Tuesday, March 31, 2009

Laman web untuk rakyat pantau projek kerajaan

Papar maklumat, perbelanjaan terperinci pakej rangsangan KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melancarkan laman web khas yang membolehkan rakyat dan pihak berwajib memantau perkembangan serta perjalanan projek disenaraikan dalam pakej rangsangan ekonomi pertama dan kedua mulai minggu depan. Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Kong Cho Ha, berkata laman web berkenaan boleh diakses oleh orang ramai menerusi www.rangsanganekonomi.treasury.gov.my. "Laman web berkenaan sudah disiapkan dan hanya menunggu masa untuk dilancarkan minggu depan. Menerusi laman web ini kerajaan akan memaparkan maklumat perbelanjaan terperinci projek pakej rangsangan pertama dan kedua untuk tatapan rakyat.

"Ia turut memaparkan status dan tahap perbelanjaan setiap projek yang sudah diluluskan. Selain itu, ia turut memuatkan jumlah peruntukan, jumlah projek dilaksanakan serta tahap kemajuannya. "Laman web ini akan membolehkan orang ramai dan pihak berkepentingan melayari dan mengetahui perkembangan terkini status dan tahap perbelanjaan projek yang disenaraikan secara terperinci dan telus," katanya di Dewan Negara di sini, semalam. Beliau menjawab soalan Senator Khoo Soo Seang yang ingin tahu bagaimana kerajaan memastikan rakyat dapat melihat usaha merangsang ekonomi negara, khususnya menerusi pakej rangsangan yang diperkenalkan kerajaan baru-baru ini.

Sementara itu, Kong berkata, sehingga kini RM6.5 bilion daripada RM7 bilion yang disenaraikan menerusi pakej rangsangan ekonomi pertama sudah diagihkan kepada kementerian dan agensi berkaitan. "Daripada jumlah itu, 14,255 projek berjumlah RM1.584 bilion sedang dilaksanakan termasuk 6,621 projek di bawah Program Penyenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) oleh Unit Penyelarasan," katanya.


Sumber: Mohamed Farid Nohmfarid@bharian.com.my

Wednesday, March 18, 2009

Banjir di Tenom semakin pulih


TENOM: Banjir di daerah ini yang melanda 38 kampung dan membabitkan seramai 1,665 mangsa yang dipindahkan di 15 pusat pemindahan kini hampir pulih sehingga petang kelmarin (Selasa). Pegawai Daerah Tenom Haji Faimin Kamin berkata, mangsa-mangsa banjir juga sedang proses penghantaran balik ke rumah masing-masing setelah kawasan rumah mereka diisytiharkan selamat oleh pihak keselamatan. Bagaimanapun katanya, bagi keluarga yang rumah mereka masih ditenggelami air hanya akan dibenarkan balik apabila pihak keselamatan mengisytiharkan rumah mereka dalam keadaan selamat.

Faimin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Daerah berkata demikian selepas memberi taklimat kepada Ahli Parlimen Tenom Raime Unggi tentang perkembangan banjir di daerah ini dibilik gerakan pejabat daerah di sini kelmarin. Taklimat yang sekali gus dengan mes-yuarat tergempar itu turut dihadiri oleh ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan serta badan NGO di daerah ini.

Pada mesyuarat tergempar itu Ahli Parlimen Tenom menyalurkan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada Jawatankuasa Bencana Alam Daerah untuk diagih-agihkan kepada mangsa. Pegawai Dearah itu berkata, semua jalan utama di daerah ini boleh dilalui kecuali jalan Enubai-Tenom yang runtuh akibat hakisan selepas banjir.

Menurut pihak Jabatan Kerja Raya Daerah, jalan yang runtuh itu dijangka tidak boleh dilalui oleh sebarang kenderaan dalam tempoh lima hari semasa kerja-kerja pembaikan dijalankan. Bagaimanapun jalan alternatif akan diusahakan bagi memudahkan penduduk keluar ke Pekan Tenom dan menjalankan aktiviti harian mereka. Menurut Faimin banjir pada kali ini adalah yang terburuk berbanding beberapa kejadian banjir sebelum ini. Beberapa orang mangsa banjir yang ditemui berkata, banjir pada kali ini adalah paling besar dan memusnahkan banyak harta benda.

