Thursday, September 18, 2008

Pakatan Rakyat dibelenggu perbezaan ideologi

Thursday, September 18, 2008
Pakatan Rakyat dibelenggu perbezaan ideologi

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

PENUBUHAN Pakatan Rakyat pada 1 April lalu yang dianggotai Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menandakan pembangkang cuba membina satu bentuk pakatan politik yang padu sebagai saingan kepada Barisan Nasional (BN).

Ia sekali gus cuba menawarkan kepada rakyat satu pakatan politik alternatif pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Yang jelas konsep permuafakatan politik BN sudah menjadi inspirasi kepada Pakatan Rakyat. Parti pembangkang yang selama ini memiliki ego tersendiri, kini mula sedar untuk menjadi saingan kepada BN, mereka memerlukan persefahaman dan permuafakatan bagi menjalin ikatan yang kukuh.

Kemenangan mereka mengekalkan penguasaan di Kelantan dan menguasai lima negeri termasuk Wilayah Persekutuan, memberikan suntikan baru kepada mereka untuk terus mara pada pilihan raya akan datang.

Pakatan ini bermula dengan tiga komponen utama parti politik iaitu Pas, DAP dan PKR. Jika kita masih ingat, ketika parti Perikatan yang menggunakan simbol kapal layar ditubuhkan, ia juga terdiri daripada tiga komponen utama parti politik iaitu Umno, MCA dan MIC tetapi komponennya bertambah apabila Perikatan menjadi BN.

Apakah Pakatan Rakyat mampu menggamit parti politik lain untuk bersama mereka, adalah sesuatu yang mungkin dalam dunia politik. Justeru, BN harus melihat pakatan ini sebagai satu cabaran baru supaya strategi berkesan dapat diatur untuk memastikan BN terus unggul sebagai gabungan serta pakatan politik berwibawa.

Anggaplah ini sebagai satu pertarungan politik yang tidak boleh dipandang ringan. Persetujuan penubuhan Pakatan Rakyat dicapai pada mesyuarat antara Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Perbincangan mereka dilakukan di pejabat Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Petaling Jaya. Wakil rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ketiga-tiga parti itu dijangka mengadakan satu konvensyen pada 27 April ini bagi memantapkan pemahaman atas semua dasar yang dipersetujui mereka.

Perkara pokok yang perlu dilihat ialah wujud perbezaan yang ketara antara gabungan BN dan Pakatan Rakyat. BN diasaskan atas permuafakatan tulen bagi kepentingan politik nasional yang bertitik tolak daripada semangat kemerdekaan dan kontrak sosial yang dipersetujui semua kaum (Umno, MCA dan MIC) ketika itu.

Atas semangat inilah BN berjaya membina perpaduan dan kejayaan besar dalam setiap kali pilihan raya umum diadakan.

Sebaliknya, gabungan Pakatan Rakyat dilihat lebih berasaskan kepada kepentingan untuk mentadbir kerajaan negeri yang dimenangi mereka pada pilihan raya baru-baru ini. Dalam konteks ini, pakatan terbabit dilihat tidak tulen yang dapat menggambarkan semangat sebenar permuafakatan dan toleransi di kalangan mereka.

Asas hujahnya ialah selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu, tiada satu parti pembangkang pun boleh menubuhkan kerajaan negeri, kecuali di Kelantan. Justeru, di negeri yang dimenangi, mereka terpaksa membentuk kerajaan campuran.

Sebagai usaha memperkukuhkan kedudukan mereka, ketiga-tiga parti pembangkang terbabit cuba mewujudkan gabungan yang dikenali Pakatan Rakyat. Tujuan utama adalah bagi membolehkan mereka mentadbir negeri yang dikuasainya secara berkesan. Itu adalah harapan mereka yang bukan mudah untuk dilaksanakan.

Jika sebelum ini, pembangkang sering menuduh BN adalah berasaskan kepada perkauman (merujuk kepada parti Umno, MCA, MIC), maka apa bezanya dengan Pakatan Rakyat. Rakyat tahu Pas dan DAP adalah dua parti yang mewakili kaum tertentu dan kedua-duanya bersifat ekstrem dalam ideologi. Begitu juga PKR dilihat parti yang didominasi orang Melayu.

Nampaknya melalui Pakatan Rakyat ini, Pas dan DAP cuba memulihkan kerjasama antara mereka. PKR pula tidak memiliki ideologi tertentu dan ia lebih fokus memperjuangkan politik sivil dengan menonjolkan imejnya sebagai pembela hak rakyat.

