Wednesday, December 23, 2009

Sambutan Krismas 1Malaysia di Sabah semarakkan semangat kesetiakawanan

KOTA KINABALU: Sambutan Krismas peringkat kebangsaan yang akan diadakan di sini ahad ini bakal menyemarakkan semangat kesetiakawanan dan memberi suasana keriangan kepada masyarakat di Sabah, negeri yang diakui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai contoh konsep 1Malaysia.

Sejajar dengan sentuhan ajaib konsep 1Malaysia itu, penganjur memutuskan untuk mengadakan sambutan itu di tapak bersejarah iaitu Padang Merdeka, lokasi kelahiran Malaysia.

Program anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan itu akan mengetengahkan, antara lain, persembahan koir dan kebudayaan oleh pelbagai kumpulan etnik di negara ini, khususnya dari Sabah, yang digelar sebagai ‘Negeri di Bawah Bayu’, selain program hiburan.

Menurut program sementara, Yang Dipertua Negeri Tun Ahmadshah Abdullah dijadual menyerikan sambutan Krismas itu yang bermula pada 3 petang, manakala Najib dijangka menjadi tetamu kehormat.

“Secara peribadi, saya berasa bangga kerana Sabah dipilih sebagai venue sambutan Krismas peringkat kebangsaan tahun ini.

“Saya harap program yang disusun untuk sambutan ini benar-benar menggambarkan semangat 1Malaysia,” kata Naib Presiden Gabungan Persatuan- persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk Patrick Sindu kepada Bernama di sini kelmarin.

Beliau berharap masyarakat Malaysia di Sabah, tanpa mengira darjat, fahaman atau agama, akan memenuhi Padang Merdeka sebagai lambang perpaduan.

“Saya percaya semua rakyat Malaysia cintakan keamanan dan menghargai semangat kesetiakawanan yang telah diamalkan dalam kalangan penduduk di negara ini sejak zaman berzaman,” katanya.

Sindu mencadangkan agar majlis pelancaran sambutan itu disiarkan secara langsung menerusi TV supaya segenap lapisan masyarakat di negara ini dapat turut sama menyaksikannya.

Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata masyarakat perlu berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana mengakui bahawa Sabah dan Sarawak adalah contoh terbaik 1Malaysia.

“Oleh itu, dalam konteks Sabah, sungguhpun negeri ini mempunyai 30 kumpulan etnik dan sub-etnik, namun semangat kesetiakawanan dan perpaduan dalam kalangan penduduknya masih utuh.

“Ini suatu hakikat yang menarik apabila dibandingkan dengan Semenanjung yang mempunyai tiga kumpulan etnik utama—Melayu, Cina dan India—serta sejumlah kecil kaum minoriti,” katanya.

Salleh berkata prinsip yang mendasari 1Malaysia telah pun lama diamalkan di Sabah, sama ada dalam bidang sosio-ekonomi atau sosio-politik.

Dalam hubungan ini, katanya, penganjuran sambutan Krismas di Sabah membuktikan bahawa kerajaan persekutuan komited dalam menjaga kepentingan semua kaum.

Sumber: New Sabah Times, 23rd December, 2009

Tuesday, December 22, 2009

Lebih 120,000 ahli Umno Sabah belum daftar sebagai pengundi

BATU SAPI: Naib Presiden Umno, Datuk Mohd Shafie Apdal berkata kira-kira 129,952 ahli Umno di Sabah masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Katanya, kegagalan mereka sebagai pengundi sudah pasti merugikan kepada parti apabila pilihan raya diadakan nanti.

Dalam hubungan ini katanya, pendaftaran bagi penambahan ahli Umno dan sebagai pemilih (pengundi baru) yang buat pertama kali dilancarkan di kawasan Batu Sapi merupakan aktiviti yang perlu dipertingkatkan dan diperluas di seluruh bahagian-bahagian Umno di negara ini.