Sarah Udrus 80, mangsa banjir di Kg. Tenom Lama berkata, selama hidupnya banjir sebesar kali ini tidak pernah berlaku. Katanya, rumah mereka ditenggalami air melebihi paras lantai menyebabkan semua barang-barang termasuk buku dan peralatan persekolahan cucu-cucunya tidak dapat diselamatkan. “Mujurlah kami dapat diselamatkan oleh anggota Bomba dan Polis yang memindahkani di pusat pemindahan” kata Sarah yang masih trauma ketika ditemui di pusat pemindahan Dewan Seri Antenom di sini pada Selasa. Seorang lagi mangsa Nursiah Muhamad 78, memberitahu, banjir pada kali ini adalah yang buruk kerana ia melimpah dengan begitu dalam dan memusnahkan banyak harta benda, “Semua barang-barang dalam rumah kami tidak dapat diselamatkan kerana air naik dengan cepat,” katanya.

Tinjuan New Sabah Times mendapati masih tersdapat beberapa jalan kampung yang masih belum boleh dilalui sehingga petang kelmarin. Antaranya, jalan Kg. Binsilon dan beberapa batang jalan kampung yang terletak di kawasan rendah masih ditenggalami air.
>
>
Sumber: New Sabah Times, 18th March, 2009

SPA tawar 46,000 jawatan kosong


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhid-matan Awam (SPA) menawarkan sebanyak 46,000 kekosongan jawatan dalam per-khidmatan awam untuk diisi termasuk kepada mereka yang hilang pekerjaan akibat kegawatan ekonomi, jika layak. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Men-teri Senator T. Murugiah berkata kekosongan adalah dalam bidang Perubatan dan Kesihatan, Separa Perubatan, Kejuruteraan dan Kemahiran, Tadbir dan Diplomatik, Pentadbiran dan Soko-ngan, Kewangan, Sains, Sistem Maklumat, Penyelidikan dan Pembangunan, Keselamatan dan Pertahanan Awam, Penyiasatan dan Perundangan, Bakat Seni, Penguatkuasaan Maritim, Sosial, Pengangkutan, Ekonomi, Pertanian dan Pendidikan. Beliau berkata jawatan yang ditawarkan ialah jururawat, Pegawai Pembangunan Masyarakat, Penguasa Imigresen, Pegawai Penguatkuasa, Jurutera, Arkitek, Juruterbang/Pemeriksa Juru-terbang, Pegawai Veterinar, Pegawai Tadbir dan Diplomatik, Pegawai Pertanian dan 267 skim jawatan yang lain.

“Saya menyeru mereka yang mempunyai kelayakan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Diploma dan Ijazah supaya memohon jawatan kosong itu. “Saya juga menyeru kaum Cina dan India untuk membuat permohonan sejajar dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan bilangan kaum Cina dan India dalam perkhidmatan awam,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini kelmarin.

Beliau turut menggalakkan kaum India untuk menyertai sektor perkhidmatan awam memandangkan terdapat kuota sebanyak 7.4 peratus untuk kaum itu daripada jumlah keseluruhan kekosongan jawatan dalam perkhidmatan awam. Murugiah berkata gaji yang ditawarkan untuk Kumpulan Pengurusan dan Profe-sional yang berkelayakan ijazah dan ke atas adalah antara RM2,538.89 hingga RM3,550.84. “Bagi Kumpulan Sokongan yang berkelayakan PMR/SPM/STPM/Diploma adalah antara RM1,419.91 hingga RM2,396.61,” katanya.

Beliau berkata SPA juga akan mempercepatkan proses permohonan jawatan pada tahun ini kepada dua bulan berbanding empat bulan pada masa-masa lalu. “Sekarang ambil masa empat bulan, selepas memohon akan dipanggil temuduga kemudian diberi latihan tetapi kali ini mungkin kita akan pendekkan ke dua bulan,” katanya. SPA sedang membuat pengiklanan melalui media massa dan permohonan untuk jawatan-jawatan tersebut perlu dibuat secara dalam talian di portal SPA iaitu www.spa.gov.my pada bila-bila masa.
>
>
Sumber: New Sabah Times, 18th March, 2009

Thursday, March 12, 2009

Keindahan Salinatan memukau


NABAWAN 12 Mac - Keindahan dan kebersihan persekitaran serta kedinginan bayu pagi menjanjikan ketenangan jiwa kepada sesiapa sahaja yang berkunjung ke sebuah perkampungan terpencil yang terletak kira-kira 196 kilometer dari sini. Dikelilingi kehijauan alam semula jadi dengan bukit-bukau yang tersusun indah, ia menjanjikan kedamaian yang sukar diperoleh di mana-mana tempat di negeri ini. Kemesraan dan keramahan penduduk kampung itu menerima kedatangan tetamu membuatkan pengunjung berat hati meninggalkan kampung berkenaan yang dikenali sebagai Kampung Salinatan.