Usaha Pas untuk mempamerkan imej barunya tidak dipercayai oleh DAP. Justeru, tidak hairanlah apabila Karpal Singh meminta Pas melupakan saja hasrat untuk menegakkan negara Islam dan memperkenalkan undang-undang hudud.

DAP melalui lidah Karpal mengingatkan Pas supaya menerima realiti bahawa kaum Cina dan India di negara ini tidak dapat menerima undang-undang hudud dan negara Islam yang diperjuangkan Pas.

Karpal berkata, DAP hanya menerima Islam sebagai agama rasmi negara seperti termaktub mengikut Artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan. Semua kenyataan terbaru ini dibuatnya selepas beberapa hari penubuhan Pakatan rakyat. Sebagai tindak balas, Nik Aziz menyelar kenyataan Karpal dan menganggapnya memperlekeh usaha Pas membangunkan Islam di negara ini. Ingatan DAP kepada Pas jelas menggambarkan bahawa DAP masih tidak meyakini Pas. Justeru, persoalan ideologi akan terus menjadi isu dan kekangan dalam Pakatan Rakyat.

Persoalan seterusnya ialah parti mana yang akan menjadi teras kepada Pakatan Rakyat? Jika dalam BN, Umno dapat diterima sebagai parti teras oleh barisan komponen politiknya maka bagaimana pula dalam Pakatan Rakyat? Pas pastinya mahu meletakkan dirinya sebagai parti teras. Adakah PKR tiada hasrat yang sama?

Jika mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat berhasrat meletakkan dirinya sebagai parti teras, apakah pula kewajarannya? Ini berbeza dalam BN, kerana Umno diterima sebagai parti teras berasaskan kepada warisan sejarah Melayu di negara ini. Jika mahu menjadikan warisan sejarah sebagai asasnya, maka Pas yang sewajarnya dianggap sebagai parti teras dalam Pakatan Rakyat ini. Soalnya bersediakah PKR dan DAP mengiktirafnya?

Kesimpulannya, sejauh mana Pakatan Rakyat ini mampu bertahan bergantung sepenuhnya kepada semangat setia kawan yang diasaskan kepada permuafakatan dan toleransi tulen sesama mereka.

PKR, DAP dan Pas mesti bersedia secara jujur untuk mengorbankan ideologi politik masing-masing dan ini menjadi prasyarat untuk pakatan terbabit bertahan dan menjadi pesaing politik kepada BN. Pastinya BN akan terus dilihat sebagai gabungan yang masih relevan demi kepentingan politik nasional dan pembangunan negara.


(Artikel ini tersiar di Berita Harian, 12/4/08)

Tuesday, September 16, 2008

Penubuhan Kerajaan Baru Pada 16 September 2008

Saya tertarik dengan program isu semasa semalam (16 Sept 2008 di RTM 1) yang membincangkan isu yang sangat penting untuk diketahui oleh rakyat Malaysia bahkan seluruh dunia. Perbincangan itu adalah berkisar tentang APA DAH JADI 16 SEPTEMBER? Saya bersetuju dengan ketiga-tiga ahli panel bahawa penubuhan kerajaan baru pada 16 sept 2008 adalah satu omongan kosong malah pembohongan besar kepada rakyat. Dakwaan yang kononnya senarai nama ahli parlimen BN yang akan lompat parti dan menyertai Pakatan Rakyat telah diperolehi adalah tidak rasional kerana bukan macam beli ikan di pasar. Negara kita ada sistem dan undang-undang. Sebab itu kerajaan hari ini ditubuhan melalui proses pilihan raya (kehendak rakyat) dan mengamalkan sistem demokrasi. Kalau DSAI nak tukar dan bentuk kerajaan baru guna tongkat sakti sekalipun, tak masuk akal. Biarlah kita berpijak di alam yang nyata. Sebagai seorang pemimpin haruslah bersikap jujur, amanah dan bertanggungjawab. Kepimpinan DSAI haruslah ditolak kerana beliau mengajak orang melakukan perkara-perkara mungkar contohnya bercakap bohong yakni menipu rakyat yang kononnya akan menukar kerajaan dan jadi PM. Saya sebagai rakyat Malaysia merasa malu jika pemimpin sebegini terus disokong dan diangkat kerana ini melibatkan maruah bangsa, agama dan negara. Ada orang kata ini adalah permainan atau strategik politik beliau, tapi kita harus ingat bahawa ini bukan tempat bermain kerana ia melibatkan negara dan nyawa manusia. Jika nak bermain biarlah kena pada tempatnya. Kita kan ada Stadium Bukit Jalil. Jika pemimpin seperti ini mentadbir dan mengurus negara kemungkinan negara akan hancur dan rakyat akan menderita sepertimana yang berlaku kepada negara lain. Justeru, kita perlu berhati-hati dan mengambil langkah bijak iaitu melupakan mat jenin dan membiarkan si luncai dengan labu-labunya. Kita teruskan perjuangan kerajaan sedia ada (BN) untuk membangunkan negara untuk kesejahteraan rakyat.

