalinya sokongan rakyat dan menandakan kebangkitan semula UMNO dan BN sebagai parti unggul memperjuangkan nasib dan hak rakyat.


Oleh: ACHMAD DZARIEAN MOHD NADZRI
Penulis ialah Tutor, Bahagian Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.

Monday, July 27, 2009

SAYA PEMIMPIN UNTUK SEMUA KAUM, KATA MUSA

SANDAKAN: Tiada kaum yang akan terpinggir dalam menikmati arus pembangunan sebaliknya seiring dengan aspirasi kearah 1Malaysia,” kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman.

Menteri Kewangan Negeri itu berkata dalam konteks 1Malaysia, setiap kaum dan bangsa terus mendapat pembelaan sama sejajar dengan dasar kerajaan yang diterajui oleh kerajaan Barisan Nasional (BN),yang akan membangunkan rakyat termasuk di pendalaman dan luar bandar.

“Selaku Ketua Menteri saya adalah pemimpin untuk semua kaum dan aspirasi 1Malaysia mengajak kita untuk terus bersatu padu dan bertoleransi demi perpaduan kaum yang harmoni ini,” katanya

Beliau berkata demikian pada majlis Tagajoh Gayog sempena Perhimpunan Persatuan Bangsa Sungai (Sabas), di Dewan Sri Libaran di sini kelmarin.

Ketua Menteri itu berkata majlis perhimpunan Sabas telah menjadi wadah bagi memupuk nilai-nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan etnik di negeri ini.

Katanya dengan semangat perpaduan dan kerjasama yang kukuh akan mampu membawa suku kaum ini melangka ke hadapan untuk membawa rakyat ke arah kemajuan pembangunan yang lebih baik.

Musa juga menyentuh soal ekonomi masyarakat ini yang mana beliau (Musa), mahu melihat kaum ini merebut peluang untuk maju dalam pelbagai bidang peniagaan dan seboleh-bolehnya mengelakkan terlibat dalam projek ‘ali baba’.

Sehubungan itu, beliau berharap agar masyarakat orang Sungai di negeri akan terus berusaha dan membangun menjadi bangsa yang berdaya maju, bersaing dan berkualiti serta berinovasi sekaligus menyumbang secara langsung kepada kemakmuran ekonomi negeri.

Terdahulu Ketua Menteri itu diberi penghormatan menerima gelaran ‘Tagajoh Gayoh’ sebagai sumbangan dan jasa beliau kepada negeri.

Hadir sama, Presiden Sabas, Datuk Zakaria Haji Edris serta para barisan Ahli Jawatankuasa Sabas dan lebih 2,500 ahli Sabas dari seluruh negeri Sabah.

Katanya, Kerajaan negeri Sabah melaksanakan pembangunan secara keseluruhan bagi memastikan semua rakyat tanpa mengira kaum mendapat manfaatnya.

Musa berkat, Koridor Pembangunan Sabah (SDC) adalah contoh komitmen kerajaan untuk membawa pembangunan kepada segenap lapisan masyarakat di setiap pelusuk negeri ini.

“Menerusi SDC, kerajaan negeri berpeluang membawa pembangunan di semua daerah, kerana ia adalah pelan yang holistik (keseluruhan).

“Dengan adanya pembangunan sama rata, tiada rakyat atau kawasan di Sabah yang akan terpinggir,” katanya lagi.

Beliau berkata pelaksanaan pembangunan secara keseluruhan di negeri ini bersesuaian dengan konsep 1Malay- sia yang menjadi agenda penting Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata rakyat di pantai timur, pantai barat dan pedalaman di negeri ini akan memperoleh manfaat daripada pelaksanaan beberapa projek di bawah SDC.

Sehubungan itu, Musa berkata pembangunan secara keseluruhan akan terus menjadi keutamaan kepada kerajaan negeri dalam melaksanakan apa juga projek pembangunan di negeri ini.

Sumber, New Sabah Times, 26th July, 2009

Thursday, July 23, 2009

Kepimpinan Najib diyakini belia berpendidikan tinggi

KUALA LUMPUR 23 Julai – Golongan belia di negara ini yakin kepimpinan, keupayaan dan prestasi Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dalam tempoh 100 hari, menurut hasil tinjauan Yayasan Kerjasama Malaysia. Tinjauan itu juga mendapati 64 peratus golongan belia berpendidikan tinggi di negara ini menyatakan sokongan padu mereka terhadap kewibawaan Najib.

Malah, gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri serta konsep 1Belia yang dicanang oleh Kementerian Belia dan Sukan masing-masing mencatatkan sokongan majoriti responden dengan masing-masing 76 peratus dan 74 peratus.