Terletak di Mukim Pensiangan, kampung yang mendapat nama dari sebatang anak sungai, Sungai Salinatan mempunyai keistimewaannya tersendiri. Dari sebuah kawasan yang dahulunya diselubungi hutan rimba, kini ia berubah dan mula mengukir nama setelah dipilih sebagai sebuah perkampungan di bawah program Gerakan Daya Wawasan (GDW), Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah. Tidak ada siapa menduga perkampungan yang satu ketika dahulu gelap-gelita pada waktu malam dan hanya disinari lampu minyak, kini sudah menjadi terang benderang dengan sinaran lampu elektrik yang dibekalkan melalui mesin jana kuasa. Pepatah ada mengatakan 'tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu,' mungkin sesuai untuk menggambarkan perubahan yang berlaku kepada kampung ini.

Daripada sebuah kampung yang daif dan mundur, tetapi berkat usaha, kerjasama dan muafakat penduduknya ia muncul sebagai salah satu kampung yang membangun di daerah Nabawan. Ketua Kampung Salinatan, Asok Entikul berkata, kampung tersebut mula mengorak langkah ke arah kejayaan apabila ia dipilih sebagai perintis Program Pembangunan Masyarakat Setempat (PPMS) pada tahun 1995. Kampung yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nabawan kini dihuni oleh 400 penduduk dari 84 keluarga membabitkan sebanyak 36 buah rumah.

Dari segi anutan agama, penduduk kampung itu majoritinya beragama Kristian dan selebihnya beragama Islam. ''Peningkatan taraf hidup penduduk kampung ini jelas kelihatan ekoran daripada kejayaan dan penglibatan penduduknya dalam pelbagai bidang seperti perniagaan, pendidikan dan sebagainya,'' katanya Beliau menambah, seperti kampung-kampung lain, Kampung Salinatan juga tidak sepi dari arus pembangunan di mana terdapat pelbagai kemudahan asas seperti bekalan air paip graviti, rumah penginapan, sekolah, padang bola sepak, kolam ikan rekreasi, pondok rekreasi, bilik gerakan, generator, tandas curah dan sebagainya. Selain kemudahan-kemudahan tersebut terdapat sebuah pusat peranginan mini yang diusahakan bersama oleh warga Sekolah Kebangsaan (SK) Salinatan dan penduduk kampung.''Pusat peranginan mini itu mempunyai taman sekolah, empat buah rumah tradisi dikenali langkau dan empat pondok atau tauf yang disewa untuk kemudahan pengunjung ke kampung berkenaan,'' katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Salinatan, Using Buliang berkata, dari segi sumber ekonomi, penduduk kampung masih bergantung kepada kegiatan pertanian secara kecil-kecilan, ternakan haiwan, ternakan ikan air tawar, tangkapan ikan sungai dan binatang buruan. Penduduk kampung itu juga masih mengusahakan tanaman padi bukit yang diusahakan sekali setahun di samping tanaman kopi, getah dan buah-buahan. Selain itu, kraf tangan anyaman, pembuatan perahu dan memproses papan, beruti, tiang belian menggunakan mesin gergaji turut menjadi pendapatan dan sumber ekonomi penduduk kampung ini.

Beliau menambah, jalan perhubungan utama di kampung itu adalah menggunakan bot dengan kos antara RM200 hingga RM300. Selain sungai, kampung itu juga boleh dihubungkan menerusi jalan darat menggunakan laluan lori balak yang hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda dengan kos RM350. Perjalanan dari Kampung Salinatan ke pekan Nabawan memakan masa empat hingga enam jam sama ada ikut jalan sungai atau jalan darat.

Kampung Salinatan kini ditadbir oleh Jawatankuasa GDW dan didukung oleh empat JKKK serta tiga ketua kampung iaitu Ambaril Antutun 58, Tampis Tuoh 60, dan Ampikul Kailoh 59. Guru Besar Sekolah Kebangsaan Salinatan, Bukah Buliang berkata, program GDW telah menjadi perangsang kepada penduduk kampung untuk terus berusaha menjadikan kampung ini sebuah perkampungan yang maju, menarik dan menguntungkan menerusi kecemerlangan diri, keluarga dan masyarakat. ''Untuk menjaga kebersihan dan keceriaan persekitaran kampung, gotong-royong membersih kawasan diadakan sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan,'' katanya.