Sunday, September 14, 2008

Gaji Baru & Bonus Maksimum RM 1,000.00 Manifestasi Keprihatinan Kerajaan

Keprihatinan pemimpin nombor satu negara terhadap kakitangan kerajaan tidak boleh dinafikan lagi. Penjawat awam merupakan kumpulan yang diberi tugas dan tanggungjawab untuk menyediakan perkhidmatan awam kepada semua lapisan masyarakat. Ekoran daripada bakti mereka terhadap pembangunan nagara serta kesejahteraan rakyat menerusi penterjemahkan agenda yang dilontarkan oleh Pak Lah. Maka semua kakitangan kerajaan diberi penghargaan oleh Pak Lah melalui kenaikan gaji baru yang berkuatkuasa pada mulai 1hb Julai 2007 dan pemberian bonus maksimum RM 1,000.00 sepertimana yang diumumkan oleh Pak Lah baru-baru ini dalam bajet 2009.
Kadar Kenaikan Gaji berkuatkuasa 1hb Julai 2007
Gred Atasan 7.5%
Gred 41 - 54 15%
Gred 17 - 40 25%
Gred 1 - 10 35%
Sehubungan dengan itu, Pak Lah mengharapkan timbal balas yang setimpal daripada penjawat awam agar hasrat beliau untuk melihat perkhidmatan awam berintegriti dan cekap dapat direalisasikan, selaras dengan wawasan negara menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Pada masa yang sama, penjawat awam yang berkenaan pula perlu membayar cukai. cukai yang dikutip itu perlu dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk perkhidmatan dan pembangunan.

Monday, September 8, 2008

RM1.8 bilion tingkat kemudahan asas luar Bandar.


Sabtu 30 Ogos 2008, New Sabah Times

Kuala Lumpur: Sebanyak RM1.8 bilion disediakan dalam bajet 2009 untuk menambah kemudahan asas dan infrastruktur di seluruh negara, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.Ketika membentangkan bajet itu, di Dewan Rakyat kelmarin, Perdana Menteri berkata RM1.8 bilion diperuntukkan bagi Semenanjung Malaysia, hampir RM3 bilion untuk Sabah dan RM3.3 bilion untuk Sarawak.

Bagi peruntukan di Semenanjung Malaysia, lebih RM1 bilion adalah untuk melaksanakan projek jalan luar bandar sepanjang 480 kilometer dan jalan kampung sepanjang 1,300 kilometer. Sebanyak RM280 juta disediakan bagi bekalan air luar bandar dengan sasaran 30,000 buah rumah manakala RM350 juta adalah untuk bekalan elektrik luar bandar dengan sasaran 3,600 buah rumah. Beliau berkata RM65 juta disediakan untuk melaksanakan 11,700 buah projek kemudahan awam di luar bandar di Semenanjung. “Kemudahan prasarana dapat meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat desa dan luar bandar” kata Abdullah yang juga Menteri Kewangan.
Di Sabah, peruntukan adalah untuk pembinaan 266 kilometer jalan persekutuan dan jalan luar bandar yang akan memanfaatkan lebih 550,000 penduduk setempat.Antara projek utama ialah membina jalan jereco-Lahad Datu Fasa 11, menaik taraf dan membaiki jalan Sandakan ke Talupid, menaik taraf jalan Ranau ke Tambunan Fasa 11, membina Jambatan Sempurna –Pulau Bum-Bum, menggantikan jambatan usang di kawasan pedalaman Sabah, projek kemudahan pelancongan dan ekopelancongan, kemudahan hospital dan kesihatan luar bandar serta Program Perumahan Rakyat Disewa.
Bagi Sarawak, ia termasuk pembinaan 230 kilometer jalan persekutuan dan jalan luar bandar yang akan memanfaatkan lebih 350,000 penduduk setempat. Antara projek utama ialah jalan penghubung ke Pusat Pentadbiran Persekutuan Baru Sarawak, Jalan Nanga Buai ke Ulu Sepak, Betong, Jalan Awat-awat ke Kuala Lawas, Jalan Tanjong Assam ke Saribas, Empangan Bengoh Kuching, Sistem Pengurusan Air Sisa secara Bersepadu di Bandaraya Kuching, Program Perumahan Rakyat Disewa, projek kemudahan pelancongan dan ekopelancongan serta kemudahan hospital dan kesihatan luar bandar. – Bernama.