“Keadah seumpama ini secara tidak langsung boleh menarik golongan belia untuk menjadi ahli parti,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Beliau berkata demikian pada majlis Pelancaran Pendaftaran Ahli Baru Umno dan Pengundi Baru serta Karnival Sukan Sempena Kempen ‘Pemuda Benci Dadah’ peringkat kawasan Batu Sapi anjuran Pergerakan Pemuda Umno Batu Sapi di Kompleks Sukan Sibuga pagi kelmarin.

Beliau amat gembira apabila dalam jangka tiga jam saja terdapat seramai 500 orang belia telah mendaftar untuk menjadi ahli Umno dan pengundi baru di kawasan tersebut.

Katanya dari jumlah 3.4 juta ahli Umno di seluruh Malay- sia, 691,000 ahli belum mendaftar sebagai pemilih melibatkan pergerakan Pemuda,Wanita dan Puteri Umno.

Menurutu Shafie, dari jumlah 3.4 juta juta ahli Umno yang telah didaftarkan sejumlah 661,000 terlibat dengan pemutihan bagi mengesan sama ada mereka ini masih hidup atau berpindah ke lain parti.

Turut hadir pada majlis tersebut Ahli Dewan Undangan Negeri Sekong merangkap Ketua Bahagian Umno Batu Sapi, Datuk Haji Samsudin Hj Yahya dan Ketua Wanita Umno Batu Sapi, Puan Jamayah.

Sumber: New Sabah Times, 21st December, 2009

Kerajaan tidak tarik subsidi gula

BERA: Kerajaan tidak akan menarik sepenuhnya subsidi gula dalam masa terdekat bagi mengelak bebanan ditanggung rakyat, kata Menteri Perdagangan Da- lam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata tanpa subsidi, gula yang dijual pada harga RM1.45 sekilogram pada masa ini akan meningkat kepada sekitar RM2.50 hingga RM2.60 sekilogram mengikut harga pasaran dunia.

“Buat masa sekarang, kerajaan tidak akan atau belum bercadang untuk menarik balik subsidi gula di mana 70 peratus gula dibeli dengan harga lama, manakala 30 peratus lagi harga semasa,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah pelajar cemerlang UPSR dan bantuan persekolahan Parlimen Bera di sini, kelmarin.

Kerajaan katanya terpaksa membelanja lebih RM1 bilion setahun bagi mengimport gula termasuk dari Thailand, Australia dan Brazil bagi menampung keperluan gula tempatan.

Katanya kilang gula di Perlis pula tidak mampu menampung permintaan pengguna yang terlalu banyak.

Ismail Sabri berkata rakyat seharusnya mengawal pengambilan gula bagi mengelak pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis.

Katanya mengikut bancian Kementerian Kesihatan, dianggarkan 1.2 juta rakyat di negara ini akan menghidap penyakit diabetes menjelang tahun 2011 dan ia dijangka meningkat kepada 2.6 juta orang menjelang tahun 2030, jika penggunaan gula tidak dikurangkan mulai sekarang.

Sumber: New Sabah Times, 21st December, 2009

KPLB akan siasat kualiti PPRT: Ewon

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan membuat siasatan terperinci mengenai dakwaan beberapa pihak terhadap kualiti pembinaan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang mengecewakan.

Menterinya, Datuk Ewon Ebin, berkata beliau sedar akan kebimbangan itu malah ianya pernah disuarakan di Dewan Undangan Negeri.

“Kebimbangan mengenai kualiti PPRT telah disuarakan di Dewan Undangan Negeri oleh Wakil Rakyat Sekong, Datuk Shamsudin Yahya dan saya sudahpun mengarahkan para pegawai untuk menjalankan siasatan lanjut. Bagaimanapun, setakat ini saya masih belum menerima sebarang laporan penuh berkenaan aduan berkenaan.

