Tuesday, April 28, 2009

Sistem kereta api mampu jana ekonomi luar bandar

TENOM: Satu rangkaian landasan kereta api yang boleh menghubungkan semua daerah utama khususnya dari utara hingga timur Sabah perlu diwujudkan, sejajar penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Darat Nasional yang ingin melihat pemodenan dalam sistem pengangkutan awam darat di negara ini. Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata kerajaan wajar meneliti dengan lebih terperinci perkara itu menerusi Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) kerana sistem pengangkutan kereta api berupaya berfungsi sebagai tulang belakang pengangkutan yang penting. "Sabah wajar memiliki kemudahan sedemikian, terutama dari Utara di Kudat hingga ke Pantai Timur negeri ini. "Kementerian melihat kewajaran sistem pengangkutan kereta api di Sabah ditambah di tempat lain kerana ia adalah pelaburan masa depan bagi pembangunan," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Stesen Kereta Api Tanjung Aru, Beaufort dan Tenom, semalam.
.
Terdahulu, Abdul Rahim dan rombongan menaiki kereta api dari Stesen Keretapi Beaufort ke Tenom sejauh tiga jam perjalanan bagi meninjau projek menaik taraf landasan membabitkan laluan Beaufort-Tenom. Beliau turut mendengar taklimat daripada Pengurus Besar Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS), Mohd Arshad Abd Razak, di stesen Tanjung Aru. Abdul Rahim berkata, landasan kereta api di kawasan utama di Sabah mampu menjadi asas ke arah mewujudkan rangkaian seluruh kepulauan Borneo membabitkan Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan. "Ini bukan mustahil, malah boleh menjadi kenyataan jika dimulakan sekarang. "Kebanyakan negara maju seperti Eropah, China dan India menggunakan kereta api sebagai tunjang sistem pengangkutan," katanya.

Katanya, wujud keperluan mendesak bagi meningkatkan sistem kereta api di Sabah kerana selain memberi perkhidmatan kepada masyarakat luar bandar, ia juga berupaya merancakkan ekonomi terutama sektor pelancongan. Mengenai perkembangan projek menaik taraf landasan di Sabah membabitkan laluan Tanjung Aru ke Tenom, beliau berkata, penggunaan dana bagi projek itu mencapai 90 peratus. Sehubungan itu, beliau meminta pihak yang melaksanakan projek berkenaan segera menyiapkannya. "Projek itu diserahkan kepada dua syarikat kontraktor sejak 2005 namun belum juga siap kerana beberapa masalah. Lawatan ini turut bertujuan meninjau punca kelewatan projek dan saya mendengar pelbagai alasan seperti utiliti membabitkan tiang elektrik, laluan telefon dan air. "Ia juga mungkin berpunca daripada isu peruntukan, maka saya harap ia boleh diselesaikan segera," katanya.
>
Sumber: Suzianah Jiffar suzianah@bharian.com.my