Beliau menambah, kejayaan Kampung Salinatan merangkul juara Pertandingan Desa Cemerlang (PDC) peringkat daerah Nabawan 2004 dan menduduki tangga keenam PDC peringkat Negeri Sabah 2004 turut mendorong semangat penduduk kampung itu untuk terus melangkah ke hadapan bagi mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.
>
>
Sumber: SAPURAH LIYUNANutusansabah@utusan.com.my

Tuesday, March 10, 2009

Empat negeri warta penggunaan Allah ikut garis panduan



KUALA LUMPUR: Empat negeri yang belum mewartakan larangan penggunaan perkataan “Allah, Baitullah, solat dan Kaabah dalam sebarang bentuk penerbitan bukan Islam akan melaksanakannya dalam waktu terdekat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau berkata pewartaan itu akan dibuat mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Raja-raja Melayu berikutan negeri-negeri berkenaan iaitu Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak tidak mempunyai raja.
Pewartaan itu akan dibuat kemudian. Ia di bawah (Yang di-Pertuan) Agong dan ini akan dilakukan dalam waktu terdekat kerana negeri-negeri ini tidak beraja katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan Mau-lidur Rasul 1430 Hijrah/2009 Masehi di sini kelmarin. Sebelum ini, Penasihat Agama Perdana Menteri Datuk Dr Abdullah Md Zin dilaporkan berkata bahawa majlis agama Islam negeri boleh mengambil tindakan terhadap pihak yang menggunakan perkataan Allah, Baitullah, solat dan Kaabah dalam sebarang bentuk penerbitan bukan Islam.

Beliau berkata ia diputuskan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini dan sudah diwartakan di 10 negeri kecuali Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Isu penggunaan perkataan Allah timbul selepas akhbar mingguan Herald Catholic bertindak menggunakan perkataan itu dalam edisi terbitan bahasa Malaysianya. Ahmad Zahid pula semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Diraja di Dewan Rakyat Khamis lepas berkata walaupun kes perbicaraan permohonan kerajaan dan tujuh Majlis Agama Islam dan Persatuan Saudara Baru Islam (MACMA) untuk merujuk kes itu ke Mahkamah Persekutuan kerana membabitkan Perlem-bagaan Persekutuan, 10 negeri sudah me-wartakan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan itu.

Beliau dipetik sebagai berkata ia juga membabitkan kuasa Raja dan Sultan sebagai Ketua Agama Islam dan ia turut diserahkan kepada Majlis Raja-raja untuk diputuskan. Ahmad Zahid juga dipetik sebagai berkata keputusan 10 negeri itu tertakluk di bawah Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam yang dibuat di bawah Perkara 11(4), Perlembagaan Persekutuan.

Sumber: New Sabah Times

Thursday, March 5, 2009

LIGS turut bantu tingkat taraf hidup penduduk luar bandar


SANDAKAN: Meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar yang tidak memiliki tanah adalah antara pendekatan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), untuk membangunkan industri getah secara bersepadu di negeri ini. Pengerusi LIGS, Datuk Zakaria Haji Edris untuk merealisasikan hasrat ini LIGS sudah pun menubuhkan Skim Pekebun Getah (SPG) yang bertujuan untuk menguruskan sektor pekebun kecil yang efisien dan tujuan utamanya membasmi kemiskinan tegar di Sabah.

Beliau berkata SPG juga bertujuan meningkatkan pengeluaran secara komersial dan mempelbagaikan industri hiliran yang mampu bersaing di peringkat global, sekaligus mempergiatkan proses pemindahan teknologi baru kepada para pekebun. Antara skim penempatan getah iaitu SPG yang terdapat di Sabah dan diselenggara oleh LIGS, Lagud Sebrang, Tenom, Kuala Tomani, Tenom, Tulid, Keningau, Tuaran dan Men-dulong, Sepitang.
Bercakap kepada New Sabah Times di sini kelmarin, pengerusi LIGS, Datuk Zakaria Haji Edris berkata SPG menggalakkan golongan masyarakat luar bandar menyertai program di bawah skim ini.

Katanya melalui program yang dimulakan sejak tahun 1980 sehingga sekarang kini telah berjaya mengeluarkan penduduk miskin tegar di bawah garis kemiskinan. Zakaria yang juga Ahli Dewan Unda-ngan Negeri kawasan Gum-Gum telah mengadakan lawatan kerja ke dua kawasan skim penempatan getah di Tenom iaitu Lagud Sebrang dan Kuala Tomani. Yang menggembirakan kata pengerusi LIGS itu, kini rata-rata masyarakat yang menyertai program berkenaan bukan saja berjaya keluar dari garis pendapatan ke-miskinan tetapi berjaya membangunkan keluarga menerusi pelbagai kemudahan yang dinikmati hasil pembangunan yang disediakan oleh kerajaan itu. Sebagai contoh, projek di Kuala Tomani adalah satu daripada dua SPG di daerah Tenom yang membangun dengan keluasaan 4,500 ekar dan disertai seramai 151 peneroka dan 64 penoreh yang menetap di skim berkenaan.