“Pihak kami akan turun padang Januari depan bagi memantau kesahihan aduan pengadu,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam temubual eksklusif berhubung keluhan seorang ibu tunggal dari Kampung Batu 62, Halogelat, Beaufort yang pernah dipaparkan dalam kolum ActionLine pada 1 Disember berhubung kerisauan beliau terhadap tahap keselamatan rumah yang dikatakan tidak ‘berkasut’.

Menurut pengadu, rumah PPRT berkenaan menggunakan bahan binaan yang tidak tahan lama dan pembinaan rumah juga seolah-olah tidak mengikut piawaian yang sepatutnya sehingga menyebabkan beliau meminta pihak yang berkenaan membantunya.

Apabila ditanya mengenai hal berkenaan, beliau berkata akan meminta pengesahan daripada pihak yang berkenaan bagi tindakan lanjut.

Katanya, selaku menteri yang bertanggungjawab, beliau sentiasa memohon kepada Pejabat Daerah untuk melaksanakan tugas sebaiknya.

“Namun untuk aduan ini saya belum dapat memberi sebarang pengesahan sebelum siasatan lanjut dilaksanakan.

“Kos pembinaan sebuah unit rumah PPRT telah ditetapkan dan mengikut spesifikasi tertentu.

“Sebenarnya peruntukan bagi sebuah rumah PPRT ialah sebanyak RM40 ribu dan spesifikasi yang ditetapkan ialah 20×30 kaki persegi. Bagi kawasan bandar, PPRT diperbuat daripada konkrit dan mempunyai 3 bilik manakala bagi kawasan pedalaman diperbuat daripada papan lapis dan hanya mempunyai dua bilik sahaja,” jelasnya.

Selain daripada aduan berhubung kualiti rumah, terdapat beberapa pihak turut mendakwa terdapat pemohon yang tidak layak mendapat rumah PPRT.

Ketika diajukan soalan itu, beliau menjelaskan bahawa pihaknya sememangnya pernah menerima aduan sedemikian dan mereka masih menjalankan siasatan.

Beliau juga menekankan bahawa PPRT sememangnya menumpukan kepada penduduk miskin tegar.

“PPRT sememangnya memfokus kepada penduduk miskin tegar yang berdaftar di bawah e-Kasih dan menurut rekod masih terdapat 16 ribu orang miskin tegar di sabah yang berpendapatan di bawah RM540 sebulan. Untuk makluman umum, terdapat 3 kategori miskin yang disenaraikan iaitu mudah miskin (RM1500 ke bawah), miskin (RM900 ke bawah) dan miskin tegar (RM540 ke bawah).

“Walau bagaimanapun kerajaan sebenarnya sedang melaksanakan program-program bagi membantu golongan miskin keluar dari belenggu kemiskinan. Antaranya projek Agropolitan, Mini Estate Sejahtera dan Mikro Estate Sejahtera,” katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga program itu bertujuan membangunkan kawasan tanah untuk menempatkan pemohon yang tersenarai dalam e-kasih.

Mengakhiri perbualan dengan wartawan New Sabah Times beliau menyarankan supaya rakyat mengubah sikap dan berusaha memajukan diri di samping bantuan kerajaan y ang diberi.

“Kerajaan serius dalam usaha mengeluarkan golongan miskin tegar dari belenggu kemiskinan memandangkan Negeri Sabah kaya dengan sumber-sumber asli.

“Jadi saya harap, disamping bantuan kerajaan yang diberikan, kami juga berharap agar sikap individu berubah dan menghargai bantuan kerajaan yang disalurkan serta bersikap proaktif,” katanya

Sumber: New Sabah Times, 22nd December, 2009.

Monday, December 7, 2009

Hanya kestabilan politik berterusan mampu bangunkan Sabah, kata Tawfiq

KOTA KINABALU: Hanya dengan adanya kestabilan iklim politik yang berterusan seperti yang dinikmati pada hari ini mampu untuk membawa Sabah berada pada landasan yang tepat untuk mambangunkan rakyat dan negeri ini.

Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata, ini jelas terbukti apabila Kerajaan Negeri yang kerap bertukar pada masa lalu, sebelum Barisan Nasional (BN) mengambil alih pada tahun 1994 sehingga hari ini menyebabkan Sabah ketinggalan dalam arus pembangunan.

“Jika kerajaan negeri kerap bertukar, ianya akan menyebabkan Sabah akan terus ketinggalan dan tergelincir pada masa akan datang kerana tidak adanya kestabilan politik,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Tawfiq berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) Edward Dagul kelmarin yang mendakwa ketidakseimbangan yang diamalkan Kuala Lumpur membuatkan Sabah menjadi negeri termiskin di negara ini.

Edward berkata, Sabah mempunyai jumlah penduduk miskin paling ramai iaitu seorang dalam setiap empat individu yang tergolong dalam kategori ini disebabkan ketidakseimbangan pembangunan.

Beliau turut mendakwa bahawa Kuala Lumpur juga tidak memberi layanan saksama kepada Sabah, tidak mengendahkan keperluan asas rakyat seperti perkhidmatan penjagaan kesihatan, bekalan elektrik, bekalan air bersih dan banyak lagi.

Menurut, Tawfiq ketidakstabilan politik dan pertukaran kerajaan negeri yang kerap berlaku di Sabah sebelum BN mengambil alih kerajaan negeri pada 1994 menyebabkan Sabah ketinggalan jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

“Ini berbeza dengan negeri jiran Sarawak yang sehingga hari ini ditadbir oleh satu sahaja kerajaan sahaja, jika kerap bertukar kerajaan program yang dilaksanakan kerajaan sebelumnya akan terbantut dan apabila kerajaan baru mengambil alih, dasar dan pelaksanaan pembangunan juga berubah,” katanya.

Selain itu, katanya, sistem penggiliran jawatan Ketua Menteri untuk tempoh dua tahun yang diperkenalkan pada tahun 1994 sehingga 2003 juga tidak memberi kebaikan kepada kemajuan dan pembangunan negeri ini.

“Ini kerana setiap kali ketua menteri bertukar, dasarnya juga berubah dan ini menyebabkan banyak program dan pelaksanaan pembangunan terbantut dan hanya apabila Datuk Seri Musa Haji Aman mengambil alih kepimpinan kerajaan negeri pada 2003 ianya menampakkan kestabilan politik.

Berikutan itu, katanya peratusan kadar kemiskinan di negeri ini juga menunjukkan pengurangan yang ketara dan begitu prestasi kewangan negeri yang amat meyakinkan dan kukuh pada masa ini.

Menurutnya, dengan adanya kestabilan politik ia menimbulkan keyakinan kepada para pelabur dari dalam dan luar negara untuk melabur di negeri ini.

Beliau juga Ketua Umno Bahagian Tawau berkata, apa yang dilalui oleh negeri ini pada masa lalu, seharusnya dijadikan iktibar apabila kerap berlaku pertukaran kerajaan negeri meyebabkan iklim politik tidak stabil dan dasar serta perancangan pembangunan yang dirancang oleh kerajaan sebelumnya tidak ada kesenimbungan.

Menurutnya, parti pembangkang hanya bijak bercakap dengan membuat pelbagai dakwaan dan tuduhan yang tidak berasas untuk kepentingan politik mereka, seperti soal kemiskinan kerana memang mudah untuk bercakap.

“Soal kemiskinan di negeri ini, tidak seharusnya menunding jari terus kepada Kerajaan Persekutuan, ia berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya faktor geografi dan keluasan negeri ini yang begitu luas berbanding dengan negeri lain di Semenanjung,” katanya.

Selain itu, masalah keadaan penempatan penduduk yang bertaburan di merata tempat dan terpencil yang tidak tertumpu kepada satu-satu tempat, bagimanapun kerajaan telah berusaha sedaya upaya untuk memberikan pelbagai kemudahan kepada rakyat di negeri terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan terpencil.


Sumber: New Sabah Times, 6th December, 2009