Wednesday, April 7, 2010

MURUT SETUJU KALIMARAN DI LUAR PEDALAMAN


SKOP perayaan Pesta Kalimaran di masa-masa akan datang yang dicadangkan diadakan di luar kawasan pedalaman terutamanya di bandar-bandar besar merupakan satu lagi anjakan paradigma dalam konteks merakyatkan senibudaya Murut mendapat 'lampu hijau' pemimpin Persatuan Murut itu sendiri. “Sudah sampai masanya Pesta Kalimaran menjelajah ke kawasan bandar untuk memberi peluang kepada warga kota mengikuti dan mendalami senibudaya kesukuan Murut,” kata Datuk Taimin Lumaing, Timbalan Presiden Persatuan Murut Sabah(PMS) ketika memberitahu Sabahkini.net.

Menurut Taimin, Presiden PMS Datuk Rubin Balang pada dasarnya sudah bersetuju semasa berucap Majlis Rumah Terbuka Kalimaran di sini yang diadakan pada Ahad (April 4,) berhubung cadangan kerajaan itu.Bagaimanapun kata Taimin, Presiden PMS itu dijangka akan memuktamadkan cadangan itu selepas beliau mengadakan perbincangan dengan para Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PMS dalam masa terdekat ini.

Datuk Taimin berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan yang disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun ketika merasmikan Pesta Kalimaran kali ke-8 baru-baru ini agar Pesta Kalimaran di masa akan datang diadakan di luar kawasan pedalaman seperti di Kota kinabalu atau sebaliknya.

Dalam pada itu, Masidi antara lain dipetik sebagai berkata bahawa, sekiranya ia diadakan di luar kawasan pedalaman khususnya di Kota Kinabalu, mungkin Pesta Kalimaran mendapat sambutan yang lebih memberangsangkan, selain memberi peluang kepada warga kota untuk turut serta meraikan pesta yang agak berprestij itu. Selain itu tegas Masidi, antara lain matlamat itu adalah memberi peluang kepada warga kota mengikuti serta mendalami konsep senibudaya kepelbagaian etnik dalam kesukuan Murut.

Sementara itu, Taimin ketika ditanya bahawa kemungkinan Pusat Kebudayaan Murut di sini yang telah menjadi pusat perayaan pesta itu setiap tahun sebelum ini akan menjadi malap sekaligus menjejas eko-pelancongan beliau berkata; “Sudah tentu pihak kerajaan khususnya Kementerian berkaitan telah ada mekanisma yang siap dirancang untuk mengganti Pesta Kalimaran ketika tidak berada disini sebagai pengisian acara.” Sungguhpun begitu tegas Taimin, ia banyak bergantung kepada kemampuan kerajaan untuk menambah peruntukkan khusus untuk pembiayaan kos peralatan, logistik dan lain lain keperluan kepada setiap petugas senibudaya untuk menjayakan Pesta Kalimaran apabila ia berada di luar kawasan seperti di bandar-bandar.

Sumber: Sabahkini( MAIL MATHEW) Wednesday, 07 April 2010 21:17