Thursday, September 4, 2008

BIL ELEKTRIK DI BAWAH RM20 TIDAK PERLU BAYAR MULAI 1 OKT

Sabtu 30 Ogos 2008, New Sabah Times
Kuala Lumpur: Isi rumah yang mempunyai bil elektrik RM20 ke bawah sebulan tidak akan dikenakan bayaran berkuatkuasa 1 Okt 2008 sehingga akhir 2009.
Mengumumkan perkara itu, ketika pembentangan bajet 2009 di Dewan Rakyat kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata langkah untuk meringankan beban kewangan golongan berpendapatan rendah itu akan memanfaatkan 1.1 juta isi rumah.
beliau berkata kerajaan akan menanggung kos bil berjumlah RM170 juta itu. Abdullah berkata kerajaan yakin matlamat menghapuskan kemiskinan tegar akan dapat dicapai pada 2010.
Kerajaan berjaya mengurangkan kadar kemiskinan daripda 5.7 peratus pada tahun 2004 kepada 3.6 peratus pada tahun 2007 melalui pelbagai langkah yang diambil.
Kerajaan akan terus melaksanakan program meningkatkan pendapatan serta menyediakan latihan kemahiran dan kerjaya di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat selain melaksanakan program Lonjakan Mega Luar Bandar di Pulau Banggi, Sabah dan Tanjung Gahai di Kuala Lipis Pahang. Kata Abdullah yang juga Menteri Kewangan.
Bagi tujuan itu, katanya sebanyak RM220 juta disediakan yang akan dimanfaatkan 13,300 isi rumah. Abdullah berkata, peruntukan RM5 juta disediakan tahun depan (2009) untuk membina 1,400 rumah baru dan membaik pulih 1,000 buah rumah.
Keutamaan katanya akan diberikan kepada golongan tua, uzur, cacat dan ibu atau bapa tunggal mempunyai ramai tanggungan serta mangsa bencana alam.
Dalam tempoh 2006 hingga 2008, sebanyak 3,500 rumah baru telah dibina dan 2,000 rumah dibaiki di bawah Program Bantuan Rumah untuk membantu keluarga miskin tegar memiliki rumah kediaman yang selesa. - Bernama

Wednesday, September 3, 2008

JARINGAN KESELAMATAN SOSIAL

Sabtu 30 Ogos 2008, New Sabah Times.
Memperluaskan jaringan keselamatan sosial sebagai usaha mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup, jaringan keselamatan sosial bagi golongan miskin, mangsa bencana dan kanak-kanak kurang bernasib baik telah diperbesarkan di bawah bajet 2009, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberitahu Dewan Rakyat Kelmarin.
Perdana Menteri berkata, kerajaan menaikkan tahap kekayaan bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat RM400 pendapatan isi rumah sebulan kepada RM720 bagi semenanjung Malaysia, RM830 bagi Sarawak dan RM960 sebulan untuk Sabah.
"Ini bermakna bilangan penerima bantuan meningkat dua kali ganda daripada 54,000 isi rumah kepada 110,000" katanya semasa membentangkan Bajet 2009.
Beliau berkata ini termasuk kenaikan bilangan warga emas yang layak daripada 14,000 kepada 40,000 dan untuk tujuaan ini, perbelanjaan tambahan sebanyak RM500 juta diperuntukkan.
Kerajaan katanya, menyediakan tabung bantuan khas sebanyak RM25 juta bagi menyalurkan pemberian kewangan kepada keluarga yang kehilangan punca pendapatan secara mengejutkan seperti akibat kemalangan dan bencana. - Bernama