Fellow Utama yayasan itu, Prof. Datuk Dr. Sulaiman Md. Yassin berkata, hasil rumusan tinjauan menunjukkan golongan belia berpendidikan tinggi menaruh kepercayaan terhadap Najib sebagai pemimpin yang boleh diharapkan rakyat dan bukannya pemimpin retorik semata-mata. “Golongan ini percaya Perdana Menteri telah berjaya menangani isu-isu nasional dengan baik meliputi hubungan antara kaum, ekonomi, hubungan antarabangsa serta politik dalaman negara.

“Kira-kira 60 peratus daripada mereka juga beranggapan masa depan politik di negara ini adalah stabil di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Beliau yang juga Fellow Penyelidik Utama Sains Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, golongan belia berpendidikan tinggi di negara ini menampakkan kematangan apabila menilai Najib daripada sudut ketelusan dan prestasi.

Sumber: Utusan Malaysia online, 24 Julai 2009

Keputusan mansuh PPSMI muktamad, kata Muhyiddin

PUTRAJAYA: Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diputuskan Kabinet minggu lepas adalah muktamad, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin. Katanya walaupun ada gesaan supaya dasar itu dikekalkan di peringkat sekolah menengah, namun pendirian kerajaan adalah konsisten dengan tidak mengekalkan status quonya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata yang penting sekarang, adalah mencari kaedah memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid. Ini termasuk memanggil pakar-pakar bahasa Inggeris dalam masa terdekat untuk memberi input membentuk kurikulumnya yang baru. “Setiap keputusan (Kabinet) mestilah konsisten, mungkin ada rasionalnya (sesuatu pandangan atau gesaan) kerana ia berdasarkan pengalaman. Dan saya tidak kata ia (cadangan itu) tidak bagus tetapi dalam konteks ini, kita mestilah konsisten selepas membuat sesuatu keputusan yang cukup besar (memansuhkan PPSMI),” katanya, selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008 Kementerian Pelajaran di sini.

Kabinet pada 8 Julai lalu memutuskan bahawa mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012. Serentak itu, diumumkan juga strategi untuk memartabatkan bahasa Malaysia (MBM) serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris (MBI) di semua peringkat persekolahan. Semasa mengumumkan keputusan itu minggu lepas, Muhyiddin berkata pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dua mata pelajaran itu dalam Bahasa Malaysia akan diadakan secara bertahap di Tahun Satu dan Tahun Empat di sekolah rendah dan Tingkatan Satu dan Tingkat Empat di sekolah menengah yang bermula 2012.

Bagaimanapun, katanya, perubahan itu tidak melibatkan Tingkatan Enam dan matrikulasi.
Beliau berkata untuk memastikan pelaksanaan strategi baru itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi-bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014. PPSMI diperkenalkan pada 2003 dan kumpulan pertama murid-murid yang mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sejak Tahun Satu ialah mereka yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas.

Sumber: New Sabah Times,17th July, 2009

Monday, July 13, 2009

Manek Urai jadi kota agropolitan

KUALA KRAI 12 Julai – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Manek Urai akan dijadikan sebuah kota agropolitan untuk melonjakkan pembangunan dan menjana ekonomi rakyat yang masih memerlukan banyak pembelaan. Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, seiring dengan perancangan memajukan pertanian secara komersial itu, prasarana untuk keselesaan rakyat akan disegerakan oleh Barisan Nasional (BN) termasuk membina jambatan baru menghubungkan Manek Urai Lama dan Baru. Menurut beliau, jambatan baru dua lorong yang dijangka membabitkan kos RM7 juta itu akan segera dibina jika BN diberi kepercayaan dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Selasa ini.
“BN berjanji hari ini dengan disaksikan oleh semua bahawa menang sahaja BN, kita akan terus memulakan kerja-kerja pembinaan baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Lama di sini hari ini. Jambatan satu lorong sepanjang kira-kira 200 meter itu yang dibina pada akhir 80-an merupakan satu-satunya penghubung antara kedua-dua Manek Urai itu dan menjadi nadi utama kepada lebih 3,000 penduduk Manek Urai Lama.
Ia sebahagian daripada janji dalam kempen pilihan raya - Rakyat Didahulukan, Manek Urai diutamakan, malah Muhyiddin sebelum ini menegaskan Manek Urai akan diberi perhatian sebagai anak emas Kerajaan Pusat.