Rekod pengeluaran bahan mentah ini bagi SPG Kuala Tomani dari 1986 hingga 2008, berjumlah 24,964 tan yang lokasinya hanya jarak 45 kilometer dari pekan Tenom. Begitu juga di Lagud Sebrang yang hanya 10 kilometer dari pekan Tenom yang disertai seramai 131 peneroka dan 67 penoreh yang menetap di dalam kawasan SPG telah berjaya membangunkan mas-yarakatnya di sekitarnya. Kebanyakan peserta bagi kedua-dua kawasan ini datangnya dari Papar, Beaufort dan majoriti penduduk Tenom yang tersenarai sebagai peserta skim penempatan getah di Sabah.

Bagi Lagud Sebrang yang mempunyai keluasan 4,000 ekar juga kini berjaya membangunkan masyarakatnya keluar dari kepompong kemiskinan tegar dengan purata pendapatan peneroka tidak kurang RM2,590.00 pada sekarang. Taklimat ringkas kepada pengerusi LIGS itu, yang disampaikan oleh Pengurus Besar LIGS Jinting Haji Kalam dan dihadiri oleh Timbalan Pengerusi LIGS, Datuk A.K Aliuddin Datuk Pg Tahir jelas terbukti program membasmi kemiskinan di luar bandar berjaya bukan saja menjadi peneroka tetapi juga membabitkan diri dalam akitviti ekonomi lain seperti menanam padi dan peniaga kedai runcit.

Kemudahan lain itu, kemudahan seperti aktiviti kebudayaan, rekreasi dan sukan, kemudahan beribadat dan pusat infodesa serta kemudahan berkaitan istiadat kaum turut disediakan kepada pesertanya. Selepas membuat tinjauan ke dua kawasan SPG di Tenom itu, Zakaria berbangga dengan prestasi peserta yang begitu komitmen dan menyahut seruan kerajaan untuk berjaya dalam hidup dan keluarga terutama mengutamakan pendidikan generasi pelapis di masa akan datang.

Pencapaian membanggakan kata Zakaria, anak-anak peneroka kini dapat menikmati kemudahan yang lebih sempurna apabila ramai di kalangan anak-anak peneroka ini telah berjaya di menara gading (universiti),serta mendapat pendidikan yang lebih baik. Dengan adanya program bersepadu ini, secara tidak langsung membolehkan kerajaan merancang pelbagai program untuk rakyat terutama untuk membangunkan golongan berpendapatan rendah, sekaligus usaha membasmi kemiskinan di Sabah tercapai.

Sumber: New Sabah TimesNew Sabah Times

Wednesday, March 4, 2009

Pengundian Batang Ai serentak dua pilihan raya

KUCHING: Hari pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai, Sarawak ditetapkan pada 7 April ini, manakala penamaan calon 29 Mac, serentak dengan pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau, Kedah dan Parlimen Bukit Gantang, Perak. Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata SPR memutuskan untuk mengadakan tiga pilihan raya kecil itu serentak kerana tidak mahu tempoh berkempen terlalu lama. "Kalau kita buat selepas pilihan raya kecil di dua bukit (Bukit Selambau dan Bukit Gantang), bermakna kita kena tambah sembilan hari lagi, jadi 18 hari tempoh berkempen. "Kalau panjang sangat tempoh berkempen, mungkin akan timbul suasana tegang, masalah berkaitan ketenteraman awam dan keselamatan. Jadi kita rasa elok kita buat serentak supaya dapat jimatkan masa semua yang terbabit dalam kempen berkenaan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, tarikh ditetapkan juga amat sesuai dengan keadaan cuaca di kawasan berkenaan yang ketika itu belum menghadapi musim kering. "Pada musim kering, air sungai akan surut dan sukar untuk perahu melaluinya, sedangkan banyak kawasan di situ bergantung kepada pengangkutan sungai," katanya. Selain itu, katanya, tarikh berkenaan membolehkan SPR memberi notis cukup untuk semua pihak membuat persediaan.

Beliau berkata, SPR memperuntukkan RM400,000 untuk pilihan raya kecil Batang Ai yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dublin Unting Ingkot daripada Barisan Nasional (BN) pada 24 Februari lalu. Pilihan raya kecil itu menggunakan Daftar Pemilih Induk 2008 yang diwartakan pada 19 Februari lalu dan dikemas kini sehingga tarikh kekosongan kerusi berkenaan pada 24 Februari lalu, yang mengandungi 8,006 pengundi, iaitu 7,963 pemilih biasa dan 43 pemilih pos. Kawasan DUN Batang Ai mempunyai 25 tempat mengundi dan pusat penamaan calon serta penjumlahan undi akan diadakan di Kompleks Sukan Lubok Antu. Abdul Aziz berkata, SPR menyediakan 25 kenderaan pacuan empat roda, 18 perahu serta 201 petugas bagi mengendalikan pilihan raya kecil itu.

Beliau turut mengumumkan penubuhan pasukan penguat kuasa yang bertanggungjawab memantau pemasangan bahan kempen dan aktiviti kempen sepanjang tempoh berkempen. Pasukan yang diketuai seorang pegawai penguat kuasa itu dianggotai polis, wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil calon yang bertanding. SPR juga membenarkan Malaysia For Free and Fair Election (Mafrel) menjadi pemerhati dan badan itu diminta berhubung dengan Urus Setia SPR di ibu pejabat SPR atau Pengarah Pilihan Raya Negeri, untuk urusan pelantikan dan syarat ditetapkan. Pada sidang media itu, Abdul Aziz menyerahkan surat pelantikan kepada Pegawai Daerah Lubok Antu, Nelson Mujah Girie, sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Batang Ai. Tiga Penolong Pegawai Pengurus pula ialah Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Lubok Antu, Raduan Alem serta dua Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Lubok Antu, Ignatius Ayai Dom dan Edwin Mat. SPR juga mengumumkan buku dan cakera padat (CD) daftar pemilih bagi pilihan raya kecil itu akan mula dijual Isnin ini (tanpa maklumat saluran) dan mulai 16 Mac (dengan maklumat saluran). Pengundi Batang Ai pula boleh membuat semakan daftar pemilih melalui laman web SPR www.spr.gov.my atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) SPR Semak Nombor Kad Pengenalan kepada 15888 atau menerusi telefon ke Ibu pejabat SPR di Putrajaya 03-88856500 dan Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak 082-254867/082-253080.
>
>
Sumber: Berita Harian Online, 04 Mac 2009

Persidangan DUN Perak’ di bawah pokok

IPOH: Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V. Sivakumar dan 27 anggota dewan daripada pembangkang kelmarin mengadakan “persidangan tergempar DUN” di bawah pokok, 100 meter di luar bangunan DUN. Persidangan pada 10.20 pagi itu diadakan setelah kumpulan Adun berkenaan dihalang oleh polis daripada memasuki bangunan Perak Darul Ridzuan, yang menempatkan DUN Perak pagi ini, kerana persidangan itu disifatkan sebagai tidak sah kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Persidangan itu ditangguhkan 25 minit kemudian selepas meluluskan tiga usul.
Sebelum itu, kekecohan berlaku di luar perkarangan bangunan Perak Darul Ridzuan apabila Adun pembangkang cuba memasuki ke kawasan bangunan itu untuk menghadiri persidangan di dalam dewan. Polis bagaimanapun hanya membenarkan Sivakumar memasuki bangunan itu pada kira-kira 9.45 pagi dan orang ramai termasuk media yang berada di situ telah diminta bersurai. Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias memberi amaran akan menahan sesiapa sahaja termasuk wakil rakyat yang enggan bersurai. Polis sejak petang semalam telah mengadakan kawalan ketat termasuk menutup beberapa jalan menghala ke bangunan berkenaan Perak Darul Ridzuan.

Lebih 100 penyokong pembangkang berkumpul di luar bangunan itu sejak awal pagi kelmarin.
Pintu masuk utama ke bangunan Perak Darul Ridzuan di Jalan Panglima Bukit Gantang telah ditutup sejak petang Isnin dan hanya kakitangan perkhidmatan awam yang bertugas dibenarkan masuk kelmarin. Bangunan itu menempatkan pejabat Menteri Besar Perak, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan Dewan Un-dangan Negeri. Jumaat lalu, Sivakumar telah memanggil persidangan tergempar Dewan kelmarin, namun Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Dewan Abdullah Antong Sabri berkata persidangan itu tidak sah kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak. Sivakumar bagaimanapun tetap menyatakan ia sah dan dibuat mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Anggota polis termasuk dari Unit Simpanan Persekutuan mengadakan ka-walan di pintu masuk bahagian belakang bangunan berkenaan.