Terdahulu semasa merasmikan Hari Guru peringkat negeri di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru di sini, Muhyiddin berkata, Manek Urai akan muncul sebagai kawasan pembangunan baru di Kelantan jika BN diberi peluang memenangi pilihan raya kecil itu. Tawaran kerajaan BN itu dijangka mampu mengubah bukan saja pembangunan di kawasan itu malah ekonomi dan sosial penduduk yang majoritinya bekerja sebagai penoreh getah. Tambah Muhyiddin, kota agropolitan bertujuan untuk memaksimumkan sektor pertanian di Manek Urai yang jauh ketinggalan berbanding kawasan lain. “Kalau BN menang kita akan jadikan Manek Urai anak emas, memang benar antaranya kota agropolitan kerana kawasan ini mewah dengan hasil pertanian, semuanya ada...durian, rambutan dan manggis baik-baik belaka. “Tetapi sayangnya tiada usaha tersusun dan sistematik bagi menguruskannya, kita mahu pastikan sektor pertanian adalah perniagaan,” katanya.

Tegas Muhyiddin, pembangunan tidak akan turun dari langit hanya sekadar berdoa tanpa berusaha gigih untuk melaksanakannya. Katanya, isu pembangunan langsung tidak menyalahi Islam kerana ajaran agama sendiri menuntut supaya umat Islam di samping mengejar kepentingan akhirat tetapi pada masa sama tidak boleh melupakan kebajikan dunia. “Nik Aziz seorang pemimpin yang cakap tidak serupa bikin, dia kata membangun bersama Islam tetapi hakikatnya dia langsung tidak membangunkan negeri hampir 20 tahun memerintah. “Doa sahaja Allah tidak akan menjadikan masjid atau jambatan. Sepanjang masa ini BN membina 564 buah masjid, tidak termasuk jalan raya atau bangunan lain. Sekarang saya nak tanya, siapa yang membangun bersama Islam, Pas atau BN?,” katanya

Sumber: Utusan Malaysia Online, 13 Julai 2009

Kurangkan beban rakyat

KUALA LUMPUR 12 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan sedang mengkaji mengurangkan perbelanjaan yang terpaksa dibayar oleh rakyat untuk pengangkutan termasuk mengenakan kadar tol yang tidak membebankan. Menurut Perdana Menteri, langkah itu adalah selaras dengan pengumumannya semalam untuk memberikan diskaun 20 peratus kadar tol kepada pengguna SmartTag dan Touch ‘n Go yang menggunakannya 80 kali sebulan mulai 1 September ini. ‘‘Jika kita lihat perbelanjaan individu di kawasan bandar walaupun dengan pendapatan RM3,000 sebulan, kalau terpaksa bayar tol ulang-alik pergi kerja sebulan sebanyak RM300, ertinya setahun sudah hampir sebulan gaji dan ini tidak cukup untuk belanja hidup.
‘‘Sebab itu (diskaun 20 peratus) semalam hanya penyelesaian interim (sementara) dan kita sedang mengkaji keseluruhan sistem tol bagi mengurangkan perbelanjaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif sempena 100 hari pentadbiran Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung melalui saluran TV1 di sini malam ini. Temu bual selama sejam bermula pukul 8.30 malam itu dikendalikan oleh pengacara RTM, Syed Munawar Syed Mustar.

Selain mengurangkan perbelanjaan rakyat, Perdana Menteri berkata, beliau akan memberikan tumpuan bagi meningkatkan gaji bulanan penduduk negara ini yang disifatkan masih rendah. ‘‘Pada umumnya gaji bulanan rakyat tidak begitu tinggi, sepatutnya dinaikkan lagi khususnya di kalangan masyarakat luar bandar supaya mereka tidak terpinggir. ‘‘Sebab itu, saya telah meletakkan sasaran untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai bidang pekerjaan yang mampu menjana pendapatan tinggi,” katanya.

Mengenai pengumuman semalam yang dianggap sesetengah pihak bagi meraih populariti, Najib menjelaskan, ia adalah tidak benar kerana jika itu tujuannya sudah pasti beliau melakukan tindakan tersebut sejurus selepas dilantik sebagai Perdana Menteri. ‘‘Kalau kita lihat selepas mengambil alih jawatan tumpuan saya ialah untuk mengubah dasar negara termasuk ekonomi dan kemudiannya memperkenalkan gaya pentadbiran berasaskan 1Malaysia dan selepas 100 hari baru mengumumkan hadiah-hadiah untuk rakyat,’’ ujarnya.

Mengenai ulasan beberapa pihak yang mempertikaikan pengeluaran 3,000 permit teksi individu, katanya, ia dilakukan setelah maklum balas yang diterimanya menunjukkan pemandu terbabit terbeban kerana terpaksa membayar kadar sewa RM50 sehari. ‘‘Bagi saya adalah tidak adil apabila pemandu teksi ini juga terpaksa membayar minyak kenderaan manakala pemegang permit hanya duduk sahaja di rumah,’’ katanya.


Sumber: Oleh NIZAM YATIMpengarang@utusan.com.my