Di Mahkamah Tinggi Ipoh pula, sekumpulan peguam mewakili sama ada Barisan Nasional atau pakatan pembangkang berada di perkarangan mahkamah menunggu kes yang difail oleh Zambry dan enam anggota exco kerajaan negeri bagi memohon perintah mengisytiharkan keputusan Sivakumar menggantung dan melarang mereka menghadiri persidangan DUN sebagai terbatal dan tidak sah. Sivakumar sebelum ini menggantung dan melarang Zambry daripada menghadiri persidangan DUN selama 18 bulan manakala enam anggota exco itu dikenakan larangan selama 12 bulan
>
>
Sumber: New Sabah Times, 4th March, 2009

Sunday, March 1, 2009

'Dasar bantu Bumiputera tak sama dengan aparteid'Oleh Hassan

KOTA KINABALU: Dasar kerajaan membantu Bumiputera, khususnya masyarakat Melayu tidak boleh disamakan dengan dasar aparteid yang diamalkan di Afrika Selatan suatu ketika dulu kerana semua kaum di negara ini turut diberikan hak dalam politik, ekonomi dan sosial.Sehubungan itu, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pemimpin DAP supaya mengenali sejarah pembentukan Persekutuan Tanah Melayu dan Perlembagaan yang menyatakan secara jelas dan khusus menyentuh hak dan keistimewaan Bumiputera tanpa menafikan hak kaum lain.Beliau menegaskan, dasar membantu Bumiputera bertujuan membolehkan mereka turut sama menikmati kekayaan negara melalui pemilikan 30 peratus ekuiti ekonomi negara, tetapi pada masa sama, kerajaan tidak menafikan sama sekali hak kaum lain."Sudah termaktub dalam Perlembagaan mengenai hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera. Ia bukan menganaktirikan orang lain."Masyarakat Cina dan India mendapat hak sama juga dari segi bahasa ibunda yang digunakan di Sekolah Jenis Kebangsaan. Mereka juga boleh berniaga untuk mendapatkan kekayaan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Calon Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Majlis Tertinggi (MT) Umno di Bangunan Umno Sabah di sini, semalam.Hadir sama, Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Musa Aman, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam .
>
>
Muhyiddin mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Dr Boo Cheng Hau, Khamis lalu yang menyifatkan amalan `Bumiputeraisme' sama dengan dasar aparteid.Muhyiddin yang menyifatkan Boo sebagai pemimpin DAP yang buta sejarah, berkata kenyataan itu berniat jahat dan bertujuan menimbulkan perbalahan antara masyarakat Bumiputera dengan bukan Bumiputera."Ini perbuatan berniat jahat hendak membangkitkan sentimen perkauman. Ini cukup bahaya dan boleh mencetuskan ketidaktentuan dalam masyarakat," katanya.Sementara itu, di JOHOR BAHRU, Ketua Pemuda Umno Bahagian Gelang Patah, Norisham Ismail mendesak supaya Boo meminta maaf terhadap kerajaan negeri serta rakyat Johor secara terbuka dengan segera. Ia berikutan kenyataannya yang menyifatkan kerajaan Barisan Nasional (BN) Johor mengamalkan ideologi aparteid dalam dasar berkaitan masyarakat Bumiputera atau 'Bumiputeraism'. Ketua Pemuda Umno bahagian berkenaan, Norisham Ismail, berkata dakwaan Boo itu berat kerana sejak negara merdeka, semua rakyat di Johor bebas untuk mengamalkan kepercayaan dan budaya masing-masing.“Adakah beliau (Dr Boo) faham apa itu dasar aparteid? Kerajaan negeri banyak membantu rakyat bukan sekadar daripada kaum Melayu, tetapi juga kaum lain dan ia terbukti dengan perpaduan antara kaum sentiasa berada pada tahap yang tinggi...tiada kaum yang dipinggirkan, " katanya.
>
>
Ketua Penerangan Umno Johor, Khalid Mohamad, berkata Pemuda Umno Gelang Patah yang menyerahkan memorandum kepada beliau, untuk diserahkan kepada Menteri Besar supaya memastikan tiada Adun yang memainkan sentimen perkauman ketika sidang DUN. "Saya bersetuju dengan tindakan Pemuda Umno Gelang Patah, dan tidak mahu melihat sidang DUN yang mulia, digunakan sebagai gelanggang mencari publisiti politik murahan, ini adalah sesuatu yang malang," katanya. Sehubungan itu, katanya, memorandum berkenaan akan diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman tidak lama lagi.
>
>

BNBBC harap Bajet Mini juga akan beri keutamaan terhadap masalah jalan raya



KOTA KINABALU: Kelab Penyokong Kera-jaan Barisan Nasional (BNBBC) Sabah ber-harap Bajet Mini yang akan dibentangkan Mac depan akan turut memberi keutamaan terhadap masalah infrastruktur jalan-jalan raya dan kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air di luar bandar. Pengerusi BNBBC Sabah, Datuk Rubin Balang berkata, masalah lain yang masih wujud dan turut memerlukan perhatian di luar bandar ialah ketiadaan kemudahan kesihatan seperti Klinik Desa, selain prasaraan pendidikan yang masih mundur. “Contohnya di kawasan saya, di Mukim Rundum, Kemabong yang masih tidak mempunyai kemudahan kesihatan, iaitu Klinik Desa, disamping prasarana pendidikan yang masih terpinggir dari arus kemodenan. “Begitu juga di kawasan luar bandar di lain-lain di negeri ini, seperti di Terian dan Buayan Penampang, Pensiangan, Kinabatangan, Lahad Datu, Tungku dan sebagainya,” katanya, di sini, kelmarin.

Rubin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong berkata, masih banyak jalan raya di luar bandar berada dalam keadaan daif, diliputi tanah merah dan berlubang-lubang. Malah katanya, banyak tempat atau kampung langsung tidak mempunyai jalan raya, dan ini menimbulkan kesulitan kepada penduduk yang hendak keluar ke pekan untuk memasarkan hasil pertanian mereka. “Kanak-kanak sekolah juga turut diselubungi dengan masalah ini kerana mereka terpaksa berjalan kaki berkilo-kilo meter jauhnya untuk berulang alik ke sekolah, kerana tidak ada jalan untuk dilalui kenderaan,” katanya.

Rubin berkata, sebagai wakil rakyat, beliau turut merasai keperitan hidup yang dialami penduduk luar bandar, dan telah berulang kali mengutarakan masalah itu kepada kerajaan, termasuk pada setiap mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan. “Harus disedari bahawa jalan raya adalah sistem penghubung paling penting antara kampung dan pekan atau bandar. Tanpa sistem komunikasi ini, ia sudah tentu menimbulkan kesulitan kepada penduduk. “Sehubungan itu, adalah diharapkan Bajet Mini yang akan dibentangkan bulan depan dapat menyelesaikan masalah jalan raya, bekalan air dan elektrik, kemudahan kesihatan dan prasa-rana pendidikan,” katanya.
Menurutnya lagi, projek jalan raya dan kemudahan asas di luar bandar hanya memerlukan kos perbelanjaan puluhan ribu ringgit. Ia bukan projek besar atau projek mega yang melibatkan kos jutaan atau berbilion ringgit. “Justeru, peruntukan bagi projek itu boleh dipercepatkan, dan tidak perlu menunggu lama kerana ia bukan projek besar atau projek mega yang terpaksa menunggu peruntukan yang besar,” tambahnya.

Rubin berkata, bagi pihak ahli-ahli BNBBC Sabah (wakil rakyat-Adun Sabah), beliau menyambut baik pembentangan Bajet Mini itu, yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewa-ngan Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, 10 Mac depan. “Kita percaya, beliau, yang juga Timbalan Perdana Menteri adalah pemimpin prihatin dan berjiwa rakyat, sama seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullaj Ahmad Badawi. Justeru, kita harap keperluan jalan raya dan keperluan kemudahan asas di luar bandar di negeri ini dapat dipertimbang dan diatasi,” katanya.
>
>
Sumber: New Sabah Times, 27th February, 2009

1,000 kekosongan untuk guru KPLI di Sabah


KOTA KINABALU: Para siswazah dari negeri ini yang berminat menyertai bidang perguruan dipelawa agar segera mendaftar secara talian terus (online) untuk kemasukan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) tahun ini. Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno Negeri, Mohd Joh Wid berkata, sebanyak 1,000 tempat telah diperuntukkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk calon dari negeri ini seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika beliau melawat Sabah baru-baru ini.

“Para siswazah yang berminat untuk mengikut KPLI itu, mereka boleh mendaftar secara online di www.moe.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin. Mohd Joh berkata, ini merupakan peluang yang amat baik bagi siswazah dari negeri Sabah dalam memenuhi keperluan guru khususnya di kawasan-kawasan pedalaman.

Jelasnya, syarat yang perlu dipenuhi oleh calon ialah mereka telah konvokesyen pada tahun 2008 bagi ijazah sarjana muda yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Memandangkan tarikh tutup pendaftaran akan berakhir pada 1 Mac 2009 diharapkan agar calon yang berminat mengambil tindakan segera,” katanya Bagi calon yang berminat dan memerlukan maklumat lanjut berkenaan perkara ini, mereka juga katanya boleh berhubung dengan Armizan Mohd Ali di talian 0192223539.
>
>
Sumber: New Sabah Times, 28th February, 2009